Sabhi Saddi tak kisah! Dilabel penyanyi wedding! Harap Romansa diterima selepas 3 tahun tanpa lagu!

Published by
KitaReporters

Selepas mengambil masa hampir tiga tahun untuk menghasilkan karya baharu, penyanyi kelahiran Sabah, Sabhi Saddi akhirnya kembali dengan single terbaharu berjudul 'Romansa', sebuah lagu yang membawa kisah cinta, kesetiaan dan pengorbanan dalam sebuah hubungan.





Dikenali menerusi lagu popular ‘Cinta Sesungguhnya’ yang sering menjadi pilihan untuk majlis perkahwinan, Sabhi mengakui dia tidak pernah anggap dilabel sebagai penyanyi ‘wedding’  (penyanyi majlis kahwin) sesuatu yang membataskan perjalanan seninya.

Menurut Sabhi, perkara paling penting baginya adalah apabila karya yang dihasilkan mampu memberi makna kepada pendengar dan menjadi sebahagian daripada momen istimewa dalam hidup mereka.

“Tidak kisah orang nak kata apa. Malah saya anggap ia satu rezeki apabila ramai memilih lagu saya untuk majlis perkahwinan mereka. Kalau lagu kita boleh mengiringi hari bahagia seseorang, itu menunjukkan karya tersebut dekat dengan hati pendengar,” katanya.

Mengulas mengenai kemunculan ‘Romansa’, Sabhi berkata dia sememangnya mengambil masa yang panjang sebelum melancarkan sesuatu karya kerana amat teliti dalam memastikan setiap lagu mempunyai mesej dan identiti tersendiri.

Katanya, dia bukan seorang artis yang gemar mengeluarkan banyak lagu dalam tempoh singkat kerana mahu setiap karya yang diterbitkan mempunyai nilai serta mampu memberi kesan positif kepada pendengar.

“Saya memang seorang yang sangat memilih dalam soal lagu. Saya akan ambil masa mencari komposer, penulis lirik dan karya yang benar-benar sesuai dengan apa yang saya mahu sampaikan. 

"Biasanya saya mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk muncul dengan  karya baharu.

“Satu perkara yang sentiasa saya titikberatkan adalah pemilihan jalan cerita dan mesej dalam setiap lagu yang saya sampaikan kerana mahu memberi impak positif kepada pendengar, bukannya meninggalkan kesan yang boleh mempengaruhi mereka ke arah perkara yang tidak baik,” ujar Sabhi.



Menurutnya, sebagai contoh, jika beliau ingin menghasilkan lagu yang berkisarkan kekecewaan dalam kehidupan atau percintaan, beliau akan memastikan mesej yang dibawa tidak terlalu negatif sehingga boleh mendorong pendengar membuat keputusan yang kurang bijak atau merugikan diri sendiri. 

Selepas kejayaan besar ‘Cinta Sesungguhnya’, Sabhi mengakui cabaran utama adalah mencari karya yang mampu memberikan impak sama, namun dia lebih memilih untuk bersaing dengan hasil kerja sendiri berbanding membandingkan diri dengan penyanyi lain.

“Saya tidak membandingkan karya saya dengan lagu orang lain, tetapi saya lebih melihat kepada bagaimana saya boleh menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada karya saya sendiri." jelas Sabhi.

Bagi ‘Romansa’, Sabhi bekerjasama dengan komposer Farouk Roman dan penulis lirik Senna, sebuah kolaborasi yang menurutnya berjalan lancar kerana mereka berkongsi visi muzik yang sama.

“Kami memahami arah muzik yang ingin dibawa dan berkongsi tujuan yang serupa, iaitu menghasilkan sebuah karya yang berkualiti dan mampu menyentuh hati pendengar,” katanya.

Sabhi turut terlibat secara langsung dalam proses kreatif dengan memberikan panduan jelas mengenai konsep dan emosi yang ingin diterapkan dalam lagu tersebut.

“Saya banyak berbincang dengan Farouk dan Senna mengenai hala tuju lagu ini. Saya mahukan elemen keceriaan, kebahagiaan dan mesej yang positif. 

"Saya juga memberikan beberapa rujukan termasuk ‘Cinta Sesungguhnya’ sebagai panduan untuk mendapatkan rasa yang saya inginkan,” katanya.

Menurutnya, lagu tersebut membawa elemen romantik dengan penceritaan mengenai pasangan yang melalui pelbagai dugaan sebelum kembali bersatu.

“Melodi lagu ini sangat romantis dan liriknya juga mempunyai jalan cerita yang kuat. Ia mengisahkan dua insan yang berdepan cabaran dalam kehidupan, tetapi cinta yang ada membuatkan mereka kembali bersama,” ujarnya.

Tambah Sabhi, walaupun ‘Romansa’ mempunyai tema cinta seperti 'Cinta Sesungguhnya', kedua-duanya membawa pendekatan berbeza.

“Kalau 'Cinta Sesungguhnya' lebih kepada suasana perkahwinan, ‘Romansa’ pula menceritakan perjalanan sebuah pasangan -- tentang jatuh bangun dalam hubungan sebelum menemui kebahagiaan,” katanya.


Sabhi ketika ditemur amah penyampai radio Molekfm, Anna Aljuffrey berhubung digelar penyanyi 'wedding'.


Sementara itu, selaku komposer Farouk Roman menjelaskan idea lagu tersebut tercetus daripada keinginan untuk menghasilkan karya yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.

Menurutnya, tema cinta dan kehilangan adalah sesuatu yang mudah dikaitkan dengan ramai orang kerana ia lahir daripada emosi yang jujur.

“Sebetulnya, ada sedikit campuran daripada pengalaman peribadi dan juga pemerhatian terhadap kisah orang sekeliling. Emosi yang dialami sendiri lebih mudah diterjemahkan dalam bentuk melodi dan lirik,”  jelasnya.

Tambah Farouk lagi, mesej utama ‘Romansa’  adalah tentang menghargai cinta sebelum ia hilang atau berubah.

“Kadang-kadang kita hanya sedar nilai sesuatu hubungan apabila ia mula menjauh atau hilang,” katanya.


Sebelum proses penciptaan, Farouk Roman (kiri) turut meneliti karakter vokal Sabhi (kanan) bagi memastikan keserasian melodi.


Menariknya, Sabhi turut bertindak sebagai pengarah muzik video dan berdepan cabaran membimbing pelakon yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan.

“Saya juga bertindak sebagai pengarah muzik video untuk lagu ini. Saya memilih talent yang tidak mempunyai pengalaman depan kamera, jadi saya perlu membimbing mereka dari segi lakonan dan emosi—daripada happy, sedih sehinggalah ke babak bahagia,” jelasnya.

Sabhi berharap ‘Romansa’  mampu diterima ramai dan mengulangi kejayaan ‘Cinta Sesungguhnya’  dengan mencipta hubungan emosi bersama pendengar.

“Saya harap apabila orang dengar lagu ini dan tonton muzik videonya, mereka boleh rasa dekat kerana cinta itu penuh dengan pengorbanan dan setiap orang pasti ada pengalaman sendiri,” ujarnya.

Dengan gabungan melodi romantis, lirik puitis serta visual yang dramatik, ‘Romansa’ diharapkan mampu menjadi karya yang dekat di hati pendengar serta mengukuhkan lagi kedudukan Sabhi Saddi dalam industri muzik tempatan. - KitaReporters

15
13
0
13
0

Copy Link: