Mangsa cedera pada paha kanan setelah ditikam dipercayai menggunakan pisau oleh seorang lelaki dalam kejadian cubaan ragut di Gombak, Kuala Lumpur. - Kredit foto: Media sosial


SEORANG wanita bukan sahaja berdepan detik cemas setelah beg tangannya cuba dilarikan oleh peragut tetapi turut cedera ditikam pada paha kanan dalam kejadian di Jalan 10, Taman Greenwood, Gombak, Selangor pada 14 Ogos 2021.

Dalam kejadian kira-kira 4.24 petang itu, suspek dikatakan bertindak sedemikian setelah berang kerana gagal melarikan beg tangan milik wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata kejadian berlaku sewaktu mangsa sedang memandu kereta milik abangnya bersendirian.

“Sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali membuka pintu kereta dan cuba melarikan beg tangan milik mangsa.

“Setelah gagal berbuat demikian, suspek kemudiannya bertindak menikam paha kanan mangsa sebelum melarikan diri. Mangsa sempat hubungi abangnya memberitahu kejadian tersebut,” katanya dipetik daripada laporan Harian Metro pada 15 Ogos 2021.

Zainal berkata, mangsa dikejarkan ke Bahagian Kecemasan Hospital Selayang dengan ambulans dan keadaannya dilaporkan stabil.

Katanya lagi, siasatan awal mendapati mangsa tidak mampu memberi gambaran jelas mengenai lokasi kejadian sebenar kerana kecederaan dialaminya selain tidak cam muka serta kenderaan digunakan oleh suspek.

"Orang ramai yang punyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan di mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Azrul Amirul Mustafa di talian 03-61262222," katanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan,” ujarnya. KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: