KERAJAAN negeri Kedah menyalurkan bantuan tunai berjumlah RM500 kepada setiap keluarga terkesan dengan bencana banjir susulan fenomena kepala air di Gunung Jerai, Yan, berlaku pada Rabu, 18 Ogos 2021 lalu.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, bantuan itu adalah bagi membantu kerja-kerja penggantian sebahagian peralatan asas rumah dan pembersihan akibat banjir berkenaan.

“Hasil perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) malam tadi (19 Ogos 2021), kerajaan negeri memutuskan untuk memberikan bantuan bagi membantu mangsa yang terjejas akibat fenomena kepala air.

“Bagi keluarga yang kehilangan nyawa akibat kejadian itu, kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan berjumlah RM5,000 kepada keluarga mangsa,” katanya yang dipetik oleh Sinar Harian pada Jumaat, 20 Ogos 2021.

Muhammad Sanusi berkata, urusan pendaftaran bagi keluarga terjejas menerima bantuan berkenaan akan diuruskan oleh Pejabat Daerah Yan dan Pejabat Daerah Kuala Muda.

“Sebagai langkah awal, keluarga terlibat dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan mendaftarkan nama dan maklumat diri dengan Pejabat Daerah masing-masing. 

"Bagi bantuan untuk membaiki kerosakan bangunan bukan kediaman dan bangunan kerajaan ia masih dalam perbincangan,” katanya.

Berdasarkan laporan awal kira-kira 800 rumah di sekitar Yan dan 200 rumah di Tupah, Kuala Muda terjejas akibat bencana kepala air dan banjir kilat tersebut selain mengakibatkan empat penduduk terkorban. - KitaReporters


 

0
0
0
0
0

Copy Link: