Berita Terkini| Polis bongkar makmal proses dadah, pil ekstasi di Gelugor! 4 diberkas polis!

Published by
KitaReporters

Mustafa Kamal Gani (kiri) menunjukkan barang rampasan semasa sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di George Town. - Kredit foto: Utusan Malaysia


SEORANG peniaga durian antara empat individu yang diberkas polis dipercayai menganggotai sindiket pengedaran dadah dan pil ekstasi membabitkan rampasan bernilai RM398,352 dalam beberapa serbuan Georgetown, Pulau Pinang.

Dalam serbuan pertama polis membongkar sebuah makmal memproses pil ekstasi di sebuah rumah teres tiga tingkat di Bukit Gambir, Gelugor dan menahan seorang wanita warga China berusia 32 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, sindiket itu terbongkar selepas polis menahan peniaga durian berusia 29 tahun di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Sungai Pinang.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas sejumlah pil Erimin 5 dan ekstasi, serbuk MDMA, ketamin dan ganja bersama lelaki berkenaan.

“Penahanan lelaki itu membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan berusia 39 dan 42 tahun di dalam sebuah kereta jenis Nissan Sentra di Jalan Perak dan merampas sejumlah pil Erimin 5.

“Susulan serbuan itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah teres tiga tingkat dan pemeriksaan di bahagian dapur menemukan pil Erimin 5 dan ekstasi, syabu dan serbuk MDMA,” katanya seperti dipetik oleh Utusan Malaysia pada Sabtu, 3 Julai 2021.

Beliau menambah pihaknya turut merampas mesin dan peralatan memproses pil ekstasi di rumah yang didiami wanita warga China itu yang merupakan teman wanita ketua sindiket berkenaan.

Kesemua rampasan daripada sindiket itu melibatkan sebanyak 1,470 biji pil Erimin 5; serbuk MDMA (6,219 gram); syabu (23 gram) serta ketamin dan ganja masing-masing 1.5 dan 11 gram.

“Turut disita barang kemas serta sebuah kereta jenis Honda City bernilai RM28,340 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM426,692,” ujarnya.

Katanya, kesemua tangkapan direman selama lima hari sehingga 6 Julai 2021 dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - KitaReporters


0
0
0
1
0

Copy Link: