Gambar hiasan... Mangsa keganasan rumah tangga sering berdepan ugutan dan ancaman sekiranya membuat laporan kepada pihak berkaitan. - Kredit foto:  Sumber internet


PUSAT Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) merekodkan sebanyak 114 kes keganasan rumah tangga berlaku di Terengganu sepanjang tempoh Januari hingga Ogos 2021.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Negeri Terengganu, Zuraida Md Noor ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan DUN Terengganu.

Memetik daripada laporan Bernama siaran 14 September 2021, kes yang dilaporkan berkenaan merangkumi kejadian rogol, cabul, liwat serta penderaan rumah tangga dan kanak-kanak.

"Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 288 kes keganasan rumah tangga berlaku di Terengganu pada 2020.

"Kerajaan Terengganu digesa mencari satu solusi yang boleh dilaksanakan segera bagi menyelesaikan masalah keganasan rumah tangga  yang membimbangkan," katanya.

Tambah beliau, kesedaran mangsa melaporkan kejadian menimpa mereka masih berada pada tahap rendah kerana berhadapan ugutan serta ancaman selain demi menjaga maruah keluarga.

Katanya lagi, berdasarkan perbincangan pihaknya bersama OSCC di HSNZ, pengurusan mangsa kes keganasan rumah tangga dilaporkan menjadi rumit terutama selepas waktu bekerja dan pada hari cuti am.

"Mangsa seringkali diminta pulang semula ke rumah selepas menerima rawatan kerana tiada tempat untuk berlindung.

"Apabila pihak OSCC menelefon semula pada waktu bekerja, kebanyakan mangsa tidak mahu tampil untuk meneruskan prosedur," ujarnya. - KitaReporters 


11
19
0
29
0

Copy Link: