Video| Legasi The Singing Lawyer terus bernyawa! EMI salurkan royalti karya kepada waris Sudirman!
Published byLebih tiga dekad selepas pemergian Allahyarham Dato Sudirman Arshad yang meninggal dunia pada 22 Februari 1992, karya dan legasi seni Penghibur Nombor 1 Asia itu terus dipelihara.

Terbaharu, EMI Music Malaysia menyerahkan royalti bernilai RM367,305.19 hasil karya beliau kepada ahli keluarga melalui Sudirman Asset Management sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan besar beliau kepada industri muzik tanah air.
Penyerahan royalti yang berlangsung di pawagam tertua, Odeon KL pada 19 Jun 2026 bukan sahaja melambangkan komitmen syarikat dalam memastikan hak karya Allahyarham terus terpelihara, malah menjadi usaha berterusan untuk memastikan lagu-lagu legenda itu kekal dekat di hati masyarakat dan diperkenalkan kepada generasi baharu.
Sebagai antara penyanyi dan penghibur paling berpengaruh dalam sejarah muzik Malaysia, karya-karya Allahyarham Sudirman yang diterbitkan di bawah EMI Records kini berada di bawah pengurusan Universal Music Group menerusi EMI Music Malaysia.
Tanggungjawab itu merangkumi pengurusan katalog muzik, pendigitalan, pemulihan audio, penerbitan semula karya-karya ikonik serta membuka ruang baharu menerusi pelesenan untuk kandungan kreatif seperti filem, drama dan platform digital.

Kim Lim menyerahkan cek cura (mock cheque) hasil royalti Sudirman kepada Atai.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, penyerahan royalti berkenaan merupakan satu penghargaan terhadap perjalanan seni Sudirman yang telah meninggalkan kesan besar terhadap budaya muzik negara.
Menurut Kim, karya Allahyarham bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada identiti dan memori kolektif rakyat Malaysia.
“Allahyarham merupakan ikon seni yang telah membentuk landskap muzik Malaysia dan meninggalkan khazanah budaya yang amat bernilai.
"Sebagai pemegang katalog karya beliau, menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan hak royalti terus disalurkan kepada keluarga di samping memelihara serta memperkenal semula muzik beliau kepada generasi baharu.
“Kami mahu karya-karya Sudirman terus didengari, dihargai dan kekal relevan merentasi zaman. Legasi beliau bukan sekadar milik industri muzik, tetapi juga sebahagian daripada warisan budaya negara,” katanya.
Sehubungan itu, EMI Music Malaysia turut merancang beberapa inisiatif bagi membawa karya Allahyarham lebih dekat dengan generasi muda termasuk kempen digital, penghasilan semula audio dalam format terkini serta kolaborasi bersama bakat baharu.

Kenangan.....Atai menemani Sudir yang dipanggil Pak Cik Oman (Cokman) sewaktu pelancaran album Asia's No. 1 Performer pada tahun 1989, manakala gambar kanan yamg terkini, Atai bersama Pak Nil.
Turut hadir pada majlis penghargaan legasi Dato Surdirman Arshad berkenaan adalah anak saudara Sudirman, Razman Azrai Zainuddin atau lebih popular disapa Atai; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; bekas Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman; Pengarah Kanan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng; penulis lirik, Datuk Habsah Hassan serta pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi aka Pak Nil.
Mewakili keluarganya, Atai menyifatkan penyerahan royalti yang diterima sebagai satu penghargaan bermakna terhadap hasil seni yang ditinggalkan oleh Allahyarham.
Beliau berkata, keluarga menghargai usaha berterusan EMI Music Malaysia dalam menguruskan karya-karya Allahyarham serta memastikan hak yang sepatutnya diterima waris terus diberi perhatian.
“Kami amat menghargai usaha EMI yang terus menguruskan karya-karya Allahyarham dengan baik dan memastikan hak royalti disalurkan kepada keluarga. Ini membuktikan bahawa legasi beliau masih terus dihargai dan mendapat tempat di hati masyarakat,” ujar Atai.
Katanya, sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap Allahyarham merupakan sesuatu yang amat bermakna buat keluarga.
“Walaupun sudah sekian lama beliau meninggalkan kita, kasih sayang masyarakat terhadap Allahyarham masih begitu kuat. Karya-karya beliau bukan sahaja membawa nostalgia kepada mereka yang membesar dengan lagu-lagunya, malah membuka peluang kepada generasi muda untuk mengenali sejarah, budaya dan identiti Malaysia dengan lebih mendalam,” tambah Atai.
Dalam usaha meneruskan legasi tersebut, majlis turut menampilkan program 'Bintang Uni-verse Pencarian Sudirman 2.0 'yang menghimpunkan penyertaan daripada lima institusi pengajian tinggi awam bagi memberi ruang kepada bakat muda menghayati serta mempersembah semula karya Allahyarham dengan pendekatan lebih segar dan relevan.
Acara diserikan dengan persembahan khas daripada seorang busker dan pencipta kandungan digital, Arish Mikael yang terkenal kerana memiliki suara yang menyerupai ASudirman, dengan membawakan beberapa lagu ikonik yang pernah menjadi siulan rakyat Malaysia.

Atai bersama Arish Mikael.
Sementara itu, berkongsi pandangan mengenai pengaruh besar Sudirman terhadap dunia seni tempatan, Pak Nil menyifatkan program yang meraikan legasi seperti itu penting supaya nilai kerja keras dan kecemerlangan Allahyarham terus menjadi rujukan kepada generasi baharu.
Dalam perkembangan sama, keluarga Allahyarham turut memaklumkan mengenai perkembangan awal projek filem yang mengangkat kisah kehidupan dan perjalanan seni Allahyarham Sudirman yang kini berada dalam fasa pembangunan dengan sokongan FINAS terutama dari aspek pembangunan skrip.
Sesungguhnya, usaha menyalurkan royalti dan memelihara katalog karya Allahyarham itu dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan nama serta sumbangan Penghibur Rakyat tersebut terus dikenang, bukan sahaja sebagai ikon muzik tetapi sebagai sebahagian daripada sejarah seni negara.
Ia satu komitmen semua pihak dalam memastikan karya dan legasi Penghibur Nombor 1 Asia itu terus hidup dalam imgatan masyarakat serta dihargai generasi akan datang.

Hubungannya dengan wartawan-wartawan hiburan termasuk penulis sentiasa rapat sehingga dipaparkan dalam laman Facebook kelab peminatnya ketika kami hadir ke rumahnya sempena Aidilfitri.
Al-Fatihah buat Sudir yang penulis kenali sebagai seorang penghibur yang berjiwa rakyat dan rendah diri walaupun berkedudukan tinggi malah amat profesional dalam tindak tanduknya mengatasi sebarang masalah.
Allahyarham tidak mudah melenting tetapi menyelesaikan setiap isu dengan tenang sambil memperlihat ciri kematangannya sebagai seorang artis bergelar peguam selari dengan jolokan gelaran yang diberi 'The Singing Lawyer".
Sehingga kini lagu 'Salam Terakhir' yang dimuatkan dalam album 'Orang Kampung' pada tahun 1986 tetap malar segar dan menjadi kenangan abadi bagi mereka yang mengenalinya.
Ironinya lagu gubahan Manan Ngah dan lirik hasil tulisan penciptanya, Habsah Hassan itu, siapa sangka Sudir akan benar-benar pergi dengan meninggakan kata-kata mengikut nyanyian bait lirik terakhirnya, 'Abadikan saja salamku di ingatan.' - KitaReporters
