Berita Terkini| Warga emas dituduh lakukan amang seksual kepada anak rakan! Mengaku bersalah!

Published by
KitaReporters

Tertuduh (kiri)  dihadap ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan. - Kredit foto: Utusan Malaysia 


SEORANG warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan pada 28 September 2021 atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan rakannya dalam kejadian Jun 2020.

Tertuduh yang berusia 61 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap  seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun di laman sebuah rumah di Pasir Puteh kira-kira jam 2 petang pada Jun 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Memetik laporan Utusan Malaysia, 28 September 2021, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Fariz tidak menawarkan jaminan berikutan tertuduh merupakan rakan kepada bapa mangsa dan dikhuatiri boleh mengganggu kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh pada setiap bulan perlu laporkan diri di balai polis berhampiran.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menetapkan 20 Oktober 2021 sebagai tarikh sebutan semula kes dan untuk menjatuhkan hukuman.

Tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. - KitaReporters


11
18
0
19
0

Copy Link: