Nota Tepi Padang| Pemergian tragis! Olie tagih tunggakan gaji! FAM, MFL, AFL jangan lepas tangan!
Published byAllahyarham Rosle Md Derus bukanlah seorang superstar bola sepak, tetapi mendapat tumpuan ekoran pendedahannya berhubung tunggakan gaji sebanyak RM108,000 sebagai jurulatih skuad Bawah 23 Tahun Kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC.

PENULIS tidak mengenali rapat Allahyarham Rosle Md Derus, bekas pemain bola sepak kebangsaan yang meninggal dunia pada 15 Julai, 2026 lalu akibat strok. Malah, tidak pernah menemu bualnya.
Tapi, sebagai wartawan sukan, penulis mengikuti kariernya sejak beliau menyertai skuad Piala Dunia Remaja 1997. Malaysia layak beraksi sebagai tuan rumah.
Selepas skuad itu dibubarkan, Rosle atau juga dikenali sebagai Olie, beraksi dalam liga
tempatan bersama beberapa pasukan seperti Terengganu, Perlis, Kedah dan Kuala
Lumpur. Beliau bukanlah seorang superstar, justeru kariernya jarang
diperkata oleh peminat bola sepak.
Begitupun, beberapa bulan kebelakangan ini, Rosle mendapat tumpuan ekoran pendedahannya berhubung tunggakan gaji sebagai jurulatih skuad Bawah 23 Tahun Kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC.

ROSLE Md Derus dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun KDA FC pada 2024.
Menurut laporan, kelab itu masih berhutang sebanyak RM108,000 kepada Rosle. Walaupun pelbagai saluran sudah digunakan termasuk menerusi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menuntut tunggakan gaji itu namun ia gagal diperolehi.
Penulis terbaca satu kenyataan Rosle ketika baru dilantik sebagai ketua jurulatih skiad Bawah 23 KDA. Beliau ternyata sangat teruja menerima tawaran itu.
"Apabila
pengurusan KDA FC menghubungi saya dan memberitahu untuk menjadi jurulatih Liga
Simpanan bawah 23 tahun, saya rasa bersyukur dan bangga sebab cita-cita saya
dari duhulu adalah untuk bersama pasukan Kedah tapi waktu itu belum ada rezeki.
"Dengan rezeki ini, saya berazam melakukan usaha yang terbaik untuk pasukan," katanya.

ROSLE (barisan depan dua dari kanan) bersama skuad Piala Remaja Dunia 1997.
Tapi, keterujaan itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila Rosle terpaksa menjadi umpama ‘peminta sedekah’ menagih haknya.
Walau FAM pada November, 2024 sudah mengarahkan KDA FC membayar tunggakan gaji itu, namun kelab berkenaan seolah-olah tidak mengendahkannya.
Penulis tidak pasti apakah Rosle sudah menerima bayaran itu sebelum kematiannya namun laporan menyebut ia belum dilunaskan. Jika benar, alangkah sedihnya.

KHIDMAT Rosle sebagai Pengarah Teknikal Penang FC berakhir pada March 2026 lalu.
Penulis dapat merasai kesukaran hidup yang dilalui Rosle ekoran kemelut yang melanda dirinya apatah lagi selepas ditamatkan kontrak sebagai Pengarah Teknikal Penang FC pada March 2026 lalu, beliau belum memperoleh pekerjaan untuk menyara anak isterinya.
Tidak mustahil tekanan hidup itu menjadi punca beliau diserang strok sehingga membawa kematiannya pada usia 48 tahun, dengan meninggalkan anak-anak yang masih kecil.
Tragedi yang menimpa Rosle seharusnya membuka mata semua yang terbabit dengan bola sepak Malaysia.
Isu yang melanda Rosle bukan kes terpencil sebaliknya sejak beberapa tahun kebelakangan ini masalah tunggakan gaji sudah menjadi barah dalam bola sepak kita.

ROSLE pergi meninggalkan anak-anak yang masih kecil.
Sampai bila isu sebegini akan terus berlarutan?
Penulis pernah menulis, apa gunanya gah dan gemilangnya Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) yang dianjurkan untuk menghargai pemain jika di tengah kemeriahan itu masih ada pemain yang menangis kerana masalah tunggakan gaji?
FAM sebagai badan yang menerajui bola sepak negara tidak boleh lepas tangan dengan meletakkan segala beban masalah ke atas bahu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Liga Amatur Malaysia (AFL) atas kepincangan yang berlaku sebaliknya perlu memikul tanggungjawab bersama.

Penulis berharap kepemimpinan baharu FAM yang bakal dipilih pada September 2026 nanti menjadikan isu tunggakan gaji ini sebagai antara agenda utama dalam merevolusikan bola sepak Malaysia.
Kepada
pentadbir MFL dan AFL, hanya satu permintaan murni penulis, selesaikan isu ini
atau anda semua berundur! - KitaReporters
