Video| Hijjaz kembali dengan album Akhir Bersamamu! Temui peminat pada Konsert Rindu Sumayyah Hijjaz!

Published by
KitaReporters

Ketika industri muzik tempatan semakin dipenuhi pelbagai genre moden, kumpulan nasyid legenda Hijjaz terus membuktikan karya berteraskan dakwah dan nilai kemanusiaan masih mempunyai tempat di hati masyarakat menerusi pelancaran album studio terbaharu mereka, ‘Akhir Bersamamu’.


 



Album yang kini boleh didengari dalam semua platform penstriman digital sejak 10 Julai 2026 lalu itu diperkenal secara rasmi kepada media menerusi satu sidang media khas pada 14 Julai 2026 bertempat di Restoran Alkhair, Ampang, sekali gus menandakan kemunculan semula Hijjaz dengan koleksi lagu baharu selepas hampir tiga dekad mewarnai industri muzik Islam di negara ini.

Menampilkan enam karya baharu, ‘Akhir Bersamamu’ mengekalkan kekuatan harmoni vokal yang menjadi identiti Hijjaz, namun dipersembahkan dengan susunan muzik yang lebih segar bagi memenuhi cita rasa pendengar masa kini tanpa mengabaikan mesej kerohanian yang menjadi tunjang perjuangan mereka.

Album ini turut memperlihatkan sentuhan kreatif anggota Hijjaz sendiri iaitu Isman Hijjaz, Munif Hijjaz, Faizal Hijjaz dan Ariffin Rahim yang bertindak sebagai komposer bagi menghasilkan karya-karya yang sarat dengan penghayatan.



Dari sudut penulisan lirik pula, Hijjaz bekerjasama dengan beberapa nama besar tanah air termasuk Datuk Habsah Hassan, Lukhman, Ahmad Fedtri Yahya, Atie, Isman Isam dan Abai Os bagi memastikan setiap lagu membawa mesej dakwah, kemanusiaan serta kecintaan kepada Allah dan Rasul yang mampu menyentuh hati pendengar. 

Album ‘Akhir Bersamamu’ mengandungi enam buah lagu iaitu Salam Maulidur Rasul, Mati Itu Pasti, Inang Cinta Memuji, Akhir Bersama-MU, Seiring Seganding dan Rufaidah Al-Aslamiyah.

Diterbitkan sebagai projek khas di bawah Inteam Records Sdn. Bhd., album ini bukan sahaja menjadi simbol kematangan perjalanan seni Hijjaz, malah diharap mampu menjadi penawar jiwa serta memberi inspirasi kepada masyarakat melalui kisah sirah, nilai kemanusiaan dan mesej ketuhanan yang diangkat dalam setiap karya.


Dari kiri: Faizal Hijjaz, Munif Hijjaz, Hazamin, Pengarah Urusan Inteam Records,  Johan Timbalan Pengarah Istana Budaya, Isman Hijjaz, Abdul Rahim Pengarah Inteam Record dan  Ariffin Hijjaz.


Dalam perkembangan sama, Hijjaz turut bakal mengubat kerinduan peminat menerusi 'Konsert Rindu Sumayyah Hijjaz' yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 16 dan 17 Oktober 2026. 

Konsert anjuran Istana Budaya itu dijangka menjadi pentas istimewa buat peminat menikmati lagu-lagu malar segar Hijjaz selain menyaksikan persembahan karya daripada album Akhir Bersamamu secara langsung. - KitaReporters

4
3
0
4
0

Copy Link: