Kesan kecederaan dialami kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dipercayai didera oleh ibu kandung dan teman lelaki dalam kejadian di Bandar Hilir, Melaka. - Kredit foto: Sumber FB


POLIS berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang dipercayai didera oleh ibu kandungnya sendiri bersama teman lelaki di sebuah rumah pangsa di Bandar Hilir, Melaka pada 14 Ogos 2021.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 malam itu, mangsa diselamatkan oleh Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian itu jam 9.25 malam dan sepasukan D11 bergegas ke lokasi.

“Hasil serbuan menjumpai seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun. Pemeriksaan awal pasukan polis ke atas badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan dipercayai didera.

“Mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan dan tali pinggang oleh ibunya sendiri serta teman lelaki wanita berkenaan. Mangsa dihantar ke hospital sebelum dimasukkan ke wad kanak-kanak di Hospital Melaka bagi menerima rawatan lanjut.

“Mangsa adalah anak sulung dan mempunyai seorang adik perempuan berusia setahun, namun kanak-kanak tidak mengalami kecederaan,” katanya yang dipetik daripada laporan Utusan Malaysia, 15 Ogos 2021.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata ekoran itu, ibu mangsa, 30, dan teman lelakinya yang berusia 38 tahun telah pun diberkas di lokasi berasingan beberapa jam selepas kejadian.

“Suspek lelaki ditahan di pekarangan Balai Polis Bandar Hilir manakala ibu mangsa ditahan di rumahnya dan kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 15 Ogos 2021.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001,” jelasnya.

Tambah beliau, suspek wanita mendakwa mangsa merupakan anak hasil hubungan dengan pasangannya sebelum ini dan anak keduanya adalah bersama teman lelakinya itu. KitaReporters


0
1
0
0
3

Copy Link: