Berita Terkini| Diskaun 70% saman JPJ! 18 Ogos -16 Sept 2021! Termasuk yang disenarai hitam!

Published by
KitaReporters

Gambar hiasan... Tawaran potongan 70 peratus bayaran saman kompaun ditawarkan oleh JPJ sempena Hari Kebangsaan ke-64. 


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan potongan 70 peratus kepada orang ramai bagi semua jenis saman yang boleh dikompaun termasuk yang disenarai hitam mulai 18 Ogos 2021.

Tawaran pengurangan saman sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 itu bagi meringankan beban rakyat akibat pandemik Covid-19.

Memetik laporan Berita Harian pada 17 Ogos 2021, JPJ menerusi satu kenyataan memaklumkan tawaran potongan itu akan berlangsung sehingga 16 September 2021 akan datang.

“Tawaran ini tidak membabitkan kes-kes yang masih dalam sebutan mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.

"Potongan diberikan kepada semua notis saman dikeluarkan bagi kesalahan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya, termasuklah kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

"Pengurangan terhadap notis saman berkenaan adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ,” katanya.

Kenyataan turut memaklumkan, tawaran itu turut diberikan kepada semua saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuat kuasa dengan syarat pembayaran dilakukan dalam tempoh dinyatakan iaitu sehingga 16 September 2021.

"Urusan pembayaran notis saman boleh dilakukan di semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan Pusat Transformasi Bandar (UTC), kiosk atau secara dalam talian melalui portal mySIKAP JPJ (https://public.jpj.gov.my/).

“Bagi pesalah lalu lintas yang disenarai hitam, mereka dikehendaki hadir semula ke pejabat JPJ (cawangan atau negeri) bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan,” ujarnya. - KitaReporters


 

0
0
0
0
0

Copy Link: