SEORANG kenalan menghantar kepada penulis carta juara Piala Dunia (gambar bawah) yang menunjukkan senarai juara-juara pertandingan itu dengan Brazil mengungguli sebagai pasukan paling banyak memenanginya iaitu lima kali.


 
Ia disusuli Jerman sebanyak empat kali, Itali (4), Argentina (3), Perancis (2), Uruguay (2), England (1) dan Sepanyol (1). Agak memeranjatkan nama Malaysia turut terselit - tanpa jumlah kejuaraan sebaliknya ditulis lain kali.

Ia mengundang senyum penulis. Namun, di sebalik jenaka itu, ia juga adalah sindiran tajam untuk pasukan bola sepak kebangsaan kita yang terus kempunan untuk beraksi pada kejohanan berpestij dunia itu. 

Sebagaimana rakyat Malaysia yang lain, apatah lagi sebagai wartawan sukan sejak lebih 40 tahun lalu, penulis sentiasa mengimpikan Harimau Malaya beraksi di pentas dunia, bersaing dengan pasukan-pasukan hebat seperti Sepanyol, Jerman, Perancis, Brazil dan kuasa-kuasa besar bola sepak yang lain. 

Ketika baru bergelar wartawan sukan pada 1983, keyakinan penulis agak tinggi bahawa Malaysia hanya menunggu masa untuk melaykkan diri ke Piala Dunia. Ia berdasarkan kemampuan kita layak ke Sukan Olimpik sebanyak dua kali iaitu pada 1972 dan 1980.


SKUAD Malayasia yang beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman Barat.


Ketika itu, Malaysia antara pasukan terbaik Asia, berdiri sama tinggi dengan jaguh serantau lain sepertri Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi malah pernah memenangi pingat gangsa acara bola sepak Sukan Asia 1974 di Tehran. 

Tapi, ternyata, keyakinan penulis itu meleset sama sekali. 

Ketika Jepun dan Korea semakin maju, kita jauh ditinggalkan, bukan setakat tercicir untuk ke Piala Dunia, pada peringkat Asia pun Harimau Malaya tidak lagi mampu mengaum. 

Lebih memburukkan keadaan bila bola sepak Malaysia dilanda gejala rasuah pada 1994 yang menyaksikan lebih 100 individu terdiri daripada pemain dan pegawai terbabit sehingga sebahagian besarnya digantung seumur hidup.


DETIK bersejarah apabila Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Moscow 1980.


Skandal itu menjadi titik mula kemerosotan pasukan kebangsaan. Selepas generasi Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Ahmad Yusof, Azizol Abu Hanifah dan pemain seangkatan mereka, skuad kebangsaan bagaikan layang-layang terputus tali. 

Malah, pada peringkat ASEAN, contohnya pada Sukan SEA dan Piala AFF, kita terkial-kial hendak mengalahkan pasukan Thailand dan Vietnam yang pada suatu masa dahulu menjadi ‘lauk’ Harimau Malaya. 

Skuad kebangsaan menyalakan sedikit api harapan apabila jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon berjaya membawa negara ke pertandingan Piala Asia 2023 buat pertama kali dalam tempoh 42 tahun.


SKUAD Malaysia bimbingan Kim Pan Gon berjaya melayakkan diri ke Piala Asia 2023.


Kehadiran jurulatih dari Australia, Peter Cklamovski sebagai pengganti Pan Gon selari dengan idea merevolusikan pasukan Harimau Malaya juga menampakkan petanda positif apabila kita hampir berjaya melayakkan diri ke Piala Asia 2027 namun petaka sekali lagi menimpa skuad kebangsaan. 

Isu tujuh pemain warisan yang digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa  (FIFA) kerana memalsukan dokumen menjadi tamparan hebat malah dianggap sebagai satu skandal yang memalukan negara, sekali gus memusnahkan impian Cklamovski ke Piala Asia, juga cita-cita membawa Malaysia ke Piala Dunia 2030.

Jurulatih itu akhir memilih jalan untuk menamatkan kontrak bersama skuad Harimau Malaya dengan tugasnya sebagai jurulatih kini dipikul sementara oleh Tan Cheng Hoe.


PETER CKLAMOVSKI


Menjengah ke pertandingan Piala Dunia yang sedang rancak berlangsung, kita perlu berasa malu kepada pasukan Cape Verde, sebuah negara kecil di pantai barat Afrika yang berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 sedangkan jika dibandingkan dengan Malaysia, mereka kalah daripada pelbagai aspek kepada kita. 

Cape Verde membuktikan kehadiran mereka buat pertama kali pada Piala Dunia 2026 bukan sekadar pelengkap pasukan atau untuk dijadikan budak belasahan oleh pasukan seperti Sepanyol yang berada sekumpulan dengan mereka. 

Sebaliknya, pasukan kerdil itu membuktikan kualiti dunia apabila berjaya mengikat Sepanyol 0-0, seri dengan Uruguay 2-2 dan 0-0 dengan Arab Saudi untuk menduduki tangga kedua Kumpulan H sekali gus layak ke pusingan kalah mati.


KEJAYAAN pasukan Cape Verde layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 mendapat liputan meluas media.


 

Malah, pada peringkat kalah mati, pasukan itu mencemaskan Argentina apabila mengheret juara bertahan itu ke masa tambahan selepas terikat 2-2 pada perlawanan 90 minit sebelum tewas 2-3.

Biarpun sudah tersisih daripada saingan seterusnya tapi Cape Verde berjaya membuka mata banyak pihak dengan membuktikan negara kecil yang serba kekurangan juga mampu memberi saingan jika diurus dengan baik -- sesuatu yang perlu dipelajari Malaysia!


Kredit grafik: Harian Metro


Persekutuan Bola Sepak Cape Verdian hanya ditubuhkan secara rasmi pada 1982 dan menjadi ahli gabungan FIFA pada 1986 sedangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menyambut ulang tahun ke-100 pada 11 September 2026 nanti. 

Jika dibandingkan populasi penduduk, negara itu hanya dihuni oleh seramai kira-kira setengah juta orang berbanding Malaysia seramai 34.4 juta orang. 

Daripada sudut fasaliti, contohnya gelanggang perlawanan, Stadium Nasional Cabo Verde yang merupakan stadium utama mereka hanya berkapasiti 15,000 penonton, sementara stadium-stadium lain di negara itu berkapasiti bawah 10,000.


STADIUM Nasional Bukit Jalil yang menjadi kebangaan kita.


Sebagai perbandingan, Stadium Nasional Bukit Jalil boleh memuatkan 84,411 penonton tapi sekadar mampu melahirkan juara Piala Malaysia. 

Sepatutnya dengan populasi penduduk dan fasaliti dimiliki serta jumlah wang diperuntukkan oleh kerajaan untuk membangunkan bola sepak Malaysia, Harimau Malaya seharusnya sudah lama beraksi di Piala Dunia tapi hakikatnya kita terus menanti. 

Di manakah silapnya? 

Sebagai wartawan sukan, penulis hanya nampak lapisan di atas namun masalah sebenar hanya diketahui mereka yang terbabit secara langsung dengan bola sepak negara terutama FAM. 

Mereka inilah yang harus dipertanggungjawabkan atas kegagalan kita layak ke Piala Dunia. 


BARISAN kepemimpinan FAM 2025-2029 yang meletak jawatan pada Januari 2026.


Penulis berharap dengan kepemimpinan baharu yang bakal dibentuk oleh FAM ekoran perletakan jawatan ahli jawatankuasa eksekutif 2025-2029 pada 28 Januari 2026, badan induk itu dapat berfungsi lebih baik. 

FAM perlu meluruskan apa yang bengkok, memperbaiki apa yang rosak, mengatasi kelemahan serta kepincangan dan lebih penting benar-benar Ikhlas berkhidmat untuk memajukan bola sepak negara.


SKANDAL tujuh pemain warisan mencemarkan reputasi Harimau Malaya dan FAM.


Untuk itu kita memerlukan wajah-wajah baharu untuk menerajui FAM. Justeru, elakkan memilih pemimpin kitar semula yang ternyata telah gagal malah memalukan negara dengan skandal pemain warisan. 

Sebagai wartawan yang mengikuti perkembangan bola sepak Malaysia secara dekat selama lebih 40 tahun, sebelum menutup mata, penulis amat kepingin melihat Malaysia beraksi pada Piala Dunia.

Tetapi dengan situasi pasukan kebangsaan sekarang, apakah harapan itu akan tercapai? Atau penulis dan kita semua akan terus bermimpi pada siang hari? - KitaReporters

6
6
0
3
0

Copy Link: