Gambar hiasan... Seorang bekas ratu cantik kini ditahan reman setelah rempuh SJR dan menumbuk anggota polis.


SEORANG bekas ratu cantik negara berusia 28 tahun ditahan selepas merempuh sekatan jalan raya (SJR) dan menumbuk anggota polis dalam kejadian di Lebuh Raya Persekutuan, Petaling Jaya.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi pada 8 Julai 2021 itu, suspek yang memandu kenderaan bersama rakannya dari arah Kuala Lumpur ke Petaling Jaya bertindak agresif dipercayai akibat mabuk.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata sewaktu tiba di SJR Lebuh Raya Persekutuan suspek terlebih dahulu bertindak tidak hentikan kenderaan dan merempuh sekatan.

“Ekoran itu, anggota kereta peronda polis (MPV) kemudiannya mengejar kenderaan suspek dan berjaya menahannya.  Bagaimanapun suspek menumbuk anggota polis berkenaan ketika dia cuba ditahan.

“Rakan suspek turut cedera akibat dipukul olehnya. Suspek berjaya ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya yang dipetik laporan Harian Metro, 8 Julai 2021.

Tambah beliau, suspek kini ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis, Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya lagi, hasil saringan awal ujian air kencing terhadap suspek dan rakannya mendapati kedua-dua mereka positif ganja. KitaReporters


1
0
1
0
3

Copy Link: