Gambar hiasan… Kluster baharu di Kelantan dikenali sebagai Kluster Kampung Baru Bukit Kecil Labok dicetuskan oleh peniaga durian yang merentas negeri. - Kredit foto:  Media sosial


SEKUMPULAN peniaga durian cetuskan kluster baharu Covid-19 di Kelantan setelah merentas negeri ke Selangor dan Johor bagi mendapatkan serta menghantar bekalan ‘raja buah’.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata kluster dikenali sebagai Kluster Kampung Baru Bukit Kecil Labok, Machang itu membabitkan daerah Machang dan Kota Bharu.

“Setakat 23 Julai 2021, kluster berkenaan mencatatkan 12 kes positif hasil daripada 38 individu disaring. Kes indeks kluster ini membabitkan remaja berusia 15 tahun yang dilaporkan positif pada 18 Julai lalu dan mula bergejala tiga hari sebelum itu.

“Remaja terbabit mempunyai sejarah merentas negeri dari Kelantan ke Selangor dan Johor pada 10 hingga 15 Julai 2021.

“Dia bersama sekumpulan peniaga durian lain ke sana bagi tujuan mengambil serta menghantar bekalan durian,” katanya yang dipetik laporan Harian Metro bertarikh 24 Julai 2021.

Tambah beliau, satu lagi kluster rentas negeri yang tercetus adalah Kluster Kerilla membabitkan daerah Tanah Merah dan Klang, Selangor susulan seorang lelaki berusia 38 tahun dilaporkan positif pada 22 Julai 2021 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi.

"Kes indeks mempunyai sejarah merentas negeri dari Selangor ke Kelantan pada 11 Julai 2021 untuk hadiri majlis pengebumian adiknya sebelum pulang ke Selangor pada 15 Julai 2021.

"Sehingga kini, hasil ujian saringan dijalankan  ke atas 23 individu mendapati sembilan daripadanya positif dan ujian saringan akan diteruskan terhadap kontak rapat,” ujarnya. KitaReporters


 

0
0
0
0
0

Copy Link: