Kedua-dua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan dengan niat mahu gugurkan janin berusia lima bulan dalam kejadian di sebuah rumah di Kok Lanas, Kota Bharu. - Kredit foto: Harian Metro


SEORANG anggota tentera dan bekas kekasihnya didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 26 September 2021 atas pertuduhan mengugurkan janin berusia lima bulan dalam kejadian dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Nasarudin Hashim, 26, mengaku bersalah namun Dayang Nur Juliena Johari, 20, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memakan sebiji pil Miferistone iaitu pil gugur janin dengan niat mengelakkan janin berusia lima bulan dikandung wanita terbabit daripada dilahirkan hidup atau hendak menyebabkan kematian selepas dilahirkan.

Memetik laporan Kosmo, 26 September 2021, kesalahan dilakukan pasangan berkenaan di sebuah rumah di Kok Lanas, Kota Bharu kira-kira jam 11 malam dalam kejadian pada 22 Mei 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fariz Abdul Hamid, manakala kedua-kedua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Fariz menawarkan jaminan masing-masing sebanyak RM5,000 untuk kedua-dua tertuduh sementara menunggu sebutan semula kes dan hukuman.

Kedua-dua tertuduh dalam rayuan mereka memohon jaminan yang rendah memandangkan masing-masing punyai komitmen melibatkan kewangan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan mereka membayar jaminan ditetapkan itu.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan mahkamah pada 27 Oktober 2021 nanti. - KitaReporters


19
8
0
6
0

Copy Link: