Ahli jawatankuasa menyusun pelbagai barangan makanan keperluan asas untuk diagihkan kepada keluarga miskin, ibu tunggal, asnaf dan anak yatim penduduk di Taman Impian Ehsan (3), Balakong, Selangor.


SELAMA tujuh tahun Persatuan Penduduk Taman Impian Ehsan (3), Balakong, Selangor tetap utuh dalam kesepakatan mereka membantu golongan keluarga miskin, ibu tunggal, asnaf dan anak yatim dalam membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

Program berkenaan mendapat kerjasama Surau An-Nur taman berkenaan, Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) dan penduduk setempat serta individu prihatin yang menyumbangkan pelbagai barangan makanan keperluan asas serta dana bagi menjayakannya.

Ahli Jawatankuasa Penyelaras Program itu, Sharani Abdullah, berkata untuk program tahun ketujuh itu 50 keluarga terbabit dikenal pasti bagi menerima sumbangan berkenaan hasil daripada maklumat yang disediakan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang dianggotai penduduk taman berkenaan.


Azlan wakil Yayasan Food Bank Malaysia menagihkan sumbangan kepada ahli keluarga terbabit.


Menurutnya, keluarga miskin, ibu tunggal, asnaf dan anak yatim itu merupakan penduduk taman berkenaan yang mendiami di pangsapuri Zapin, Ghazal, Inang dan Qasidah yang belum menerima sebarang sumbangan dan perlu dibantu.

Tambah beliau, namun begitu saringan tetap dibuat bagi memastikan bantuan yang disumbang pelbagai pihak itu sampai ke sasaran sebagaimana tujuan asal program berkenaan dilaksanakan setiap tahun termasuk dalam tempoh negara dilanda wabak Covid-19 beberapa tahun lalu. 

“Selain sumbangan barangan makanan keperluan asas ini, beberapa individu perseorangan turut menghulurkan wang zakat kepada beberapa keluarga terpilih menyedari kesusahan mereka lebih menyedihkan,” ujarnya pada majlis agihan sumbangan di dewan komuniti taman berkenaan pada 16 April 2023. 

Antara barangan makanan keperluan asas yang diagihkan itu termasuklah beras, tepung gandum,minyak masak, telur, susu, makanan dalam tin, gula, bihun, kuih raya dan sebagainya.


Pengerusi Surau An-Nur (tengah) menghulurkan sumbangan kepada wakil keluarga.


Sempena agihan barangan makanan itu pihak pengurusan surau berkenaan turut mengadakan Majlis Khatam Al-Quran.

Sharani berkata, walaupun terpaksa mengambil masa beberapa minggu bagi mengumpul barangan hasil sumbangan pelbagai pihak serta dana namun kelegaan terasa apabila turut mendapat bantuan daripada Yayasan Food Bank Malaysia.

Jelasnya, kerjasama serta sokongan yang diterima itu amat besar ertinya kerana dapat mengembirakan keluarga terbabit menyambut Aidilfitri seperti orang lain selain memberi kesedaran bahawa ada pihak yang pedulikan nasib mereka.

“Kami ahli jawatankuasa terus berazam untuk membantu mereka yang serba kekurangan bagi menyambut Aidilfitri pada masa akan datang selain mengenal pasti kelemahan yang ada untuk diperbaiki,” katanya. - KitaReporters


Pasangan suami isteri menerima cenderamata sempena Majlis Khatam Al-Quran.

20
14
0
13
0

Copy Link: