Keputusan kerajaan melanjutkan kontrak penganjuran Kejuaraan Motosikal Dunia atau MotoGP Malaysia sehingga 2031 bukan sekadar memastikan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) terus berada dalam kalendar perlumbaan dunia. 

Mohammed Taufiq Johari (kanan) menguji jentera SIC di Sepang.
Lebih daripada itu, ia adalah satu pelaburan strategik yang menyentuh pelbagai aspek -- daripada pembangunan bakat, ekonomi, pelancongan, teknologi sehinggalah kepada pengukuhan jenama Malaysia di pentas antarabangsa.

Kelulusan Jemaah Menteri bagi pembaharuan kontrak selama lima tahun, bermula 2027 hingga 2031, sekali lagi mengesahkan keyakinan kerajaan bahawa MotoGP kekal sebagai aset nasional yang memberi pulangan besar kepada negara.

Ketika ada yang mempersoal kos penganjuran yang semakin meningkat saban tahun, persoalan yang lebih tepat ialah sama ada pelaburan itu mampu memberikan pulangan yang setimpal.

Jika dilihat kepada data dan kesan jangka panjang, jawapannya cenderung kepada ya.


Mohammed Taufiq (kiri) dan Azhan Shafriman Hanif.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, menyifatkan pembaharuan kontrak itu sebagai bukti komitmen kerajaan untuk memastikan Malaysia terus menjadi antara hab utama sukan permotoran dunia.

Menurut beliau, keputusan itu bukan sekadar melanjutkan penganjuran sebuah kejohanan, sebaliknya merupakan pelaburan strategik yang membawa manfaat besar kepada negara.

"Pada 2024, penganjuran MotoGP Malaysia menjana impak ekonomi keseluruhan sebanyak kira-kira RM694 juta, mewujudkan lebih 4,400 peluang pekerjaan serta menghasilkan pulangan pelaburan sekitar 6.3 kali ganda kepada negara," katanya.

Angka itu membuktikan MotoGP bukan sekadar acara selama tiga hari di Sepang, tetapi pemangkin kepada rantaian ekonomi yang jauh lebih luas.

Hotel, syarikat penerbangan, restoran, pusat beli belah, perkhidmatan e-hailing, syarikat logistik serta perusahaan kecil dan sederhana menikmati limpahan ekonomi hasil kehadiran ratusan ribu peminat tempatan dan antarabangsa.

Impak itu turut mengukuhkan sektor pelancongan negara apabila MotoGP menjadi antara acara sukan antarabangsa terbesar yang menarik kehadiran pelawat asing setiap tahun.

Dalam era persaingan destinasi pelancongan global, acara bertaraf dunia seperti MotoGP memberikan nilai promosi yang sukar diukur hanya melalui kos pengiklanan.

Sepang bukan sekadar menjadi lokasi perlumbaan, malah menjadi wajah Malaysia kepada jutaan penonton di seluruh dunia menerusi siaran langsung yang disaksikan di pelbagai negara.

Namun, nilai sebenar MotoGP sebenarnya jauh melangkaui aspek ekonomi.

Sukan permotoran memerlukan ekosistem yang lengkap untuk melahirkan seorang pelumba bertaraf dunia.

Ekosistem itulah yang berjaya dibina Malaysia sejak MotoGP berpindah ke SIC pada 1999.


Hakim Danish Raml beraksi cemerlang dalam saingan Moto3.

Menurut Dr Mohammed Taufiq, MotoGP memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat menerusi program Malaysian Motorsport Development (MDEV).

Program itu menjadi platform penting melahirkan generasi baharu pelumba negara yang kini semakin mendapat perhatian di pentas antarabangsa.

Nama seperti Hakim Danish Ramli menjadi bukti bahawa pelaburan terhadap pembangunan akar umbi mula membuahkan hasil.

Begitu juga Qabil Irfan Azlan yang semakin mencipta nama dalam perlumbaan antarabangsa dan dilihat sebagai antara prospek terbaik negara untuk meneruskan legasi Malaysia di pentas dunia.

Kejayaan mereka bukan berlaku secara kebetulan. Ia lahir daripada kesinambungan pembangunan yang melibatkan latihan, pendedahan antarabangsa, sokongan teknikal dan peluang menyaksikan perlumbaan bertaraf dunia di halaman sendiri.

Lebih penting, manfaat MotoGP tidak hanya dinikmati pelumba. Jurutera, mekanik, pegawai teknikal, marshal perlumbaan, petugas keselamatan serta ribuan tenaga kerja tempatan turut memperoleh pengalaman mengendalikan acara bertaraf dunia.

Ini mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menjadi aset penting kepada industri automotif dan sukan permotoran negara.

Dalam aspek teknologi pula, MotoGP merupakan antara platform terbaik memperkenal inovasi terkini dalam kejuruteraan automotif, analisis data, aerodinamik dan teknologi perlumbaan.

Pendedahan itu membuka ruang kerjasama antara industri, institusi pengajian tinggi dan pusat TVET untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang berteknologi tinggi.


Qabil Irfan Azlan bersaing dalam kancah Moto4 European Cup 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, pula mengingatkan bahawa Malaysia tidak boleh mengulangi kesilapan kehilangan Formula Satu (F1).

"Kami belajar daripada apa yang berlaku sebelum ini apabila kita melepaskan F1. Apabila sesuatu itu hilang, ia sangat sukar untuk diperoleh semula," katanya.

Pengalaman menjadi tuan rumah F1 dari 1999 hingga 2017 menjadi bukti bahawa acara sukan bertaraf dunia bukan sesuatu yang mudah dikembalikan selepas ia terlepas daripada kalendar antarabangsa.

Justeru, menurut Azhan, keputusan melanjutkan kontrak MotoGP merupakan langkah strategik bagi memastikan Malaysia terus kekal kompetitif sebagai destinasi utama sukan permotoran.

SIC giat merancang masa depan yang lebih mampan menerusi Pelan Induk Pembangunan SIC 2035.

Menurut Dr Mohammed Taufiq, pelan itu dijangka menarik pelaburan sehingga RM1 bilion serta mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan berimpak tinggi.

Ini menunjukkan MotoGP bukan lagi sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pembangunan sebuah hab sukan permotoran dan industri automotif yang mampu memberi manfaat kepada negara untuk tempoh beberapa dekad akan datang.

Pada masa sama, SIC turut merancang mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan secara berperingkat menerusi peningkatan hasil komersial, penajaan, pakej hospitaliti premium dan pelaburan swasta.

Pendekatan itu penting bagi memastikan model penganjuran MotoGP lebih mampan tanpa menjejaskan kualiti acara.



Dari sudut sosial, MotoGP turut menjadi platform yang menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum, usia atau latar belakang.

Festival perlumbaan yang berlangsung setiap tahun bukan sahaja menghidupkan industri pelancongan tempatan, malah menyemarakkan minat generasi muda terhadap sukan, kejuruteraan dan bidang STEM.

Hakikatnya, kejayaan sesebuah negara dalam sukan permotoran tidak diukur hanya melalui jumlah perlumbaan yang dianjurkan.

Ia diukur melalui kemampuan membina bakat, memindahkan teknologi, merangsang ekonomi dan membentuk industri yang mampu berdiri sendiri. Malaysia kini berada di landasan itu.

Justeru, keputusan mengekalkan MotoGP sehingga 2031 bukan sekadar mempertahan satu acara sukan bertaraf dunia, tetapi satu pelaburan jangka panjang yang diyakini mampu melahirkan lebih ramai pelumba seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan, memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan baharu serta mengangkat jenama Malaysia sebagai kuasa sukan permotoran yang disegani di rantau Asia dan dunia. - KitaReporters

5
9
0
8
0

Copy Link: