Lari santai pakai sarung! Dungun Sarong Fun Run! Ada tambah nilai! Pemeriksaan kesihatan percuma!
Published byOleh KARIM DAUD
Dungun kini tidak lagi sekadar menjadi lokasi penganjuran acara larian santai, sebaliknya berkembang sebagai platform mendekatkan komuniti luar bandar dengan akses kesihatan dan perkhidmatan awam yang lebih menyeluruh.


Dungun Sarong Fun Run edisi ke-4 (2026) yang telah berlangsung pada 6 Jun 2026 berjaya menarik penyertaan seramai 1,200 peserta untuk jarak larian santai sejauh 5km bertempat di Taman Tasik Sura, Dungun.
Memasuki edisi ke-4 penganjurannya, Dungun Sarong Fun Run (Larian Santai Sarung Dungun) di Taman tasik Sura, Dungun pada 6 Jun 2026 lalu terus mengekalkan matlamat asal untuk membuka ruang kepada masyarakat luar bandar merasai pengalaman ‘fun run’ (larian santai) seperti di bandar-bandar besar.
Namun kali ini, penganjur menambah nilai dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma serta pelbagai perkhidmatan lain yang memberi manfaat langsung kepada peserta dan penduduk setempat.
Inisiatif berteraskan tanggungjawab sosial (SR) ini dilihat membantu merapatkan jurang kesihatan luar bandar yang sering menjadi isu, khususnya dari segi akses maklumat dan kemampuan mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Pemeriksaan kesihatan secara percuma memberi tambah nilai bagi penganjuran Dungun Sarong Fun Run 2026.
Pengarah pertandingan, Amran Abdullah berkata, idea penambahbaikan itu tercetus hasil pemerhatian terhadap penyertaan golongan warga emas dalam edisi terdahulu, yang kebanyakannya tidak pernah mengetahui status kesihatan masing-masing sebelum menyertai aktiviti sukan.
“Jika dahulu acara ini sekadar memberi peluang kepada masyarakat luar bandar merasai pengalaman larian tanpa perlu ke bandar besar.
"Tetapi bagi edisi kali ini, kami bekerjasama dengan sebuah klinik untuk menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma serta penyampaian maklumat secara terus kepada pengunjung,” katanya.
Menurut beliau lagi, langkah tersebut juga diambil susulan beberapa insiden kesihatan yang berlaku dalam penganjuran sukan kebelakangan ini, sekali gus membantu peserta mengenal pasti tahap kesihatan masing-masing lebih awal dan mengurangkan risiko yang tidak diingini.
Selain perkhidmatan kesihatan, kehadiran beberapa agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Dungun, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta pelbagai entiti lain turut memberi peluang kepada penduduk mendapatkan akses kepada perkhidmatan yang sebelum ini terhad akibat faktor jarak.

Kain sarung mahupun kain pelikat yang digayakan oleh setiap peserta menjadi keunikan Dungun Sarong Fun Run yang kini memasuki edisi ke-4 penganjuran.
Acara ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan berkonsep kekeluargaan termasuk pertandingan mewarna, pertandingan pakaian cilik berhias serta cabutan bertuah yang menjadi antara tarikan utama.
Rata-rata peserta dan pengunjung memberikan maklum balas positif, menyifatkan penganjuran ini melangkaui sekadar acara larian biasa.
Seorang peserta, Zamri Ghani yang hadir dari Bukit Besi sejauh hampir 80 kilometer berkata, faktor jarak dan kekangan masa sering menjadi halangan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
“Saya berharap program seperti ini diteruskan pada masa akan datang, bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk masyarakat lain yang hadir bersama keluarga,” katanya.

Dungun Sarong Fun Run edisi ke-4 yang berlangsung Sabtu, 6 Jun 2026 lalu mencatat penyertaan dari pelbagai peringkat usia seramai 1,200 peserta yang mengambil bahagian bagi larian sejauh 5 kilometer bermula di Taman Tasik Sura, Dungun. - KitaReporters
