Dua roda satu nama! Daud Ibrahim julang Malaysia di pentas lumba basikal! Pembuka jalan jaguh kini!

Published by
KitaReporters

Jaguh berbasikal negara era 70-an, Daud Ibrahim (kiri) menunjukkan pingat berbasikal Sukan Asia Bangkok 1970 yang dimenanginya. - Kredit foto: Facebook PKBM. 


Daud Ibrahim (depan) ketika berlumba dalam acara trek dalam salah satu pertandingan peringkat antarabangsa ketika era kegemilangannya dahulu.- Kredit Foto : Facebook PKBM.


Dalam sejarah sukan berbasikal Malaysia, Allahyarham Daud Ibrahim antara ndividu yang berdiri sebagai salah seorang daripada kelompok pelopor itu.

Namanya mungkin tidak lagi meniti bibir generasi muda seperti suatu ketika dahulu, namun jejak yang ditinggalkannya masih kekal dalam perjalanan panjang sukan berbasikal negara.
Dilahirkan pada 20 April 1947 di Batu Pahat, Johor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Parit Sulong sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Persekutuan Inggeris Batu Pahat. 
Daripada seorang anak muda biasa di sebuah daerah yang terkenal dengan semangat masyarakatnya, Daud kemudiannya muncul sebagai antara atlet yang membantu meletakkan Malaysia di peta berbasikal Asia.

Daud menerima kalungan pingat emas yang dimenangi dalam salah satu temasya Sukan SEAP. - Kredit foto: Facebook PKBM.


Wajah Daud Ibrahim selepas bersara. - Kredit foto: Facebook PKBM.

Bagi memahami besarnya jasa beliau, kita perlu kembali ke zaman ketika Daud mula mengayuh basikal. Malaysia ketika itu masih sebuah negara muda yang sedang membina identitinya. 

Sukan berbasikal pula jauh daripada kemewahan yang dinikmati atlet hari ini. Tiada velodrom moden. Tiada pusat latihan bertaraf dunia. Tiada sokongan sains sukan yang canggih. Tiada jaminan masa depan selepas bersara sebagai atlet.

Menjadi atlet pada penghujung 1960-an bukan jalan menuju kehidupan mewah. Ia lebih dekat kepada pengorbanan. Namun dalam serba kekurangan itulah lahir sekumpulan anak muda yang sanggup mengerah kudrat demi mengangkat nama negara. Daud adalah salah seorang daripadanya. 
Pada tahun 1967, ketika berusia 20 tahun, beliau mula mencuri perhatian apabila muncul juara Terbuka Johor dan Terbuka Melaka. Kejayaan tersebut membuka jalan kepada kemunculannya sebagai antara pelumba terbaik negara dalam acara lumba basikal.
Ketika ramai anak muda seusianya sedang mencari arah kehidupan, Daud memilih jalan yang lebih mencabar. Beliau memilih untuk membawa cabaran Johor sebelum dipanggil menyarung jersi Malaysia dari tahun 1969 hingga 1974.

Keratan muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 Disember 1970 yang melaporkan kejayaan Daud meraih pingat emas Sukan Asia Bangkok , Thailand 1970. - Kredit foto: Media Mulia


Dua tahun selepas kejayaan di Johor dan Melaka, beliau mewakili negara ke Sukan SEAP 1969 di Rangoon pada usia 22 tahun yang merupakan permulaan kepada satu perjalanan yang akhirnya menjadikan beliau antara tokoh terpenting dalam sejarah berbasikal negara.
Ketika itu, Malaysia belum dikenali sebagai kuasa berbasikal Asia. Malaysia belum memiliki sejarah besar dalam sukan tersebut. Malaysia masih mencari jalannya. Lalu Daud dan rakan-rakan seperjuangannya seperti Datuk Ng Joo Ngan, Alwi Ahmad dan Loo Poh Teck mula membuka laluan itu sedikit demi sedikit.
Tahun 1970 menjadi titik perubahan yang mengangkat nama Daud ke dalam sejarah sukan negara dan  ketika berusia 23 tahun, beliau berangkat ke Bangkok untuk menyertai Sukan Asia. 
Di sana, beliau terlebih dahulu memenangi pingat gangsa dalam acara pecut satu kilometer ujian masa selepas tewas kepada pelumba Jepun dan Korea Selatan.

Disambut dengan taburan beras kunyit ketika pulang ke tanah air selepas meraih kejayaan dalam kejohanan antarabangsa yang disertai. - Kredit Foto : Facebook PKBM.


Bagi kebanyakan atlet, pingat gangsa di pentas Asia sudah cukup membanggakan. Namun takdir menyediakan sesuatu yang lebih besar. Keesokan harinya, rakan sepasukannya, Loo Poh Teck, mengalami demam panas dan tidak mampu bertanding  dalam acara trek 1,600 meter beramai-ramai.
Poh Teck meminta Daud menggantikannya. Pada mulanya beliau keberatan. Bukan kerana takut bersaing, tetapi kerana bimbang melanggar perancangan pasukan dan dimarahi pengurus ketika itu, Amrick Singh.
Namun selepas mendapat kepercayaan daripada pengurus pasukan sendiri, beliau akhirnya menerima tanggungjawab tersebut dan daripada keputusan yang kelihatan kecil itulah lahir sebuah sejarah besar.
Daud Ibrahim kemudiannya berjaya menghadiahkan pingat emas buat kem berbasikal Malaysia di Sukan Asia ketika itu. Pencapaian itu mungkin sekadar beberapa baris dalam buku rekod pada hari ini, tetapi ketika itu, ia membawa makna yang jauh lebih besar.
Pingat emas tersebut menjadi bukti bahawa Malaysia mampu bersaing dengan kuasa-kuasa besar Asia, sekali gus mengumumkan kepada benua bahawa pelumba negara tidak hadir sekadar untuk melengkapkan senarai peserta sebaliknya mereka hadir untuk menang.

Tidak seperti hari ini, acara trek di zaman Daud Ibrahim dijalankan di trek stadium bukan velodrom seperti sekarang. - Kredit Foto : Facebook PKBM.


Nama Daud Ibrahim menjadi simbol kepada keyakinan baharu itu. Jika Bangkok 1970 menjadi pentas kelahiran legenda, tahun berikutnya pula menyaksikan beliau mencapai kemuncak karier.
Pada usia 24 tahun, Daud membolot empat pingat emas di Sukan SEAP 1971. 

Empat emas dalam era yang serba kekurangan. Dalam era ketika atlet negara berjuang tanpa jaminan masa depan. Dalam era ketika semangat dan kecintaan kepada negara menjadi bahan bakar utama perjuangan mereka.

Pencapaian luar biasa itu melayakkan beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1971.
Pada tahun yang sama, beliau turut menerima Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) sebagai penghargaan terhadap jasa dan pencapaiannya.
Setahun kemudian, beliau dikurniakan pula Pingat Ibrahim Sultan (PIS). Namun penghormatan terbesar mungkin bukanlah anugerah yang diterima. Sebaliknya hakikat bahawa beliau berjaya mengubah cara masyarakat melihat keupayaan atlet berbasikal Malaysia.
Daud kemudiannya terus mengibarkan Bendera Malaysia (kini dijenama Jalur Gemilang) di pentas antarabangsa apabila mewakili negara ke Sukan Komanwel 1970 di New Zealand dan seterusnya ke Sukan Olimpik Munich 1972.
Ketika berusia 25 tahun, beliau berdiri di pentas Olimpik, pentas yang menjadi impian hampir setiap atlet di dunia.
Bagi generasi hari ini, penyertaan ke Olimpik mungkin dilihat sebagai sesuatu yang biasa berlaku.
Namun pada awal 1970-an, kehadiran seorang pelumba Malaysia di temasya terbesar dunia itu merupakan lambang kemajuan dan keberanian sebuah negara yang sedang membina reputasinya.

Akhbar Utusan Malaysia menerbitkan sisipan khas yang memaparkan jasa Allahyarham Daud Ibrahim bagi menghargai sumbangannya dalam dunia sukan berbasikal negara. - Kredit foto: Facebook PKBM.

Titis keringat beliau tidak berhenti setakat itu, malah beliau terus menyumbang pingat perak pada Sukan SEAP 1973 sebelum menamatkan karier sebagai atlet kebangsaan pada tahun 1974.
Namun seperti kebanyakan pelopor sejati, perjuangan Daud tidak berakhir di garisan penamat. Beliau memilih untuk terus berbakti kepada sukan yang telah membentuk kehidupannya.
Beliau menjadi jurulatih. Beliau berkongsi pengalaman dan ilmu kepada generasi yang datang selepasnya. Hasilnya dapat dilihat apabila beliau membantu skuad negara meraih empat pingat emas sebagai jurulatih kebangsaan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 1989.
Apa yang dibinanya sebagai atlet, diteruskannya pula sebagai pendidik.
Apa yang diperjuangnya di atas basikal, disambungnya pula dari tepi trek. Malah sehingga ke penghujung hayat, beliau masih menggalas amanah sebagai Ketua Jurulatih Berbasikal Johor.
Seolah-olah seluruh hidupnya tidak pernah jauh daripada dunia berbasikal. Pada 11 November 2010, arena sukan negara dikejutkan dengan berita pemergiannya selepas kenderaan yang dipandunya dilanggar dari belakang oleh sebuah treler di Kilometer 232.6 Lebuh Raya Utara-Selatan.
Beliau pergi pada usia 63 tahun, sekali gus menyaksikan Malaysia kehilangan seorang bekas Olahragawan Kebangsaan, seorang atlet Olimpik, pemenang emas Sukan Asia, seorang jurulatih yang masih setia berkhidmat kepada sukan berbasikal di Johor sehingga ke akhir hayat.

Gambar kenangan Daud Ibrahim bersama rakan pelumba basikal negara lain ketika menyertai  pertandingan antarabangsa di luar negara membuktikan mereka tidak  menikmati kemewahan ketika itu- Kredit foto: Facebook PKBM.


Daud Ibrahim (depan, dua dari kiri) bersama rakan pelumba basikal negara era 70an bergambar kenangan bersama pegawai Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). - Kredit foto: Facebook PKBM.

Namun yang lebih besar daripada semua gelaran itu ialah hakikat bahawa negara kehilangan seorang daripada generasi pembina. 

Generasi yang berjuang ketika jalan itu masih belum wujud. Generasi yang mengharungi segala kekurangan agar mereka yang datang kemudian dapat menikmati kemajuan.

Hari ini, apabila kita melihat pelumba Malaysia bersaing di velodrom moden dunia, dibantu joleh urulatih profesional, pakar pemakanan dan pasukan sokongan yang lengkap, kita sebenarnya sedang melihat hasil daripada benih yang ditanam puluhan tahun dahulu.
Sebelum semua itu wujud, ada insan-insan seperti Daud Ibrahim yang mengayuh di jalan yang lebih kasar dan berdepan masa depan yang lebih kabur. Mereka tidak tahu sama ada nama mereka akan dikenang atau dilupakan.
Mereka hanya tahu Malaysia mesti dihormati apabila berlumba di luar negara. Sebab itu, apabila kita menoleh ke belakang untuk mencari permulaan kisah kegemilangan berbasikal negara, kita tidak akan menemui sebuah velodrom, sebutir pingat atau sebuah trofi.
Kita akan menemui catatan sejarah seorang anak muda dari Batu Pahat yang mengayuh tanpa banyak janji, tanpa banyak kemewahan dan tanpa banyak pilihan. Daripada kayuhan itulah, sebuah sejarah mula bergerak.
Sorakan yang pernah mengiringi kejayaannya mungkin sudah lama berakhir. Ramai rakan seperjuangannya telah pergi. Ramai yang pernah menyaksikan kegemilangannya juga mungkin sudah tiada.
Namun dalam sejarah berbasikal Malaysia, gema kayuhan Daud Ibrahim masih belum berhenti.
Kerana sebelum adanya wira yang diraikan hari ini, pernah ada wira yang membuka jalan. Dan Daud Ibrahim adalah antara yang paling awal melakukannya. - KitaReporters

Daud Ibrahim (dua dari kiri) ketika majlis sambutan atlet basikal negara yang pulang dari luar negara .- Kredit foto: Facebook PKBM

11
18
0
8
0

Copy Link: