Video| Andi Bernadee berDing Geding! Bangkit daripada masalah kesihatan! Berjaya hasil album sulung!
Published byPenantian selama sembilan tahun akhirnya berbaloi buat penyanyi dan penulis lagu, Andi Bernadee, apabila beliau secara rasmi melancarkan album sulung berjudul ‘Ding Geding’, sebuah karya yang bukan sahaja menandakan pencapaian penting dalam kerjayanya, malah menjadi simbol ketabahan selepas berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah kesihatan.
Album yang memuatkan 12 buah lagu itu menghimpunkan pelbagai kisah, emosi dan pengalaman yang dilalui Andi sepanjang hampir sedekad bergelar anak seni.
Menurutnya, ‘Ding Geding merupakan gambaran perjalanan hidup yang penuh dengan suka duka, kekeliruan dan kebahagiaan yang dirasai sebagai manusia biasa.
“Album ini ada momen seronok, kecewa, bingung dan bahagia. Semua emosi itu ada dalam satu album kerana itulah realiti kehidupan sebenar.
"Emosi manusia sentiasa berubah-ubah dan saya mahu pendengar merasai perjalanan tersebut bersama saya,” kata pemilik nama sebenar, Andi Azrul Andi Mapangile, 35, ini pada majlis pradengar album 'Ding Geding' bertempat di Universal Music Malaysia, Kuala Lumpur pada 3 Jun 2026.
Selain menampilkan identiti muzik yang sinonim dengan dirinya, album tersebut turut memperlihat keberanian Andi untuk keluar daripada zon selesa dan meneroka warna muzik yang berbeza.
Antara lagu yang paling dekat di hatinya ialah ‘Seksa Jiwa’, sebuah karya berentak soul ballad yang disifatkannya sebagai antara cabaran terbesar sepanjang proses penghasilan album berkenaan.
Menurut Andi, genre tersebut bukan sesuatu yang biasa dibawakannya, namun pengalaman menghasilkan lagu itu telah membuka ruang untuk dirinya berkembang sebagai seorang pengkarya.
“Menyiapkan 'Seksa Jiwa' bukan sesuatu yang mudah kerana rentak itu bukan makanan saya. Tetapi apabila lagu itu siap sepenuhnya, ia menjadi antara lagu kegemaran saya dalam album ini.
"Lagu itu benar-benar memberi kesan apabila didengari seorang diri,” tambahnya.
Menariknya, beliau memaklumkan nama 'Ding Geding' diambil daripada inspirasi sebuah babak ikonik dalam filem klasik Melayu 'Ahmad Albab' yang menampilkan frasa “berding-geding” oleh watak anak jin.
Inspirasi tersebut kemudiannya berkembang menjadi konsep album yang disifatkan Andi sebagai menyeronokkan, unik dan mudah diingati.
Tajuk 'Ding Geding' diinspirasi daripada filem 'Ahmad Albab' arahan Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1968.
“Saya mahu sesuatu yang apabila orang dengar, mereka terus tertarik dan tertanya-tanya. Sama seperti album ini, setiap lagu mempunyai warna dan identitinya yang tersendiri,” katanya.
Pelancaran album itu juga membawa makna yang cukup besar kerana ia pernah tertangguh akibat masalah kesihatan yang dialaminya.
Dalam tempoh tersebut, Andi mengakui pernah melalui fasa sukar apabila berdepan gangguan kesihatan fizikal dan mental yang memberi kesan kepada kehidupan serta kerjayanya.
Namun, keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya dan menyiapkan album yang telah lama diimpikan.
“Sejujurnya saya rasa sangat lega dan bersyukur. Saya menunggu selama sembilan tahun untuk menghasilkan album pertama dan akhirnya impian itu menjadi kenyataan.
"Saya pernah melalui fasa di mana suara tidak keluar dan badan menggeletar, tetapi saya tetap ke studio dan meneruskan perjuangan selagi ada kudrat,” katanya.

Tambahnya, pengalaman tersebut turut mengubah cara beliau melihat kehidupan dan perjalanan sebagai seorang penghibur.
Baginya, setiap proses yang dilalui sepanjang menghasilkan album itu lebih bermakna berbanding hanya mengejar kejayaan atau hasil akhir semata-mata.
Menerusi 'Ding Geding', Andi berharap setiap lagu yang dihasilkan mampu menjadi peneman kepada pendengar yang sedang melalui pelbagai fasa kehidupan, sama ada ketika gembira mahupun berdepan kesukaran.
“Saya harap selepas mendengar album ini, mereka akan rasa bahawa mereka tidak keseorangan.
"Jika ada mana-mana lagu yang boleh menjadi teman, memberi semangat atau membuatkan mereka rasa difahami, itu sudah sangat bermakna untuk saya sebagai seorang pengkarya,” katanya.
Album 'Ding Gedin'g sudah mula menemui peminat dalam semua platform penstriman digital sejak 5 Jun 2026, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni Andi Bernadee selepas hampir sedekad menunggu untuk merealisasikan impian menghasilkan album penuh pertamanya. - KitaReporters

Andi bersama Ketua A&R Universal Music Malaysia, Raqeem Brian dan gambar kanan ketika sedang ditemu bual oleh penyampai radio ERA, Shasha Rosli pada majlis pradengar album 'Ding Geding'.
