TREND kemasukan pesakit dalam hospital di beberapa negeri dengan liputan penerima dos lengkap melebihi 50 peratus seperti Lembah Klang, Negeri Sembilan, Labuan dan Sarawak menunjukkan penurunan, sekali gus membuktikan keberkesanan pemberian vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan trend penurunan kemasukan pesakit Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, sebanyak 53 peratus penurunan dapat dilihat berbanding pada awal Ogos 2021 lalu.

“Sejak awal Ogos terdapat penurunan sebanyak 44 peratus di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang selepas sebulan aktiviti vaksinasi dipertingkatkan di Lembah Klang.

“Sehubungan itu, saya ingin menjelaskan dan menegaskan bahawa vaksin Covid-19 digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah berkesan terutama dalam mengurangkan risiko komplikasi jangkitan yang teruk,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Beliau berkata, PICK dimulakan pada 24 Februari 2021 sebagai salah satu langkah untuk mengawal pandemik Covid-19 dengan hingga 1 September 2021, sebanyak 84.3 peratus populasi dewasa telah menerima satu dos vaksin, manakala 64.2 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap.

“Kadar liputan imunisasi Covid-19 bagi populasi dewasa yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin di beberapa negeri seperti di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Labuan  melebihi 90 peratus, manakala lebih 75 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap.

 “Bagi negeri-negeri lain, aktiviti pemberian vaksin sedang dipertingkatkan dan kita menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap vaksin Covid-19 pada akhir Oktober,” katanya. - KitaReporters


0
0
0
0
0

Copy Link: