Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kiri) bersama peguamnya, Gobind Singh Deo di Mahkamah Sesyen Johor Bharu pada 5 Ogos 2021. - Kredit foto: Utusan Malaysia


AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 29, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) berjumlah RM100,000 di Mahkamah Sesyen  Johor Bahru pada 5 Ogos 2021.

Memetik laporan Berita Harian, Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan itu, Syed Saddiq didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Wang tersebut merupakan hasil daripada aktiviti haram dan kesalahan tersebut didakwa dilakukannya di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika disabit setiap kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib dan Mohd 'Afif Ali.

Manakala, Syed Saddiq diwakili peguam bela, Gobind Singh Deo. 

Mahkamah membenarkan kedua-dua pertuduhan berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 10 September 2021. - KitaReporters


0
1
0
1
0

Copy Link: