“Pada syurga di wajahmu…”

Lirik lagu penyani Nash yang cukup sinonim  di telinga rakyat Malaysia itu tiba-tiba bermain pada fikiran Kak Fas ketika mendengar kisah pengorbanan seorang isteri yang setia menjaga suaminya sepanjang hampir tiga tahun bertarung dengan penyakit hidrosefalus.


Along diringi Mimi Norfaiza Mohd Idris ketika menerima bantuan daripada KARYAWAN dan NexG Berhad pada 3 Jun 2026 lalu. Turut kelihatan Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dan Pengerusi Karyawan, Datuk Khadijah Ibrahim serta Pengarah Eksekutif & Ketua Pegawai Kewangan NexG, Erna Ismail (tengah), manakala Helmi The Gimik bertindak selaku pengacara majlis.


Wanita yang Kak Fas bicarakan ini adalah isteri kepada penyanyi vokalis kumpulan Jinbara, Along  iaitu Mimi Norfaiza Mohd Idris,  44, yang sempat Kak Fas temui ketika beliau mengiringi Along sebagai salah seorang daripada 10 orang penerima bantuan daripada Persatuan Karyawan Malaysia (KARAWAN) pada majlis penyampaian cek sumbangan RM50,000 oleh NexG Berhad kepada KARYAWAN pada 3 Jun 2026 lalu.

Bukan kerana lagu itu sedang dimainkan ketika sesi temu bual berlangsung, sebaliknya, setiap butir cerita yang keluar daripada mulut Mimi seolah-olah memberi makna sebenar kepada ungkapan bahawa syurga seorang suami dan isteri bukan hanya terletak pada saat bahagia, tetapi juga ketika diuji dengan penderitaan yang panjang.

Apabila Mimi bercerita tentang bagaimana dirinya belajar mengangkat suami daripada katil, menukar lampin pakai buang, menggosok gigi, memotong kuku, menguruskan rawatan dan menemani setiap sesi pembedahan, Kak Fas tidak melihatnya sebagai tugas seorang ‘penjaga’ semata-mata tetapi melihatnya sebagai manifestasi cinta yang jarang dapat digambarkan dengan kata-kata.


(Kiri) Along terkini dan Along (dua dari kanan) ketika bersama kumpulan Jinbara.


Dalam dunia hari ini yang sering meraikan kisah cinta penuh kemewahan dan romantis, pengorbanan seperti ini mungkin tidak mendapat perhatian besar. 

Tiada jambangan bunga, tiada percutian mewah dan tiada foto sempurna untuk dikongsi di media sosial. Yang ada hanyalah rutin harian yang melelahkan, malam tanpa tidur, kebimbangan yang tidak pernah berakhir dan harapan yang sentiasa diuji.

Lebih menyentuh hati apabila Mimi mengakui dirinya juga pernah “koyak” dari segi emosi. Dia tidak berpura-pura menjadi insan yang sentiasa kuat. 

Dia mengaku pernah mendapatkan bantuan kerana tekanan menjaga pesakit kronik selama bertahun-tahun bukan sesuatu yang mudah untuk ditanggung sendirian.

“Orang nampak saya kuat, tetapi sebenarnya mental saya juga terjejas. Saya pernah dihantar untuk mendapatkan rawatan dan kaunseling kerana menjaga pesakit kronik bukan sesuatu yang mudah,” cerita Mimi. 

Pengakuan itu penting kerana masyarakat sering memandang ‘penjaga’ pesakit sebagai individu yang harus sentiasa tabah. Hakikatnya, mereka juga manusia yang mempunyai batas emosi dan mental. 

Dalam banyak keadaan, ‘penjaga’ sering menjadi “pesakit yang tidak kelihatan” kerana tumpuan diberikan sepenuhnya kepada individu yang sedang sakit.

Apa yang lebih mengagumkan ialah apabila dia memilih untuk terus bertahan walaupun ada ketika suaminya sendiri tidak mengenalinya akibat kesan penyakit tersebut. 

Bayangkan perasaan seorang isteri yang setiap hari berada di sisi suami, tetapi ada masa-masa tertentu lelaki yang dicintainya itu tidak lagi mengingati siapa dirinya.

Namun dia tetap berada di situ. Tetap menyuapkan makanan. Tetap menemani sesi rawatan. Tetap menunggu di luar bilik pembedahan dan tetap berharap…


Throwback.. (kiri) Along selepas menjalani pembedahan pada 9 Sept 2023 (Foto: BH Online) dan kanan keadaan Along selepas hampir 3 bulan dibedah kali pertama (Foto: Malaysia Gazette).


Kisah ini juga membuka mata tentang realiti yang dihadapi banyak keluarga apabila berdepan penyakit kronik. Ia bukan sekadar soal kos rawatan atau jumlah pembedahan yang perlu dilakukan. Impaknya jauh lebih besar. 

Ia mengubah keseluruhan kehidupan sebuah keluarga, menjejaskan kerjaya, kewangan, kesihatan mental dan hubungan sosial.

Dalam kes Along atau nama sebenarnya, Syah Nizam Ahmad Samsi yang mula dikejarkan ke hospital selepas muntah dan diserang strok pada 8 September 2023, penyakit itu bukan sahaja mengubah hidup seorang penyanyi.

Ia turut mengubah kehidupan seorang isteri yang tanpa sedar telah mengorbankan sebahagian besar hidupnya demi memastikan suaminya terus berpeluang untuk sembuh.

Mungkin sebab itulah ketika mendengar kisahnya, lirik “Pada syurga di wajahmu” terus terngiang-ngiang pada fikiran.

Kerana kadangkala syurga itu bukan sesuatu yang jauh untuk dicari.

Kadangkala syurga itu terserlah pada wajah seorang isteri yang tetap memilih untuk setia menjaga suaminya ketika diuji dengan sakit, penderitaan dan ketidakpastian selama bertahun-tahun.

Dan dalam dunia yang semakin sibuk mengejar pelbagai perkara, pengorbanan seperti inilah yang mengingatkan kita tentang makna sebenar kasih sayang, kesetiaan dan kemanusiaan.



Perjuangan lebih tiga tahun berdepan penyakit hidrosefalus yang dialami Along mengundang simpati apabila keadaan kesihatannya belum menunjukkan pemulihan sepenuhnya, meskipun telah menjalani 14 pembedahan otak termasuk prosedur melibatkan tulang belakang yang dilakukan sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, selepas hampir tiga tahun,  berkat kesabaran seorang bernama isteri, Kak Fas nampak Along kini bersemangat malah mampu memperdengar nyanyiannya walaupun serangkap.

“Kalau dibandingkan dengan dulu memang ada perubahan. Orang yang tengok gambar lama dia pasti terkejut. Kepala dia pernah menjadi sangat besar akibat pengumpulan cecair dalam otak,” kenang Mimi.

Beliau menjelaskan keadaan itu berlaku apabila cecair berlebihan menyebabkan tekanan pada otak sehingga kepala Along membesar, sama seperti keadaan yang sering dilihat pada kanak-kanak yang menghidap hidrosefalus.

Menceritakan detik cemas sebelum Along dikejarkan ke hospital, beliau ketika itu sedang aktif mempromosikan single baharunya bersama kumpulan Jimara berjudul ‘Kurniaku Terindah’. 


Selain Along, antara artis yang menerima sumbangan daripada Karyawan dan NexG adalah (duduk dari kiri) Normala Omar, Sathia dan Jem, manakala berdiri dari kiri adalah Zaiton Sameon, Mak Jah, Fredo (dua dari kanan) dan Ali XPDC.


Lagu tersebut merupakan kemunculan sulungnya bersama kumpulan Jinbara di mana ketika itu mereka sedang giat melakukan promosi di stesen radio, televisyen serta pelbagai persembahan pentas.

“Masa lagu itu sedang dipromosikan, Jimbara hanya sempat menghasilkan video lirik. Perancangan untuk muzik video rasmi belum sempat dilaksanakan apabila dia mula jatuh sakit,” cerita Mimi.

Menurutnya lagi, lagu berkenaan sebenarnya mengambil masa yang lama untuk diterbitkan dan akhirnya dilancarkan ketika Along sudah mula berdepan masalah kesihatan yang semakin serius.

“Saya beritahu dia lagu itu masuk carta. Dia menangis apabila mendengarnya. Itu antara hadiah yang paling bermakna buat dia ketika berada di hospital,” sambung Mimi.


(Kiri) Along dahulu dan Along sekarang ketika Kak Fas (tengah) bertemu dengannya dengan isteri, bersama rakan media, Wan Asrudi dari Harian Metro pada 3 Jun 2026 lalu.


Pada fisikialnya, tubuh Along kini mengandungi beberapa saluran khas yang dipasang melalui siri pembedahan sebelum ini. 

Bagi Mimi, perkembangan itu sudah cukup untuk menjadi sumber kekuatan meneruskan perjuangan yang masih panjang.

“Saya tak pernah minta apa-apa selain melihat dia semakin baik. Walaupun perlahan, saya bersyukur kerana masih ada perubahan,” katanya.

Di sebalik ujian berat yang dilalui, kisah mereka menjadi bukti bahawa cinta dan kesetiaan bukan sekadar diucapkan ketika senang, tetapi dibuktikan apabila pasangan berdepan saat paling sukar dalam kehidupan.

Tidak syak lagi, selama hampir tiga tahun, Mimi bukan sekadar seorang isteri, tetapi juga jururawat, penjaga, pemandu, teman dan sumber kekuatan terbesar buat Along dalam perjuangannya melawan penyakit. 

Ironinya tajuk lagu terakhirna itu seolah tepat dengan apa yang dilalui kini kerana Along memang memperoleh 'kurniaku terindah' memiliki seorang isteri yang setia dan tabah seperti Mimi.

Semoga Along cepat sembuh! Amin!! - KitaReporters


Lagu terakhir nyanyian Along sebelum jatuh sakit.

7
14
0
21
0

Copy Link: