Evolusi bola Piala Dunia! Hampir satu abad perjalanan! Daripada kulit lembu ke kecerdasan buatan!

Published by
KitaReporters

Demam Piala Dunia datang lagi dan setiap kali temasya berlangsung perhatian dunia akan lebih tertumpu kepada pasukan pilihan, pemain bintang, jaringan cantik dan drama lain yang berlaku di atas padang. 


 

Perubahan ketara T-Model yang diperbuat daripada kulit lembu ketika digunakan pada Piala Dunia 1930 (kiri) dengan Al-Rihla bola rasmi Piala Dunia Qatar 2022 .


Bola rasmi Piala Dunia 2026  Trionda yang dikatakan memiliki pelbagai ciri istimewa yang dilengkapi dengan peranti pintar di dalamnya. - Kredit foto: Media Permata.com


Namun di tengah-tengah segala kemeriahan itu, ada satu"watak" utama yang sering terlepas daripada perhatian walaupun hakikatnya tanpa kewujudannya Piala Dunia tidak akan pernah berlangsung seperti seadanya. Watak itu ialah bola.

Dalam tempoh hampir satu abad sejak Piala Dunia pertama dianjurkan pada tahun 1930, bola rasmi kejohanan telah mengalami perubahan yang mungkin lebih besar daripada perubahan yang berlaku kepada permainan itu sendiri. 

Bola rasmi Piala Dunia bermula daripada objek kulit yang dijahit tangan oleh tukang mahir, sebelum terkini berkembang menjadi produk kejuruteraan berteknologi tinggi yang direka menggunakan komputer, diuji dalam terowong angin dan kini dilengkapi cip elektronik yang mampu berkomunikasi dengan sistem pengadilan.

Menariknya, walaupun teknologi berubah secara drastik, saiz dan berat bola hampir tidak berubah sepanjang tempoh tersebut. 

Apa yang berubah ialah cara bola bergerak, cara pemain mengawalnya dan cara ia membantu menentukan keputusan perlawanan.


Biar pun bola mengalami perubahan besar dari aspek pembuatannya sejak 96 tahun lalu, namun fungsinya tetap sama iaitu mencari 'jalan' untuk dimasukkan ke dalam gol. - Kredit foto: Kumparan.com

Ketika sejarah awal Piala Dunia, Uruguay yang menjadi tuan rumah pertama pada tahun 1930, bola yang digunakan diperbuat daripada kulit lembu asli yang dijahit dengan tangan menggunakan tali kulit untuk menutup bukaan yang digunakan bagi memasukkan pundi udara.

Pada zaman itu, tiada satu standard pengeluaran seragam ditetapkan bagi pengeluaran bola. 

Menghasilkan bola yang benar-benar bulat merupakan satu cabaran besar dan setiap bola yang terhasil  mempunyai sedikit perbezaan daripada bola yang lain. 

Masalah terbesar pula muncul apabila hujan turun kerana kulit yang merupakan bahan utama pembuatan bola menyerap air dan menyebabkan bola menjadi semakin berat. 

Bola seberat kira-kira 400 gram boleh bertambah berat dengan ketara selepas 90 minit permainan dalam keadaan basah.

Selain itu, bagi pemain generasi awal, menanduk bola bukan sekadar kemahiran teknikal, malah memerlukan keberanian yang luar biasa dan tidak hairanlah ramai pemain era tersebut menganggap tandukan sebagai sebahagian daripada pengorbanan yang perlu dilakukan demi pasukan.

Lebih menarik, pada perlawanan akhir Piala Dunia 1930, Argentina dan Uruguay gagal mencapai persetujuan mengenai bola yang mahu digunakan. 

Akhirnya pengadil membuat keputusan menggunakan bola Argentina pada separuh masa pertama sebelum bertukar kepada bola Uruguay pada separuh masa kedua.

Ketika itu, bola masih belum dianggap sebagai elemen teknologi yang perlu diseragamkan sepenuhnya.


Bola yang digunakan ketika tiga edisi awal Piala Dunia diperbuat daripada kulit lembu tulen  yang dijahit oleh tukang jahit mahir. - Kredit foto: Beritamedia Corp. 


Selama lebih tiga dekad selepas itu, walaupun pelbagai penambahbaikan dilakukan, bola Piala Dunia terus menggunakan bahan kulit sehinggalah perubahan paling besar berlaku pada tahun 1970 apabila Adidas memperkenal bola Telstar.

Generasi hari ini, mungkin tidak memahami reka bentuk hitam putih 32 panel pada bola ketika itu yang mungkin kelihatan biasa. Tetapi pada tahun 1970, ia merupakan satu revolusi visual.

Ketika televisyen hitam putih masih mendominasi siaran global, panel hitam dan putih itu direka antara lain bertujuan agar penonton dapat melihat bola dengan lebih jelas pada skrin televisyen.

Tanpa disedari, Telstar mencipta imej yang akhirnya menjadi simbol-simbol universal bola sepak sehingga hari ini walaupun lebih setengah abad telah berlalu.

Pada tahun 1986, revolusi sebenar berlaku menerusi Azteca yang buat pertama kali diperbuat sepenuhnya daripada bahan sintetik dan perubahan ini mungkin tidak begitu ketara pada mata penonton, tetapi kesannya terhadap permainan sangat besar.

Bola tidak lagi menyerap air. Beratnya kekal hampir sama dari minit pertama hingga minit terakhir. Pantulannya lebih konsisten.

Pergerakannya boleh diramal oleh pemain, sekali gus mampu memberi tumpuan sepenuhnya kepada permainan tanpa perlu menyesuaikan diri dengan perubahan sifat bola akibat cuaca.


Bola rasmi Piala Dunia ketika era tahun 1950an yang masih belum mengalami perubahan besar berbanding tahun-tahun sebelumnya. - Kredit foto: Beritamedia Corp. 

Azteca menjadi titik pemisah antara era tradisional dan era moden bola sepak apabila sains mengambil alih pembuatan bola khususnya dalam menghasilkan bola rasmi untuk Piala Dunia.

Selepas kejayaan Azteca, pembangunan bola memasuki fasa yang jauh lebih saintifik. Bola tidak lagi direka berdasarkan pengalaman pembuat bola semata-mata sebaliknya, jurutera, saintis bahan dan pakar aerodinamik mula memainkan peranan utama.

Model seperti Etrusco Unico, Questra, Tricolore dan Fevernova menjadi bukti bagaimana teknologi semakin mempengaruhi sukan paling popular dunia itu.

Perhatian kini tertumpu kepada aliran udara di sekeliling bola. Setiap panel dikaji, setiap jahitan dianalisis. Setiap lekukan diuji. 

Matlamatnya mudah tetapi rumit untuk dicapai iaitu menghasilkan bola yang bergerak lebih pantas, lebih tepat dan lebih konsisten.

Pada masa sama, bilangan panel mula dikurangkan secara berperingkat-peringkat. Jika Telstar menggunakan 32 panel, Teamgeist yang diperkenalkan pada tahun 2006 hanya menggunakan 14 panel.

Kurang panel bermakna permukaan yang lebih licin dan bentuk yang lebih hampir kepada sfera sempurna menghasilkan bola yang mampu bergerak dengan lebih efisien di udara.

Bermula tahun 1970 bola sepak rasmi Piala Dunia mengalami perubahan besar yang menjadi simbol univesal bola sepak hingga ke hari ini. - Kredit foto: Beritamedia Corp.

Eksperimen hampir berjaya pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan yang menyaksikan kemunculan Jabulani, antara bola paling terkenal dalam sejarah moden bila mana juruteranya cuba membawa aerodinamik ke tahap baharu.

Dengan hanya lapan panel, Jabulani direka supaya lebih pantas dan lebih responsif, namun eksperimen itu menghasilkan kesan yang tidak dijangka. Ramai penjaga gol mendakwa bahawa pergerakan itu bola tersebut sukar diramal.

Sesetengah sepakan berubah arah secara mendadak ketika berada di udara. Pemain pula memberikan pelbagai reaksi, daripada kagum sehingga kecewa.

Jabulani membuktikan satu perkara penting, kadangkala kemajuan teknologi tidak semestinya menghasilkan pengalaman permainan yang lebih baik atau bola mungkin menjadi lebih canggih, tetapi pemain masih perlu berasa selesa menggunakannya.

Bola rasmi Piala Dunia Qatar 2022, Al-Rihla yang dilengkap cip elektronik di dalamnya. - Kredit foto: News Adidas.com.


Selepas kontroversi Jabulani, Adidas mengambil pendekatan lebih seimbang dengan menghasilkan Brazuca pada tahun 2014 yang mendapat pujian kerana berjaya menggabungkan kelajuan, kestabilan dan kawalan.

Pada 2018 pula muncul Telatar 18 menandakan permulaan era digital apabila dilengkapi cip NFC yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan bola menggunakan peranti pintar walaupun cip itu sebenarnya tidak memainkan peranan dalam pengadilan, namun ianya menunjukkan arah masa depan pembangunan bola sepak.

Bola kini bukan lagi sekadar objek fizikal, sebaliknya bola mula menjadi peranti digital. Bola Yang Boleh "Bercakap".melalui apa yang dimulakan sebagai eksperimen akhirnya menjadi realiti pada Piala Dunia 2022 di Qatar.

Al-Rihla menjadi bola rasmi pertama yang menggunakan teknologi Connected Ball (Bola Sepak Terhubung). 

Di dalam teras bola terdapat sensor khas yang mampu menghantar data sentuhan dan kedudukan kepada sistem video pembantu pengadil (VAR) sebanyak ratusan kali sesaat. 

Untuk pertama kali dalam sejarah, bola membantu pengadil membuat keputusan.


Tugas pengadil kini turut dibantu oleh teknologi VAR dan kewujudan bola pintar yang diletakkan cip di dalamnya bagi mengesan pergerakan bola. - Kredit foto: Vocket


Perubahan ini mungkin kelihatan kecil. Hakikatnya ia merupakan antara revolusi terbesar sejak pengenalan bahan sintetik pada tahun 1986. Trionda yang digunakan pada Piala Dunia 2026 membawa evolusi itu ke tahap lebih tinggi.

Bola ini bukan sahaja dilengkapi sensor pintar generasi baharu, malah direka untuk berintegrasi dengan sistem analitik dan pengadilan yang semakin bergantung kepada kecerdasan buatan.

Ironinya, walaupun cip elektronik, sensor dan algoritma kini berada di dalam bola, ukuran lilitnya masih hampir sama seperti yang digunakan hampir satu abad lalu di mana ukurannya masih sekitar 68 hingga 70 sentimeter, sementara beratnya masih dalam lingkungan 410 hingga 450 gram.

Seolah-olah dunia teknologi sedang berubah dengan pantas, tetapi bola sepak tetap mahu mengekalkan jiwanya.

Apabila Trionda digunakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada tahun 2026 ini, ramai mungkin melihatnya sekadar sebagai bola rasmi baharu.

Namun hakikatnya ia mewakili perjalanan teknologi selama 96 tahun.

Daripada kulit lembu yang menyerap hujan di Montevideo pada 1930, kepada bola pintar yang mampu menghantar data kepada sistem komputer dalam masa nyata.


Dengan adanya pelbagai teknologi moden termasuk bola yang melalui pelbagai ujian kejuruteraan semasa proses menghasilkannya banyak memudahkan tugas pengadil. - Kredit foto: Semuanya Bola.com

Daripada jahitan tangan tukang kulit, kepada kecerdasan buatan (AI). Daripada objek permainan, kepada instrumen teknologi, tetapi di sebalik segala perubahan itu, satu perkara tidak pernah berubah.

Sebaik sahaja wisel ditiup dan perlawanan bermula, berjuta-juta mata tetap menumpukan perhatian kepada objek bulat yang sama kerana sama ada diperbuat daripada kulit lembu atau dipenuhi sensor elektronik, tugasnya masih serupa seperti hampir satu abad lalu iaitu setiap pasukan mencari jalan memasukkan bola itu ke dalam gawang. - KitaReporters


9
13
0
17
0

Copy Link: