Berita Terkini| Hati-hati dengan taktik baharu! Sindiket penipuan pembayaran bil utiliti!

Published by
KitaReporters


ORANG ramai disaran berhati-hati dengan tawaran diskaun bagi mereka yang memiliki tunggakan bil utiliti selepas PDRM mengesan sindiket penipuan baharu yang memanipulasi sistem pembayaran bil berkenaan.

Modus operandi yang digunakan oleh sindiket ini dengan menghubungi mangsa yang mempunyai tunggakan bil utiliti sebelum menawarkan diskaun sekiranya mereka mahu melunaskan bayaran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sindiket berkenaan kemudiannya memaklumkan akan mendahulukan wang mereka dalam urusan tersebut dan mendakwa resit bayaran akan digunakan mereka untuk mendapatkan pengecualian cukai.

Mohd. Kamarudin berkata, setelah mendapat persetujuan mangsa, pihak sindiket akan menggunakan cek-cek tiada nilai atau cek tendang untuk membuat pembayaran melalui mesin deposit milik penyedia perkhidmatan utiliti.

“Setelah pembayaran dibuat, sistem penyedia perkhidmatan akan memaparkan rekod bayaran bil yang telah dibuat dan selepas itu, pihak sindiket akan meminta mangsa membuat pindahan wang kepada mereka melalui akaun pihak ketiga,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia pada Jumaat, 21 Julai 2021.

Setakat ini, satu laporan polis telah diterima di Kuala Lumpur pada awal bulan lalu melibatkan kerugian RM8,500.

Tegas beliau, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang menjadi mangsa penipuan ini diminta tampil membuat laporan polis di balai polis berdekatan. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: