Gambar kiri: Ikan lumba-lumba ditemukan mati terdampar di Pantai Sungai Berembang, Kuala Perlis pada 6 September 2021

Gambar kanan: Ikan lumba-lumba jenis Bottlenose ditemui terdampar di Pantai Padang Keria, Kuala Sanglang, Perlis pada 7 September 2021 berjaya diselamatkan PNW. - Kredit foto-foto: FB Perlis Nature and Wildlife


SEEKOR ikan lumba-lumba dianggarkan seberat 180 kilogram dijumpai terdampar oleh nelayan di Pantai Padang Keria, Kuala Sanglang, Perlis pada 7 September.

Ikan lumba-lumba jenis Bottlenose sepanjang 2.8 meter itu ditemui kira-kira jam 9 pagi dan dipercayai terdampar setelah tersangkut pada kayu hanyut hingga menyebabkannya gagal berenang untuk kembali ke laut.

Pengasas Persatuan Pencinta Hijau dan Hidupan Liar Perlis atau Perlis Nature and Wildlife (PNW), Syamil Abd Rahman berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian ikan lumba-lumba dianggarkan berusia lima tahun terdampar itu kira-kira satu jam selepas ditemui nelayan.

“Jurang waktu agak lama sebelum bantuan tiba. Namun begitu, kami telah cuba membantu dengan sebaik mungkin termasuk dengan cara memangkunya agar pasir tidak masuk ke dalam hidung.

“Jam 11.28 pagi, kami bersama nelayan mula mengiringi ikan lumba-lumba itu ke laut pada jarak kira-kira 50 meter setelah air pasang.

“Peralihan musim barat daya ke timur laut menyebabkan banyak ikan bermain di pesisiran pantai menyebabkan ikan lumba-lumba ini juga memburu makanan berhampiran kawasan pesisiran pantai,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia, 7 September 2021.

Akhbar berkenaan turut melaporkan sejak awal bulan September 2021 sehingga kini terdapat empat kes ikan terdampar dengan tiga berjaya diselamatkan, manakala satu ditemukan mati. - KitaReporters


11
14
0
6
0

Copy Link: