PERHATIAN SEMUA.. RAMAI MASIH MUDAH DIPERDAYA SCAMMER!!

Published by
KitaReporters
PAPARAN dalam media massa sama ada cetak atau elektronik mengenai kes penipuan atau scammer bagaikan tidak berkesudahan meskipun kerugian yang dilaporkan mencecah jutaan ringgit.

Setiap hari pasti ada sahaja laporan diterima mengenai jenayah tersebut. 
Yang membezakan hanya mangsa dan helah yang digunakan.

Kadangkala apa yang mengejutkan adalah latar belakang mangsa antaranya merupakan guru, doktor, juruteknik, peniaga, penolong pegawai undang-undang dan pelajar universiti selain pesara kerajaan. 

Jika sebelum ini mangsa diperdaya dengan penawaran pelbagai jenis hadiah hanya dengan satu panggilan telefon sehingga sanggup memindahkan sejumlah wang.

Bukan ratusan ringgit malah sehingga ratusan ribu wang simpanan atau wang pencen lenyap sekelip mata.

Cinta juga merupakan salah satu modus operandi yang berjaya memerangkap mangsa yang rata-rata merupakan wanita bujang lanjut usia dengan mempunyai kerjaya tetap.

Ini dipanggil 'Love Scam'. Taktiknya mudah. Berkenalan di Facebook dan akhirnya jatuh cinta.

Jejaka pujaan hati nun jauh di luar negara kononnya menghadiahkan emas dan barangan berharga.

Helah hadiah atau wang dikirim perlukan cukai atau kos-kos lain yang perlu ditanggung oleh mangsa.

Selepas pemindahan wang, barang atau wang dikirim tidak kunjung tiba dan kekasih menutup akaun Facebook.

Barulah mangsa menyedari ditipu dan membuat laporan polis.

Terbaharu, kejadian membabitkan seorang lelaki berusia 41 tahun di Temerloh, Pahang yang kerugian sebanyak RM30,823 hanya kerana mahu membuat pinjaman wang.

Mangsa pula diminta memasukkan sejumlah wang yang kononnya wang proses sebaik sahaja dimaklumkan pinjaman lulus padahal pinjaman tersebut tidak wujud.

Justeru, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof mengingatkan orang awam agar segera memaklumkan kepada pihak polis atau bank sekiranya mendapat panggilan daripada orang tidak dikenali atau 'scammer'.

"Paling utama jangan simpan data rahsia dalam laman sosial Facebook atau telefon bimbit.

"Jangan dedahkan nombor akaun bank, TAC atau apa sahaja peribadi kepada orang yang tidak dikenali," katanya ketika dihubungi KitaReporters hari ini (17/10/2019).

Mohd. Wazir menegaskan bahawa pihak keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tidak akan menggunakan telefon untuk mengugut mengenai tangkapan. 

"Jangan percaya apabila menerima ugutan," katanya.

2
0
1
0
0

Copy Link: