Hadiah unik! Potret Dot Art wajah Sultan Ibrahim diiktiraf MBOR! Dihasilkan gunakan 2 juta titik!
Published byJiwa dan tangan berseni! Itulah ungkapan yang tepat menggambarkan seorang pelukis seni yang berjaya melukis potret wajah Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggunakan teknik ‘Dot Art’ (seni titik).

Penulis sempat menyaksikan hasil seni halus yang unik ini yang dilakukan oleh pelukis seni potret yang menggunakan teknik ‘Dot Art’, Manivannan Subramaniam, 50, di Bandar Segamat pada 15 Jun 2026 lalu.
Potret 'Dot Art' (potret seni titik) wajah Sultan Ibrahim berkenaan berketinggian dua meter dan lebar 1.5 meter itu dibuat dengan menggunakan 50 batang pen marker.
'Dot Art Potrait' wajah Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkenaan dihasilkan dalam tempoh kira-kira setahun di mana ia dilakukan lima jam sehari dan keseluruhannya 450 jam serta siap sepenuhnya beberapa bulan lalu menggunakan 'marker pen' berwarna gelap.
Manivannan menyatakan hasrat kepada penulis jika diberikan peluang dia akan mempersembahkan 'Dot Art Potrait’ wajah Sultan Ibrahim itu kepada baginda satu hari nanti.
Manivanan yang merupakan anak jati Segamat, Johor itu melukiskan 'Dot Art Potrait' yang memaparkan wajah Sultan Ibrahim sedang tersenyum.

Hasil kerja tangan kreatif Manivanan ini mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dan ia telah disampaikan oleh wakil MBOR, Siti Hajar Johor.
Penulis sangat mengalu-alukan mana-mana pihak yang berbakat seni 'Dot Art' memperindah bandar Segamat dan Sekijang melalui mural atau sebagainya, namun jika melibatkan sejarah mesti bersandarkan fakta sejarah tepat atau warisan sejak kewujudannya.
Kerja-kerja seni titik ini amat unik dan memerlukan ketelitian serta kesabaran yang amat tinggi kerana memakan masa yang lama untuk menghasilkannya.

Penulis berpendapat lukisan atau mural dapat menjadi paparan sejarah sesebuah tempat untuk diingati di sebalik permodenan daerah atau negeri itu sendiri, sekali gus dapat mengharumkan nama Segamat serta boleh menjadi produk pelancongan daerah berkenaan.
Bakat seni seperti ini seharusnya digilap dan dihargai
supaya ia tidak hilang di telan zaman selain dapat dijadikan contoh, teladan
dan pemangkin semangat kepada generasi muda. - KitaReporters
