KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan harga kit ujian kendiri Covid-19 akan menjadi lebih murah menjelang akhir September 2021 ini supaya kit itu mampu dimiliki semua golongan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, harga baharu dijangka diumumkan dalam masa terdekat selepas perbincangan antara pembekal dan peniaga.

Walaupun penurunan harga belum dimuktamadkan, namun jumlahnya lebih murah terutama bagi keluarga yang ada ramai anak bersekolah.

"Jika ada anak lima, harga kit ujian kendiri yang perlu dibeli sudah mencecah RM100. Oleh itu harga baharu membolehkan mereka melakukan ujian bagi memastikan anak sihat sebelum kembali ke sekolah," katanya seperti dipetik Sinar Harian, Sabtu, 25 September 2021.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan harga borong dan runcit bagi kit ujian kendiri Covid-19 diletakkan di bawah kawalan berkuat kuasa 5 September 2021 menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kit berkenaan dijual pada harga RM16 (borong) dan RM19.90 (runcit) bagi satu set. - KitaReporters


11
13
0
15
0

Copy Link: