Video| Peminat tanya! Kenapa filem komedi sekarang macam terpaksa? Ini jawapan jujur Saiful Apek!

Published by
KitaReporters

Suatu ketika dahulu, nama Saiful Apek atau nama penuhnya Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff bersama kumpulan Senario hampir menjadi 'jaminan pecah panggung' setiap kali muncul di layar perak.



Bermula dengan sitkom televisyen sebelum melebarkan sayap ke layar perak, filem-filem komedi mereka seperti Senario The Movie, Senario Lagi, Lang Buana, Jutawan Fakir, Lady Boss dan beberapa lagi pernah mencetuskan fenomena tersendiri sehingga dialog serta babak-babaknya masih menjadi sebutan sehingga hari ini.

Pada era kegemilangannya sekitar penghujung 1990-an dan awal 2000-an, filem komedi tempatan bukan sekadar mengundang gelak tawa, malah sarat dengan nilai persahabatan, kekeluargaan dan pengajaran yang dekat dengan masyarakat. Tidak hairanlah ramai yang menganggap zaman itu sebagai antara era emas filem komedi Malaysia.

Namun satu perkongsian dalam TikTok telah mengimbau nostalgia tersebut apabila seorang peminat bertanyakan soalan yang mewakili perasaan ramai kepada pelakon tersebut.

"Kenapa filem lawak hari ni, lawak dia terpaksa. Saya rindu sangat filem Senario. Apa pendapat abang?"



Soalan yang kelihatan ringkas itu mendapat perhatian Saiful Apek sendiri. Namun, jawapan yang diberikan bukan sahaja jujur, malah cukup matang sehingga menerima pujian ramai warga maya.

Menurut pelakon itu, perubahan cita rasa penonton menjadi antara faktor utama mengapa filem komedi seperti dahulu semakin sukar mendapat sambutan.

"Cita rasa majoriti zaman sekarang tak macam dulu. Sekarang ni bila kami buat pun asyik tak dapat sambutan macam dulu-dulu. Banyak berhabis modal. 

"Rasa macam dah tak berapa nak relevan dengan permintaan majoriti. Media sosial pun tak ramai followers."


Luahan tersebut nyata menggambarkan realiti yang dihadapi ramai penggiat seni tanah air ketika ini. Walaupun nama besar dan pengalaman masih menjadi aset, penerimaan penonton hari ini banyak dipengaruhi trend media sosial, platform penstriman serta perubahan selera generasi baharu.

Lebih menyentuh hati apabila peminat berkenaan tidak terus berhenti di situ, sebaliknya mendoakan agar Saiful Apek terus diberikan kesihatan dan kekuatan untuk terus menghiburkan rakyat Malaysia. 

“Saya doakan abang sihat-sihat aje. Sambung menghiburkan muslimin muslimat di Malaysia ni."


 



Ruangan komen kemudiannya dibanjiri pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mengakui masih merindui sentuhan komedi era Senario.

Seorang netizen menyatakan dia bersetuju dengan pandangan Saiful Apek bahawa jika filem Senario diterbitkan semula pada zaman sekarang, kemungkinan besar sambutannya tidak akan sehebat dahulu kerana cita rasa penonton sudah berubah.

Malah, dia turut memberi contoh filem 6 Jilake yang disukainya tetapi kurang mendapat sambutan di pawagam.

Seorang lagi netizen pula berpandangan kualiti sesetengah filem komedi hari ini tidak lagi sama seperti dahulu. 

Menurutnya, perbezaan itu dapat dilihat apabila membandingkan filem Duyung yang pertama dengan sekuelnya. 

Katanya, sehingga kini dia masih mengulang tonton Duyung kerana jalan ceritanya lebih menghiburkan selain lagu Aspalela yang masih menjadi siulan.


 


Menjawab komen tersebut, Saiful Apek sekadar mengingatkan bahawa usaha dan doa tetap menjadi tanggungjawab manusia, manakala soal rezeki ditentukan Allah SWT. 

Tidak kurang juga yang mengakui filem-filem Senario mempunyai identiti tersendiri kerana bukan sekadar lawak kosong.

Seorang netizen menulis dia paling menyukai filem-filem Senario kerana lawaknya mempunyai pengajaran, berbeza dengan sebahagian filem komedi masa kini yang dirasakan kurang memberi impak.



Penulis sendiri tertarik dengan kematangan Saiful Apek membalas dan menjawab setiap soalan netizen. 

Jawapannya itu memperlihat seorang anak seni yang menerima perubahan zaman dengan hati terbuka. Tiada rungutan menyalahkan penonton, sebaliknya dia mengakui bahawa setiap zaman mempunyai cita rasa dan kehendak yang berbeza.

Namun begitu, dapat dilihat biarpun landskap hiburan berubah, nostalgia terhadap filem-filem komedi era Senario masih kekal utuh dalam hati ramai rakyat Malaysia. 

Bagi mereka, lawak yang bersahaja, dekat dengan kehidupan masyarakat serta diselitkan nilai murni itulah yang menjadikan filem-filem tersebut terus hidup dalam ingatan sehingga ke hari ini. - KitaReporters


10
4
0
8
0

Copy Link: