Pada tahun-tahun ketika Malaya masih belum merdeka dan dunia baru bangkit daripada runtuhan Perang Dunia Kedua, seorang budak lelaki membesar di gelanggang sederhana di Pulau Pinang dengan raket yang jauh daripada mewah.

Ketangkasan ketika bertahan antara ciri yang meletakan mendiang Eddy Choong sebagai juara yang sukar dicabar ketika zamannya. - Kredit foto: Facebook Media Bera.
Budak itu ialah Eddy Choong yang dilahirkan pada 29 Mei 1930 di Pulau Pinang, dan sejak kecil beliau membesar dalam suasana badminton yang masih belum tersusun sebagai sukan profesional.
Ketika itu tiada akademi sukan moden.Tiada jurulatih bertaraf dunia. Tiada sistem pembangunan atlet seperti hari ini, hanya gelanggang tempatan, masa lapang yang terhad, dan minat yang tidak pernah padam.
Permainan badminton hanya dimainkan di kelab-kelab tempatan, kejohanan kecil dan ruang komuniti.
Namun dalam keterbatasan itu, Eddy menunjukkan sesuatu yang berbeza. Keinginan yang luar biasa, disiplin yang semula jadi dan fokus yang sukar digugat.


Lagenda badminton negara Eddy Choong menunjukkan sebahagian trofi yang dimenanginya ketika menyertai pertandingan antarabangsa mewakili Malaya. - Kredit foto: Astro Awani
Bersama adiknya, David Choong, beliau mengasah bakat melalui pertandingan tempatan sebelum melangkah ke pentas yang lebih besar.
Dari Pulau Pinang, namanya mula merentas sempadan Malaya. Apabila badminton mula berkembang sebagai sukan antarabangsa yang lebih tersusun, Eddy muncul sebagai antara pemain paling dominan pada zamannya dengan gaya permainannya agresif, pantas dan berani.
Beliau antara generasi awal yang mempopularkan pukulan jumping smash, yang kemudian menjadi identiti moden badminton ketika ini.
Di luar gelanggang, Eddy dikenali sebagai seorang yang peramah, tenang dan merendah diri. Rakan sepasukan serta lawan sering menggambarkannya sebagai individu yang mudah didekati, tetapi berubah menjadi sangat fokus apabila perlawanan bermula.
Sikap disiplin dan hormat kepada lawan menjadikan beliau bukan sahaja dihormati sebagai juara, tetapi sebagai duta tidak rasmi badminton Malaya pada era awal sukan antarabangsa.

Selepas bersara sebagai pemain Eddy Choong masih menabur bakti kepada sukan badminton negara sebagai jurulatih. - Kredit foto : Press Readers.
Kemuncak kerjayanya hadir di All England, kejohanan paling berprestij dunia pada zamannya.
Pada 1951 beliau yang berpasangan dengan adiknya, David Choong muncul juara beregu lelaki All England dan mempertahan gelaran tersebut dua tahun berturut-turut selepas itu.
Pada 1953, Eddy dan David Choong bukan sahaja berjaya mempertahan kejuaraan beregu lelaki, apa yang lebih membanggakan beliau turut muncul juara perseorangan lelaki menewaskan Johnny Heah 15–4, 15–4 dalam perlawanan akhir.
Pada 1954, beliau mempertahankan gelaran juara perseorangan lelaki dengan menewaskan Donald Smythe 15–6, 15–5.
Tetapi pada tahun 1955, beliau tidak memenangi kejuaraan dalam kedua-dua acara sebelum kembali merampas kejuaraan perseorangan lelaki pada tahun 1956 menewaskan Finn Kobbero 11–15, 15–3, 15–11 dalam perlawanan yang mencabar.
Pada 1957, beliau melengkapkan koleksi empat gelaran All England dengan kemenangan ke atas Erland Kops 15–9, 15–3.
Empat kejuaraan perseorangan lelaki dalam tempoh lima tahun menjadikan Eddy Choong antara figura paling dominan dalam sejarah awal badminton antarabangsa.

Penghargaan akhbar News Strait Times (NST) terhadap jasa Eddy Choong dengan menerbitkan sisipan khas mengenai beliau.- Kredit foto : NST.
Secara keseluruhan tujuh kejuaraan All England masing-masing empat perseorangan lelaki (1953, 1954, 1956 dan 1957), tiga kejuaraan beregu lelaki (1951, 1952 dan 1953) mengangkat nama Malaya di satu kedudukan tinggi di mata dunia ketika itu.
Selain kejayaan di All England, beliau turut membantu Malaya muncul juara Piala Thomas 1955 dan 1958, ketika kejohanan itu dianggap sebagai kemuncak badminton dunia berpasukan.
Dalam kerjayanya yang panjang, Eddy Choong juga dikatakan mengumpul lebih kurang 75 kejuaraan antarabangsa di pelbagai kejohanan dunia menjadikannya antara pemain paling berjaya pada era sebelum struktur kejohanan moden terbentuk sepenuhnya.

Selain berpasangan dengan adiknya David Choong dalam acara beregu lelaki, beliau merupakan seorang pemain perseorangan yang hebat. - Kredit Foto: Elite BC Sport.
Selepas era kegemilangan di gelanggang, Eddy tidak meninggalkan sukan yang membesarkan namanya. Beliau terus menyumbang kepada pembangunan badminton melalui kerja pembangunan akar umbi dan sokongan terhadap kemudahan sukan di tanah air.
Antara sumbangan paling ketara ialah apabila beliau menggunakan sumber peribadi untuk membangunkan kemudahan badminton dengan menukar bekas bangunan kilang milik keluarganya menjadi gelanggang latihan.
Beliau juga dilaporkan melaburkan sekitar RM 1.5 juta bagi membangunkan fasiliti tersebut sebagai ruang latihan dan pembangunan pemain muda yang merupakan satu bukti komitmen luar biasa beliau terhadap pembangunan dan masa depan badminton negara.
Pengiktirafan terhadap sumbangannya datang dari pelbagai arah. Namanya terus diabadikan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melalui anugerah tahunan yang pernah dikenali sebagai Eddy Choong Player of the Year.
Kemudian Eddy Choong Most Promising Player of the Year dan kini Eddy Choong Rising Star of the Year. iaitu sebagai pengiktirafan kepada bakat muda paling menyerlah dalam badminton dunia.
Pada 1997, beliau disenaraikan dalam Hall of Fame IBF (kini BWF), satu penghormatan tertinggi kepada tokoh yang mengubah sejarah badminton dunia.
Unik... Gaya seorang juara yag bernama Eddy Choong ketika di gelanggang pada era tahun 1950-an. - Kredit foto : Wikipedia Eddy Choong.
Eddy Choong meninggal dunia pada 28 Januari 2013 di Pulau Pinang. Namun namanya tidak pernah benar-benar hilang dari sejarah.
Setiap kali pemain muda Asia Tenggara bermimpi menawan All England, setiap kali Malaysia disebut antara kuasa besar badminton dunia, setiap kali sukan itu bergerak ke hadapan dengan gaya dan wajah baharu, di situ masih ada bayang seorang budak dari Pulau Pinang yang suatu ketika dahulu memaksa dunia berhenti dan menghormati nama Malaya. - KitaReporters

Mendiang Datuk Eddy Choong bersama isterinya Datin Maggie Thean Sun Lin ketika menerima salah satu penghargaan terhadap jasanya dalam sukan badminton negara. - Kredit foto : BWF