Pengalaman membina keluarga dan mengenali erti penerimaan menjadi inspirasi utama buat Harith Zazman dan Yonnyboii yang bergabung buat pertama kali menerusi single baharu berjudul “Sempurna”.



Dilancarkan bersempena sambutan Hari Bapa (yang jatuh pada 21 Jun 2026), lagu berkenaan membawa mesej tentang kasih sayang, penghargaan dan bagaimana perbezaan dalam sebuah hubungan sebenarnya mampu melengkapkan kehidupan seseorang.

“Sempurna” yang ditulis oleh Harith Zazman, Yonnyboii dan Justin Seow selaku penerbit merupakan sebuah karya yang lahir daripada perjalanan hidup kedua-dua penyanyi itu selepas bergelar suami dan bapa. 

Dengan sentuhan pop yang sarat emosi, lagu tersebut mengetengahkan pandangan bahawa kesempurnaan bukan bermaksud mencari insan yang sama seperti diri sendiri, sebaliknya menerima serta menghargai perbezaan yang ada.

Bagi Harith, lagu itu sangat dekat dengan kehidupannya kerana ia tercetus daripada pengalaman selepas mendirikan rumah tangga. 

“Selepas berkahwin, saya sedar banyak perbezaan antara saya dan isteri. Kami datang daripada latar belakang yang berbeza dan kadang-kadang mempunyai pandangan yang bertentangan tentang sesuatu perkara. 

"Tetapi perbezaan itulah yang membuatkan kami saling belajar dan memahami antara satu sama lain. Bagi saya, itulah maksud sebenar ‘sempurna’,” jelas pemilik bernama penuh, Mohamad Harith Saifuzzaman ini.


Harith Zazman bersama isteri, Nuramalina Ghakaskhah serta anak mereka. Farrel Ali, 4 tahun.


Menurutnya, “Sempurna” juga antara karya paling peribadi pernah dihasilkannya sepanjang bergelar anak seni, malah proses penulisan lagu itu turut menyentuh emosinya kerana berkait rapat dengan pengalaman sebenar yang dilalui.

“Ini mungkin lagu yang paling matang dan paling emosional pernah saya tulis. Saya menangis ketika menulis lagu ini kerana ia sangat dekat dengan pengalaman hidup saya sendiri. 

"Saya juga tidak sabar untuk berkongsi mesej lagu ini dengan semua orang,” katanya.



Harith turut berkongsi bahawa kerjasama bersama Yonnyboii tercetus secara spontan selepas dia merasakan rakannya itu individu paling sesuai untuk membawa mesej lagu berkenaan. 

“Saya dan Yonny mungkin tidak selalu berjumpa, tetapi kami sering berhubung dan saling menyokong antara satu sama lain, “ ujar Harith. 

Menurutnya, apabila demo lagu itu siap, beliau terus terbayangkan Yonnyboii kerana pengalaman mereka sebagai suami dan bapa mempunyai persamaan dalam menyampaikan emosi yang cuba diketengahkan menerusi “Sempurna”.

“Sebagai seorang suami dan bapa, dia sangat memahami emosi dan perjalanan yang cuba saya sampaikan dalam lagu ini,” tambah Harith.


Harith dan Yonnyboii bersama Pengarah Kanan, Ketua A&R dan Pengurusan Artis, Universal Music Malaysia (UMM), Hermond Cheng (tengah) pada majlis sidang media pada 18 Jun 2026. Turut hadir Ketua Pemasaran Domestik UMM, Puteri Balqish dan Justin Seow.


Sementara itu, Yonnyboii menyifatkan lagu tersebut sebagai satu dedikasi istimewa buat isteri dan anak lelakinya yang menjadi sumber kekuatan dalam hidupnya. 

“Dalam lagu ini, saya cuba menyampaikan kepada isteri dan anak saya bahawa saya sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka. Mereka membuatkan hidup saya terasa lengkap dan sempurna,” ujar Yonnyboi atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin.

Menariknya, sesi rakaman “Sempurna” turut mencipta kenangan tersendiri apabila ketika menulis dan merakam lagu ini, Yonnyboi sedang mendukung anaknya, Kyro. 

Malah kehadiran si kecil itu  memberi sentuhan semula jadi apabila suara bayi turut kedengaran dalam rakaman asal lagu tersebut.

"Bagi saya, perkara kecil seperti itu membuatkan lagu ini menjadi lebih jujur dan lebih dekat dengan hati,” katanya.


Yonnyboii bersana isteri, Nik Nazira Narriman dan anaknya, Kyro, 3 tahun.


Walaupun membawa tema yang lebih matang, Yonnyboii percaya identiti muziknya masih kekal menerusi karya tersebut. 

Katanya, perubahan fasa kehidupan selepas berkeluarga hanya membuka ruang untuk dia berkongsi sisi dirinya yang lebih penyayang dan menghargai insan tersayang.

“Saya rasa setiap artis ada identiti tersendiri. Walaupun cerita yang saya kongsi hari ini lebih banyak berkisar tentang keluarga kerana saya sudah berkahwin dan mempunyai anak, identiti Yonnyboii tetap sama. 

"Lagu ini cuma menunjukkan sisi saya yang lebih jujur, penyayang dan menghargai orang-orang yang saya sayang,” jelas Yonnyboii 

Apabila diminta menggambarkan “Sempurna” dalam tiga perkataan, Yonnyboii memilih “Yayo, Nina, Kita” merujuk kepada keluarga kecilnya yang menjadi inspirasi utama di sebalik lagu tersebut. 

Dan bagi Harith, momen itu menjadikan lagu berkenaan lebih jujur kerana ia menggambarkan realiti kehidupan mereka sebagai bapa yang mengimbangi kerjaya dan keluarga.



Melalui lagu ini, Harith  dan Yonnyboii berharap para pendengar dapat melihat bahawa kesempurnaan bukanlah tentang mencari seseorang yang sama seperti kita, tetapi tentang menghargai insan yang sentiasa bersama-sama melalui setiap fasa kehidupan. - KitaReporters.

18
9
0
13
0

Copy Link: