Gambar hiasan... Sarawak dijadualkan memulakan program suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 pada Oktober 2021. - Kredit foto: Sumber internet


SARAWAK dijadualkan memulakan program suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada penerima pada Oktober 2021 ini sekali gus bakal menjadi negeri pertama berikan suntikan dos berkenaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata fokus atau keutamaan akan diberikan kepada golongan berisiko yang berusia 60 tahun ke atas serta berkomorbid serius.

“Ketika ini, masih dalam peringkat proses penyediaan garis panduan klinikal untuk pelaksanaan program suntikan dos tersebut.

“Antara perkara sedang diteliti termasuklah jenis vaksin iaitu sama ada penerima akan diberikan vaksin sama dengan dua dos terdahulu atau sebaliknya yakni vaksin jenis lain yang sesuai,” katanya yang dipetik laporan Harian Metro bertarikh 26 September 2021.

Tambah beliau, tumpuan pemberian suntikan dos penggalak kepada golongan berisiko tinggi selaras dengan amalan di negara lain termasuk di Amerika Syarikat (AS) kerana tidak mahu gunakan sumber (vaksin) yang ada untuk golongan kurang memerlukan.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata pihaknya berusaha tingkatkan kapasiti kesihatan bagi pastikan tindakan segera dapat diambil dengan berkesan sekiranya berlaku peningkatan kes serius secara mendadak di Sarawak.

Katanya lagi, sebanyak 118 unit ventilator dan 1,008 silinder oksigen yang akan dihantar dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijadualkan 28 September 2021 selain menambah katil unit rawatan rapi. - KitaReporters


11
15
0
9
0

Copy Link: