Ragbi Piala Agong| Beraksi cemerlang! Terengganu kekal momentum tanpa kalah! Mara ke separuh akhir!
Published byOleh KARIM DAUD
Setelah beraksi cemerlang pada peringkat kumpulan dengan rekod tanpa kalah, Terengganu terus mengekalkan momentum kemenangan untuk melangkah ke penentuan kalah mati separuh akhir kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 (musim 2026) ini setelah menewaskan Wilayah Persekutuan Putrajaya, dengan keputusan 43-26 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Komplek Sukan Negeri Terengganu lewat petang 13 Jun 2026.

Aksi pasukan Terengganu (jersi hitam putih) dalam situasi 'rucking' sewaktu aksi penentuan suku akhir kejuaraan ragbi Piala Agong edisi 2026 yang telah berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada 13 Jun 2026.
Beraksi dalam cuaca panas terik fenomena El Nino ketika ini tidak merencatkan perlawanan untuk 7 mata penuh seawal minit ke-3 setelah pemain import tuan rumah Josevata Cava Uluinaceva menyumbang 5 mata melalui jatuhan try dan seterusnya kapten pasukan, Mohamad Nasharuddin Ismail melunaskan 2 mata melalui tendangan conversion.
Taktikal berbeza berbanding perlawanan-perlawanan terdahulu menyaksikan Terengganu di bawah kendalian ketua jurulatih Hafiizh Zainal mendahului babak separuh masa perlawanan berkeputusan 26 berbalas 5.

Josevata Cava Uluinaceva (jersi hitam putih - kanan) berjaya melepasi jentera pertahanan Wilayah Persekutuan Putrajaya sewaktu aksi penentuan suku akhir kejuaraan ragbi Piala Agong 2026 yang telah berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada 13 Jun 2026.
Aksi separuh masa kedua menyaksikan pasukan pelawat, Wilayah Persekutuan Putrajaya mula menguasai momentum permainan dengan beberapa tambahan mata, namun masih gagal untuk mendahului perlawanan.
Walaupun pada minit ke-70 memaksa pasukan tuan rumah beraksi kurang dua pemain setelah menerima kad kuning untuk berada di luar padang selama 10 minit, Wilayah Persekutuan Putrajaya masih gagal untuk memanfaatkan peluang itu bagi menambah mata sekaligus mendahului perlawanan sepenuhnya.
Momentum pasukan tuan rumah kembali sepenuhnya setelah pemain gantian Muhammad Ikmal Hakim Zuraimi mengejutkan pasukan pelawat untuk jatuhan try mudah di hadapan lawan.
Sekali gus menjadi mata terakhir sehingga tamat perlawanan berkeputusan 43-26 untuk Terengganu melangkah ke penentuan separuh akhir sekaligus memperbaiki rekod pasukan setelah terkandas pada penentuan suku akhir pada musim lalu.

Perebutan bola 'line out' antara Terengganu dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sewaktu perlawanan suku akhir kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42.
Seterusnya bagi aksi penentuan separuh akhir, Terengganu sekali lagi di laman sendiri akan bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku juara bertahan bertempat di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu yang dijadualkan berlangsung pada 20 Jun 2026 nanti. - KitaReporters

Pemain Terengganu, Muhamad Syabil Laila (memegang bola) dijatuhkan oleh pemain Wilayah Persekutuan Putrajaya sewaktu aksi penentuan suku akhir kejuaraan ragbi Piala Agong 2026.
