Berita Terkini| Koperal polis dituduh terima rasuah RM700! Mengaku tak bersalah di mahkamah!

Published by
KitaReporters

Tertuduh (tengah) sewaktu dibawa keluar dari kamar mahkamah di Mahkamah Sesyen Kuantan. - Kredit foto: Utusan Malaysia


SEORANG anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada 22 September 2021 atas tuduhan menerima suapan RM700 bagi membebaskan seorang lelaki yang memiliki air ketum hujung tahun 2020.

Pengakuan Mohamed Syaffiq Mohamed Sidek, 32, anggota berpangkat Koperal yang berkhidmat di Bahagian Tugas Bit dan Patrol (Rondaan) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan direkodkan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Tertuduh didakwa menerima suapan itu pada 25 Disember 2020 antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang di tempat kerjayanya daripada seorang lelaki sebagai dorongan bagi melepaskan rakannya yang ditahan dipercayai memiliki air ketum.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Memetik laporan Bernama, 22 September 2021, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu  jaminan RM10,000 ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan kepada RM3,000.

Rayuan itu dibuat kerana mempunyai tempoh masa singkat bagi mengumpulkan jumlah wang tersebut selepas dimaklumkan SPRM untuk hadir ke mahkamah pada minggu lalu.

Ahmad Zamzani kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 25 Oktober 2021 depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin. - KitaReporters


14
13
0
8
0

Copy Link: