Rokok pelbagai jenama dipercayai diseludup yang dirampas oleh pasukan Polis Marin Wilayah 1 dalam serbuan di Sungai Petani, Kedah. - Kredit foto: FB Pasukan Polis Marin Wilayah Satu


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 1 menahan seorang remaja lelaki dan merampas 288,400 batang rokok putih dipercayai diseludup selepas menyerbu sebuah kedai di Kampung Pekan Baru, Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah.

Pemangku Komander PPM Wilayah 1, Superintendan Shoppri Saad berkata serbuan dijalankan oleh Unit Risik kira-kira jam 3 petang, 29 Julai 2021 itu hasil daripada maklumat dan risikan dijalankan pasukannya.

“Sewaktu pemeriksaan, polis menemui hampir 30 buah kotak mengandungi rokok yang disyaki tidak dibayar cukai. Hasil pemeriksaan lanjut membawa penemuan 1,442 karton atau bersamaan 288,400 batang rokok di dalamnya.

“Semua rokok dipercayai barang seludup dianggarkan bernilai RM230,070 dirampas. Remaja lelaki berusia 17 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai di premis tersebut ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya dipetik laporan Bernama, 30 Julai 2021.

Tambah beliau, remaja yang tidak lagi bersekolah itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Kedah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan berkaitan, Shoppri turut memaklumkan PPM Wilayah 1 yang berpangkalan di Batu Uban, Georgetown telah  merampas lebih 5 juta rokok seludup di bawah Op Kontraband yang dilaksanakan sejak 1 April 2021. - KitaReporters


0
1
0
0
0

Copy Link: