Lama menyepi! Raja Afiq buka cerita! Rehat bukan bererti mengalah! Kini lebih selektif pilih watak!

Published by
KitaReporters

Hadir kembali dan bangkit dengan semangat baharu! 

Selepas agak lama tidak muncul secara aktif sebagai hero drama di kaca televisyen, pelakon Raja Afiq Raja Razali kini bersedia menghangatkan industri seni dengan azam dan perspektif yang jauh lebih matang.



Pelakon berusia 32 tahun itu menegaskan dirinya bukan menghilangkan diri daripada dunia lakonan. 

Sebaliknya, dia sengaja memperlahan langkah bagi memberi ruang untuk memperbaiki diri, sama ada dari aspek kesihatan, kecergasan mahupun kekuatan mental sebelum kembali menerima tawaran berlakon.

Menurut Raja Afiq, tempoh berehat itu banyak mengajarnya tentang disiplin dan keutamaan dalam kehidupan. 

Baginya, perjalanan sebagai anak seni tidak sentiasa indah, namun setiap cabaran menjadikan seseorang lebih matang dalam menentukan hala tuju kerjaya.

"Saya anggap semua yang berlaku sebagai proses pembelajaran. Dalam tempoh itu saya lebih memberi perhatian kepada kesihatan dan membentuk disiplin diri supaya apabila kembali nanti, saya benar-benar bersedia," katanya.



Kesediaan itu turut diterjemahkan menerusi pembabitannya dalam filem aksi Black Ops: Operasi Serigala arahan Syafiq Yusof, yang selesai menjalani penggambaran pada Mei 2026 lalu. 

Filem berkenaan turut menghimpunkan barisan pelakon terkenal seperti Hisyam Hamid, Aaron Aziz, Sharnaaz Ahmad, Anding Indrawani dan MK K-Clique.

Selain kemunculannya dalam filem itu, perubahan fizikal Raja Afiq yang kini tampil lebih cergas dan segak turut mencuri perhatian pengikutnya dalam media sosial.

Bagaimanapun, menurutnya, usaha menjaga tubuh badan bukan sekadar tuntutan kerjaya sebagai pelakon, tetapi lebih kepada tanggungjawab terhadap diri sendiri.

Katanya, apabila tubuh berada dalam keadaan sihat, seseorang akan lebih fokus, bersemangat dan mampu memberikan prestasi terbaik dalam apa juga bidang yang diceburi. 

Pada waktu lapang, dia banyak mengisi masa dengan bermain bola sepak serta menjalani latihan di gimnasium.


Ketika penggambaran cerita aksi.


Dalam perkembangan sama, Raja Afiq tidak melihat kemunculan ramai pelakon muda sebagai ancaman kepada kedudukannya dalam industri. Sebaliknya, dia menganggap persaingan sihat itu sebagai motivasi untuk terus memperbaiki mutu lakonan dan menambah ilmu.

Pelakon yang pernah membintangi drama seperti Sayangku Kapten Mukhriz, Polis Peronda - Ranjau Jalanan, Gerak Khas Undercover, Cinta Non Grata, Tumpang Lalu Bang dan Seindah Tujuh Warna Pelangi itu kini lebih berhati-hati memilih naskhah.

Baginya, kekuatan sesebuah karya dan karakter yang mempunyai ‘jiwa’ jauh lebih penting berbanding mengejar watak utama semata-mata. 

"Saya tidak terlalu memikirkan soal hero atau pelakon pembantu. Yang penting, watak itu memberi cabaran dan ada sesuatu yang boleh saya sampaikan kepada penonton," ujarnya.  

Bagi memastikan setiap karakter dapat dihidupkan dengan baik, Raja Afiq mengakui dia gemar membuat kajian, berlatih lebih awal dan mendapatkan pandangan daripada pelakon senior sebelum memasuki set penggambaran. 



Selain kembali aktif berlakon, Raja Afiq turut membuka ruang kerjasama bersama pelbagai jenama, khususnya yang berkaitan kesihatan, kecergasan dan gaya hidup.

Menurutnya, setiap kolaborasi perlu selari dengan imej serta prinsip yang ingin dibawa dalam fasa baharu perjalanan kerjayanya.

Pada masa sama, Raja Afiq turut menzahirkan penghargaan kepada peminat yang terus memberikan sokongan walaupun kemunculannya di televisyen tidak sekerap dahulu.

Katanya, setiap mesej dan doa daripada peminat menjadi pembakar semangat untuk terus berkarya, malah dia berharap kemunculan semula di bawah pengurusan baharu akan membuka lebih banyak peluang menghasilkan karya yang berkualiti.

Jelasnya lagi, setiap ‘rehat’ dalam kehidupan bukan bermaksud menyerah kalah, sebaliknya peluang untuk kembali melangkah dengan semangat, pengalaman dan keyakinan yang lebih besar. - KitaReporters


2
7
0
6
0

Copy Link: