SEMUA pelancong yang mahu menikmati kemudahan gelembung pelancongan menerusi Projek Rintis Langkawi bermula 16 September 2021, diwajibkan menjalani ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ujian saringan COVID-19 sama ada RT-PCR atau RTK-Antigen, perlu dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Katanya, keputusan ujian itu perlu dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk, sama ada lapangan terbang atau terminal feri sebelum berlepas.

Beliau berkata, pelancong juga boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di tempat saringan yang disediakan atau mereka boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesanan di situ.

Ujian pengesanan ini akan dilakukan terhadap individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia 7-17 tahun. 

Bagi kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala akan dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva (air ludah).

"Kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang sudah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif dan hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan," kata Khairy menerusi satu kenyataan, Rabu, 15 September 2021. - KitaReporters


9
15
0
14
0

Copy Link: