Video| Anak Selangor pertama bintang filem! Lanchang Kuning julangnya sebagai pelakon watak jahat!
Published byPANGLIMA Awang Yahya (Nordin Ahmad) dan Panglima Ali (Haji Arshad), dua pahlawan Siak menaruh perasaan terhadap Telani (Latifah Omar), penari istana.
Tetapi Telani mencintai dan memilih Panglima Awang Yahya yang telah menyelamatkannya daripada lemas.

Panglima Awang Yahya (Nordin Ahmad) dan Telani (Latifah Omar) pasangan kekasih dalam filem 'Lanchang Kuning'.
Sultan Siak (Yusuf Latiff) juga menaruh hati kepada Telani dan mahu memperisterinya sebagai permaisuri. Tetapi setelah mengetahui Telani dan Panglima Awang Yahya saling mencintai, baginda merestui hubungan mereka.
Kecewa gagal memperisterikan Telani menyalakan dendam membara dalam jiwa Panglima Ali. Dia mencari jalan membalas dendam terhadap Panglima Awang Yahya dan Telani.

Sultan Siak (Yusuf Latiff) juga menaruh hati kepada Telani tetapi kemudian merestui hubungan Telani dengan Panglima Awang Yahya.

Yusuf Latiff (kiri), Nordin Ahmad dan Haji Arshad bintang utama dalam satu adegan 'Lanchang Kuning'.
Panglima Awang Yahya dihantar oleh sultan untuk menentang musuh di Lingga, jajahan Siak. Dia meninggalkan Telani yang sedang mengandung. Pada waktu itu kapal di raja, ‘Lanchang Kuning’ siap dibina, menunggu untuk dilancarkan ke air.
Panglima Ali memaksa pawang diraja (Dolah Sarawak) memberitahu sultan kapal itu hanya boleh dilancarkan dengan korban.
Sultan akur tetapi tidak baginda tidak dimaklumkan apa jenis korban. Dalam kepala Panglima Ali ialah Telani yang akan dikorban.

Haji Arshad memegang watak jahat Panglima Ali dalam 'Lanchang Kuning' keluaran 1962.

Panglima Ali (Haji Arshad) memaksa pawang diraja, (Dolah Sarawak), memberitahu sultan 'Lanchang Kuning' perlukan korban untuk diluncur ke air.
Dia mereka cerita kapal hanya boleh diluncur ke air dengan wanita mengandung sebagai alas peluncur.
Panglima Ali menangkap Telani, meletakkan di bawah kapal besar yang berat itu tanpa pengetahuan sultan. Rayuan Telani tidak diendah. Telani mati tertindih.
Apabila Panglima Awang Yahya kembali dari medan pertempuran, dia tersangat sedih mendapat tahu tragedi yang menimpa isteri. Perasaan marah dan dendam membuak-buak.
Dalam satu pertarungan dia berjaya membunuh Panglima Ali.

Panglima Ali dan pawang diraja bersekongkol untuk membuat helah 'Lanchang Kuning' perlukan korban untuk membolehkannya diluncur ke air.

Telani merayu kep[ada Panglima Ali agar dilepaskan tetapi tidak diendah (atas). Telani menjerit meronta-ronta apabila 'Lanchang Kuning' yang besar dan berat meluncur di atas badannya.
Watak Panglima Ali dalam ‘Lanchang Kuning’ (1962), arahan pertama M. Amin di Studio Cathay Keris, merupakan watak jahat paling berkesan dibawa oleh Allahyarham Haji Arshad. Melalui filem itu beliau berjaya menempatkan diri sebagai pelakon watak jahat disegani.
Nama
sebenar Haji Arshad, pelakon kelahiran Kampung Permatang, Kuala Selangor, ialah
Mohd Douglas Mahuri. Lahir pada 21 Jun 1932, beliau dan bapa ke Mekah menunaikan haji ketika berusia 13
tahun dengan menaiki kapal.
Mereka
berada di Mekah selama 11 bulan. Sekembali dari Mekah, beliau dan bapa menukar
nama, masing-masing kepada Haji Arshad dan Haji Abdul Ghani.
Nama Haji Arshad sebaris dengan pelakon watak jahat yang tidak asing ketika itu seperti Mahmud Jun, Salleh Melan, Malik Selamat (Cathay Keris Filem) dan Salleh Kamil (Shaw’s Malay Films Productions - MFP). Mereka menjiwai watak berkesan hingga menimbulkan kebencian penonton.
Namun di sebalik watak jahat di layar perak, Haji Arshad adalah seorang yang lembut dan mesra. Beliau adalah kebanggaan Kuala Selangor dan negeri Selangor kerana berjaya mencipta nama di layar perak.

Haji Arshad bersama isteri, Raja Fatimah Raja Saad di rumah mereka di Kuala Selangor. Gambar ini dirakam pada 1992, iaitu selepas 30 tahun mereka berkahwin.

Pasangan bahagia Haji Arshad dan isteri, Raja Fatimah, melayari kehidupan berumah tangga.
Sekembali dari Mekah, Haji Arshad belajar bahasa Arab di Sekolah Al-Mashur, Pulau Pinang. Namun sebelum bergelar pelakon beliau melalui jalan hidup berliku dan menanggung kecewa.
Beliau putus
tunang ketika remaja. Sekali lagi beliau kecewa apabila hasrat melanjutkan
pelajaran ke Universiti Al-Azhar di Mesir tidak kesampaian akibat pergolakan
revolusi di negara tersebut.
Sebagai
pengubat kecewa, Haji Arshad berbasikal mengembara mengelilingi Malaya berbekal wang tiga ringgit. Pengembaraan
memakan masa 14 bulan. Berkat ramah dan jujur, beliau sering dapat bantuan
berteduh dan makan daripada masyarakat setempat.
Beliau kemudian nekad berhijrah ke Singapura. Harapan untuk jadi penulis tetapi gagal.
Kehidupannya sukar. Namun rezeki Allah tidak diduga. Beliau dapat tawaran jadi pelakon tambahan di Studio MFP, Jalan Ampas, menerusi filem ‘Abu Hassan Penchuri’ sebagai Inspektor Polis pada 1956.
Itu adalah
pembuka tirai ke layar perak. Seterusnya beliau muncul dalam 13 buah filem
sebagai pelakon tambahan. Bayaran yang diterima sekitar lima hingga 10 ringgit
sehari.
Titik perubahan kerjaya seni lebih cerah untuk Haji Arshad ialah apabila penolong pengarah, Dol Haron, mempelawanya ke Cathay Keris. Tawaran itu diterima.
Filem pertamanya di sana ialah ‘Sumpah Pontianak’ (1958) arahan B.N. Rao. Bintang utama Maria Menado, Mustapha Maarof dan Salmah Ahmad.
Ini diikuti
dengan watak Lela dalam ‘Mahsuri’ (1959), juga arahan B.N. Rao. Bintang
utamanya Kasmah Booty, S. Roomai Noor dan Nordin Ahmad.
Namun nama
Haji Arshad menyerlah apabila membawa watak Panglima Ali dalam ‘Lanchang
Kuning’ arahan M. Amin (1962). Beliau berjaya membentuk nama sebagai
pelakon watak jahat disegani.
Kerana itu filem tersebut dianggap signifikan dalam kerjayanya. Sesungguhnya itu memang rezekinya kerana watak itu asalnya ditawarkan kepada Mahmud Jun tetapi dia menolak.
Pada tahun sama, Haji Arshad berkahwin dengan Raja Fatimah Raja Saad, adik pelakon Raja Hamidah.
Antara
filem lakonan Haji Arshad ialah ‘Lanchang Kuning’, ‘Mahsuri’, ‘Bawang
Putih Bawang Merah’, ‘Noor Islam’, ‘Hang Jebat’, ‘Sri Mersing’,
‘Sultan Mahmud Mangkat di Julang’, ‘Tun Fatimah’, ‘Gul Bakawali’
dan ‘Kalong Kenangan’.
‘Kalong Kenangan’ arahan Hussein Haniff keluaran tahun 1964 adalah filem terakhir lakonannya di Cathay Keris. Filem ini turut dibintangi oleh Ghazali Sumantri, Latifah Omar dan Tony Kassim.

Panglima Ali (Haji Arshad) cuba menggoda Telani (Latifah Omar) dalam 'Lanchang Kuning'.

Haji Arshad dalam 'Ribut Barat', keluaran tahun 1981.

Pusara Haji Arshad di kampung halamannya di Kampung Permatang, Kuala Selangor.
Pada era 80-an, Haji Arshad pernah membintangi beberapa buah filem, antaranya ‘Ribut Barat’ arahan Salleh Ghani keluaran tahun 1981. Juga filem ‘Tsu Feh Sofiah’ arahan Rahim Razali keluaran tahun 1986.
‘Tsu Feh
Sofiah’ merangkul anugerah filem terbaik Festiavl Filem Malaysia Ke-Enam
tahun 1986. Haji Arshad sendiri merangkul anugerah Pelakon Pembantu Terbaik
melalui filem tersebut.
Di samping
itu, beliau juga pernah diberi pengiktirafan oleh kerajaan Selangor sebagai
anak Selangor pertama menjadi bintang filem.
Haji Arshad meninggal dunia pada 26 Ogos 1995 di kampung halamannya pada usia 59 tahun. Namun jasa baktinya dalam seni tetap terukir dalam tinta perfileman Melayu.
Semoga Allah mencucuri rahmat dan mengampuni dosa Haji Arshad. - KitaReporters
