Ada satu penyakit lama dalam bola sepak Malaysia sehingga hari ini belum benar-benar sembuh. Ia bukan kecederaan otot, bukan juga kelemahan taktikal atau kekurangan fasiliti, kewangan mahu pun bakat.


Namat Abdullah (kiri) cuba menyekat kemaraan pemain Jerman Barat ketika perlawanan menentang Jerman Barat di Olimpik Munich 1972. - Kredit foto: HarimauMy Stats.


Penyakit itu lebih dalam daripada semua itu. Ia adalah budaya ingatan selektif yang menjadikan kita terlalu selesa dengan nostalgia, tetapi kurang jujur terhadap realiti semasa.

Kita gemar mengingati apa yang pernah dicapai, namun jarang bertanya mengapa kita gagal mengulanginya.

Hakikatnya, sejarah yang sering dibanggakan oleh penyokong bola sepak negara bukanlah cerita dongeng yang diperindah oleh masa. Ia benar-benar pernah berlaku.

Pada tahun 1958 ketika era Malaya, pasukan negara muncul juara Pestabola Merdeka selepas membelasah Hong Kong 4-0 dalam perlawanan akhir. 

Setahun kemudian, Malaya mempertahan kejuaraan dengan menewaskan Indonesia 2-1 sebelum sekali lagi muncul juara bersama pada tahun 1960 selepas terikat tanpa jaringan dengan Korea Selatan dalam perlawanan akhir.

Ketika itu, Malaya bukan sekadar pasukan yang mampu memberi tentangan. Kita adalah antara kuasa bola sepak yang dihormati di rantau ini.

Era tersebut dipimpin oleh Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat bersama rakan-rakan seangkatannya yang meletakkan asas kepada salah satu zaman paling gemilang dalam sejarah sukan negara.

Kegemilangan itu diteruskan pada Sukan Asia Jakarta 1962 apabila Malaya meraih pingat gangsa selepas kalah tipis 1-2 kepada Korea Selatan dalam perlawanan separuh akhir sebelum menumpaskan Vietnam (dahulu Vietnam Selatan) dengan jaringan 4-1 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.


Aksi pemain Malaysia mencabar penjaga gol Jerman Barat ketika Sukan Olimpik Munich 1972 di Jerman Barat. - Kredit foto: Majoriti


Hari ini, Korea Selatan merupakan pelanggan tetap pusingan Piala Dunia. Mereka bukan sahaja layak secara konsisten, malah mampu menyaingi kuasa-kuasa besar dunia.

Malaysia pula masih menyimpan impian untuk berada di pentas yang sama. Di sinilah persoalan sebenar bermula.

Apakah Korea Selatan, Jepun dan negara-negara lain bergerak terlalu pantas atau sebenarnya kita yang terlalu lama bergerak perlahan?

Memasuki era 1970-an, Malaysia terus membuktikan bahawa kejayaan terdahulu bukan sekadar kebetulan.

Muncul nama-nama seperti Namat Abdullah, Ali Bakar, Wong Kam Fook, Rahim Abdullah, Zawawi Yusuf dan ramai lagi pemain yang membantu mengangkat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Kemuncaknya hadir apabila Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Munich 1972, satu pencapaian yang sehingga hari ini masih menjadi kebanggaan bola sepak negara.


Allahyarham  Tan Sri Abdul Ghani Minhat. - Kredit foto: Arkib Negara.


Di Munich, skuad kendalian Jalil Che Din diundi satu kumpulan dengan Jerman Barat, Maghribi dan Amerika Syarikat. 

Malaysia tewas 0-3 kepada Jerman Barat dan 0-6 kepada Maghribi, namun bangkit menewaskan Amerika Syarikat 3-0 untuk menduduki tangga ketiga kumpulan meraih dua mata di belakang dua pasukan tersebut.

Dua tahun kemudian, Malaysia sekali lagi membuktikan bahawa kehadiran mereka di pentas Asia bukan sekadar untuk melengkapkan jadual pertandingan.

Pada Sukan Asia Tehran 1974, skuad negara yang turut dibarisi muka-muka baharu seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Santokh Singh, R. Arumugam dan Shukor Salleh membawa pulang pingat gangsa selepas menewaskan Korea Utara 2-1. Kedua-dua gol kemenangan dijaringkan oleh Isa Bakar.


Allahyarham Datuk Namat  Abdullah antara pemain dalam skuad Olimpik Munich 1972. - Kredit foto: Amir Irsyad Omar.


Era 1960-an sehingga awal 1980-an bukan zaman yang dibesar-besarkan oleh generasi lama. Ia adalah era ketika Malaysia benar-benar disegani.

Kita bukan pasukan belasahan. Kita bukan pelengkap jadual.Kita bukan pemerhati kepada kejayaan negara lain. Kita adalah antara pasukan kompetitif yang membantu mencorakkan bola sepak Asia.

Kemuncak terakhir era tersebut hadir pada tahun 1980 apabila Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Moscow selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan playoff di Stadium Merdeka pada 6 April 1980. Dua gol Malaysia dijaringkan oleh Bakri Ibni dan James Wong.

Walaupun negara akhirnya memboikot temasya tersebut, kejayaan melayakkan diri ke Olimpik tetap kekal sebagai salah satu pencapaian terbesar dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Nama-nama seperti Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh, R. Arumugam, James Wong, Hassan Sani dan Shukor Salleh bukan sekadar legenda yang dikenang kerana nostalgia.

Mereka adalah ukuran. Mereka adalah standard. Mereka adalah bukti bahawa Malaysia pernah berada pada tahap yang jauh lebih tinggi daripada kedudukannya hari ini.

Namun di situlah terletaknya paradoks terbesar bola sepak negara. Kita terlalu banyak mengingati era tersebut, tetapi terlalu sedikit belajar daripadanya.


Bintang bolas epak negara  Mokhtar Dahari bertukar cenderahati dengan bintang Argentina, Diego Maradona sebelum satu perlawannan persahabatan di Kuala Lumpur.-  Kredit foto: NSTP.


Kemerosotan bola sepak Malaysia tidak berlaku dalam satu malam. Tiada satu tarikh khusus yang boleh ditandakan sebagai hari kejatuhan. Ia berlaku perlahan-lahan, lapisan demi lapisan.

Sehingga akhirnya kita tidak lagi sedar bahawa negara-negara yang pernah berdiri sebaris dengan kita sudah lama menghilang di ufuk hadapan.

Kemuncaknya berlaku pada tahun 1994 apabila skandal rasuah bola sepak negara menggoncang seluruh ekosistem sukan ini. Puluhan pemain, jurulatih dan pegawai disiasat dan  ramai dalam kalangan mereka digantung daripada penglibatan dalam bola sepak.

Kesan skandal itu jauh lebih besar daripada sekadar kerosakan imej. Ia meruntuhkan kepercayaan terhadap sistem. Sebenarnya tanda-tanda masalah sudah muncul lebih awal. 

Liga Semi-Pro yang diperkenal pada penghujung 1980-an dan awal 1990-an sepatutnya menjadi jambatan menuju profesionalisme penuh.

Malangnya, jambatan itu gagal membawa bola sepak Malaysia ke destinasi yang sepatutnya. Selepas itu, bola sepak negara memasuki tempoh panjang yang dipenuhi ketidakstabilan. 

Isu gaji, pengurusan kelab yang rapuh, perubahan struktur liga yang berulang kali serta kegagalan membentuk budaya profesional menjadi masalah yang terus menghantui sukan ini.


Datuk Shukor Salleh (kanan) antara pemain tengah terbaik yang pernah dilahirkan Malaysia, beliau   juga merupakan salah seorang pemain skuad Olimpik Moscow 1980.-Kredit Foto : NSTP


Dalam tempoh yang sama, dunia tidak menunggu Malaysia. 

Jepun melancarkan J-League awal tahun 90-an dan membina sistem pembangunan yang tersusun sehingga mampu menghasilkan pemain ke Eropah secara konsisten. 

Korea Selatan memperkukuh laluan pembangunan dari sekolah ke kelab profesional sehingga melahirkan pemain bertaraf dunia seperti Son Heung-min.

Thailand memodenkan liga domestik sehingga kelab-kelab mereka beroperasi sebagai organisasi profesional sebenar.

Vietnam pula membina struktur pembangunan bakat melalui model antarabangsa menerusi akademi HAGL-Arsenal JMG.

Persoalannya, apakah Malaysia tidak mempunyai pelan pembangunan? Jawapannya tidak.

Malaysia sebenarnya tidak pernah kekurangan pelan. 

Kita mempunyai Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP). Kita mempunyai Akademi Mokhtar Dahari.

Kita mempunyai DNA Bola Sepak Malaysia yang diperkenal untuk membentuk identiti permainan serta pembangunan pemain secara menyeluruh.

Kita mempunyai Pelan F30 yang meletakkan sasaran menjadikan Malaysia antara kuasa bola sepak Asia menjelang 2030. Kita mempunyai pelbagai blueprint, roadmap dan pelan transformasi.


James Wong, Khalid Ali dan Santokh Singh meraikan malam gemilang Malaysia menumpaskan Korea Selatan 2-1di Stadium Merdeka untuk layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980.-Kredit Foto : ChedinSphere


Masalahnya bukan kekurangan idea. Masalahnya bukan kekurangan dokumen. Masalahnya bukan kekurangan slogan, sebaliknya gagal berdiri di atas pelan yang dibina dalam tempoh sewajarnya untuk menghasilkan sesuatu yang benar-benar diharapkan.

Peminat semakin sukar melihat hubungan antara pelancaran sesuatu pelan dengan hasil yang dijanjikan beberapa tahun kemudian.

Negara-negara maju bola sepak tidak menjadi kuat kerana mereka mempunyai lebih banyak pelan. Mereka menjadi kuat kerana melaksanakan pelan yang sama cukup lama sehingga bertukar menjadi budaya.

Malaysia pula sering kelihatan seperti negara yang gemar melancarkan pelan baharu sebelum sempat menjawab kegagalan pelan lama.

Mungkin di sinilah persoalan paling penting perlu ditanya. Adakah masalah bola sepak Malaysia berpunca daripada kegagalan melaksanakan pelan?

Atau kerana setiap generasi pentadbiran terlalu ghairah meninggalkan legasi sendiri sehingga kesinambungan menjadi mangsa?

Dalam bola sepak Malaysia moden, ada satu perkataan yang terlalu kerap muncul iaitu "hampir." Kita selalu mengungkapkan hampir layak, hampir berjaya, hampir konsisten, hampir mengejutkan lawan.

Namun sejarah tidak menyimpan rekod pasukan yang hampir berjaya. Sejarah hanya mengingati mereka yang benar-benar berjaya.

Kemunculan pemain seperti Arif Aiman sering dijadikan simbol harapan baharu bola sepak negara. Beliau sememangnya layak menerima segala pujian yang diberikan.


Antara  pemain skuad emas Malaysia yang berjaya melayakan diri ke Sukan Olimpik Moscow 1980. - Kredit foto: Facebook Life In Malaysia.


Namun kemunculan seorang pemain luar biasa juga menimbulkan persoalan yang lebih besar. Jika kemunculan seorang bakat istimewa dianggap fenomena nasional, bukankah itu menunjukkan sistem masih gagal menghasilkan pemain berkualiti secara konsisten?

Negara yang benar-benar maju tidak bergantung kepada seorang pemain. Mereka menghasilkan pemain berkualiti secara berterusan.

Malaysia sebenarnya masih mempunyai beberapa pencapaian moden yang membanggakan. Kita muncul juara Piala AFF 2010, naib juara pada tahun 2014 serta memenangi pingat emas Sukan SEA 2011.

Peningkatan ranking FIFA dalam beberapa tempoh tertentu juga membuktikan bahawa Malaysia masih mempunyai kemampuan untuk bersaing.

Namun hampir semua kejayaan tersebut bersifat episodik. Ia hadir bersama satu generasi. Kemudian hilang bersama generasi yang sama.


Pasukan Harimau Malaya bimbingan Datuk K. Rajagopal yang berjaya muncul juara Piala AFF Suzuki pada tahun 2010. - Kredit foto  X.Com OnefootballM.


Dalam landskap inilah Johor Darul Ta'zim muncul sebagai contoh yang tidak lagi boleh diabaikan dalam analisis objektif bola sepak Malaysia.

Sejak transformasi bermula sekitar tahun 2013, JDT memilih untuk membina sistem dan bukannya alasan. Mereka melabur dalam infrastruktur, memperkukuh akademi, memperkenal pengurusan profesional, dan membina budaya kerja yang konsisten.

Hasilnya dapat dilihat oleh semua. Dominasi Liga Super sejak 2014, kejuaraan Piala AFC 2015, kehadiran berterusan di pentas Asia. Malah JDT kini berada di ambang mencipta rekod dunia baharu bagi jumlah perlawanan liga tanpa kalah berturut-turut, satu pencapaian yang cukup luar biasa bagi sebuah kelab dari Malaysia.

Namun selepas lebih sedekad kejayaan tersebut, persoalan yang lebih besar masih belum terjawab. 

Mengapa apa yang berjaya dilakukan oleh sebuah kelab masih gagal diterjemah kepada keseluruhan ekosistem bola sepak negara?  

Formula itu bukan lagi rahsia, infrastruktur, profesionalisme, disiplin dan pelaburan jangka panjang. Jika jawapannya sudah diketahui, mengapa pelaksanaannya masih belum menjadi norma? 


Pemain Malaysia di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee meraikan kejayaan menumpaskan Indonesia untuk merangkul emas bolasepak Sukan SEA 2011. - Kredit foto: Sport 247


Akhirnya, masalah terbesar bola sepak Malaysia bukan kekurangan bakat. Padang-padang kampung masih melahirkan pemain berbakat, liga sekolah masih menemukan permata baharu, pertandingan akar umbi masih menghasilkan prospek yang menjanjikan sesuatu.

Masalah sebenar berlaku ketika bakat perlu berubah menjadi profesional. 

Ramai pemain hilang sebelum usia 23 tahun dan ramai gagal mendapat minit permainan yang mencukupi. Ramai juga menjadi mangsa ketidakstabilan kelab selain gagal berkembang kerana sistem pembangunan yang tidak berterusan.

Lalu lahirlah satu fenomena yang terus berulang dari satu dekad ke satu dekad iaitu "generasi hilang". Kesimpulannya, Malaysia tidak kekurangan sejarah, tidak juga kekurangan bakat malah kita tidak kekurangan pelan.

Yang masih kurang ialah keberanian untuk menjadikan disiplin, profesionalisme dan konsistensi sebagai budaya yang tidak boleh ditawar-menawar.


Bintang bola sepak terbaharu negara Arif Aiman Hanapi. - Kredit foto: Malaysia Gazzete


Setiap kali bola sepak Malaysia gagal mencapai sasaran, kita sering kembali kepada nama-nama yang sama seperti Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh dan Arumugam. Seolah-olah masa lalu mampu memberikan jawapan kepada masa depan.

Hakikatnya, legenda-legenda itu sudah lama menjalankan tugas mereka. Yang masih gagal menjalankan tugas ialah generasi yang mewarisi legasi tersebut. Kerana sebuah negara tidak boleh terus hidup dengan meminjam kegemilangan orang terdahulu.

Sampai satu ketika, sejarah yang tidak dijadikan pengajaran akan bertukar menjadi tempat persembunyian dan mungkin itulah penyakit paling kronik dalam bola sepak Malaysia.

Kita terlalu bangga dengan apa yang pernah dicapai sehingga terlupa membina apa yang sepatutnya dicapai selepas itu. 

Masalah terbesar bola sepak Malaysia bukan kerana kita tidak tahu jalan ke hadapan, tetapi kerana kita terlalu kerap menukar arah sebelum sempat sampai ke destinasi. - Kitaeporters


Pengurusan Kelab JDT  boleh dijadikan contoh untuk pembangunan bola sepak negara pada masa akan datang. - Kredit foto: FMT.

13
13
0
10
0

Copy Link: