POLIS menggesa golongan ibu bapa di Kelantan supaya memantau pergerakan anak-anak mereka memandangkan jenayah rogol terutama melibatkan remaja di bawah umur di negeri ini agak membimbangkan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata dalam tempoh Januari hingga Julai 2021 ini sahaja sebanyak 51 kes rogol direkodkan berbanding 39 kes bagi tempoh sama tahun lepas (2020) dengan paling ketara kes itu melibatkan remaja di bawah umur dan pelajar sekolah seawal usia 13 tahun.

“Kebanyakan kes yang dikesan berlaku kerana suka sama suka tetapi apabila melibatkan situasi di bawah umur ia dikategorikan sebagai kes rogol.

“Kita juga mendapati mangsa dan suspek saling mengenali dengan kebanyakannya berkenalan melalui laman sosial seperti Facebook ataupun aplikasi WhatsApp,” katanya seperti dipetik Bernama, Ahad, 5 September 2021.

Mengulas lanjut, Shafien berkata bagi tempoh Januari hingga Julai 2021 juga, sebanyak 16 kes rogol direkodkan di Kota Bharu berbanding hanya lima kes bagi tempoh sama pada 2020.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 14 kes sumbang mahram direkodkan bagi tempoh sama berbanding 15 kes tahun lepas.

“Berikutan kes melibatkan remaja di bawah umur berusia di antara 13 hingga 16 tahun ini, kita amat mengharapkan golongan ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak walaupun berada di rumah.

Shafien berkata, berdasarkan kes yang direkodkan, 90 peratus daripada kebanyakan suspek berjaya ditahan kerana dikenali oleh mangsa. - KitaReporters

10
13
1
12
0

Copy Link: