Video| Jamal Abdillah nak bersara? Belum lagi? Bantu Kempen Internet Selamat! Guna platform DJA Show!
Published bySebut sahaja nama Datuk Jamal Abdillah, pasti peminat muzik tanah air mengenali figura yang cukup sinonim dengan gelaran Raja Pop Malaysia.

Hampir lima dekad mewarnai industri seni, penyanyi berusia 67 tahun itu bukan sahaja melahirkan puluhan lagu malar segar, malah berjaya membina legasi tersendiri menerusi vokal bertenaga, teknik nyanyian yang tersendiri serta persembahan yang sentiasa memukau penonton.
Lagu-lagu seperti Penghujung Rindu, Kekasih Awal dan Akhir, Azura serta Gadis Melayu terus menjadi siulan peminat sehingga hari ini. Walaupun usia semakin meningkat, Jamal masih aktif memenuhi undangan persembahan dan terus menjadi antara penyanyi legenda yang mendapat permintaan tinggi dalam pelbagai acara hiburan.
Namun, faktor usia dan keletihan akibat jadual seni yang padat sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi vokalnya.
Justeru, apabila beliau menyebut mengenai persaraan, ramai peminat mula tertanya-tanya sama ada penyanyi legenda itu benar-benar mahu mengucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian.
Persoalan itu tercetus ketika sesi rakaman DJA Show: Siri Muzikal 'Aku Jamal: Suara Emas Digital' pada 25 Jun 2026 apabila Jamal dilihat tidak dapat meneruskan nyanyian sebuah lagu mengikut nada asal.

Rakaman persembahan Datuk Jamal Abdillah (DJA) itu terpaksa dihentikan seketika
sebelum diulang semula selepas beliau meminta pemuzik menurunkan 'key' lagu
berkenaan kerana merasakan nada asal terlalu tinggi untuk keadaan suaranya pada
hari tersebut.
Situasi itu membuatkan Jamal meluahkan rasa kecewa
terhadap dirinya sendiri sebagai seorang penyanyi.
Menurut beliau, setiap kali membuat persembahan,
beliau mempunyai penanda aras atau ‘KPI’ tersendiri yang mahu dicapai. Oleh
itu, apabila terpaksa menurunkan nada lagu, beliau merasakan seolah-olah gagal
memenuhi standard yang ditetapkannya sendiri.
"Apabila saya terpaksa turunkan key, saya rasa macam KPI saya sebagai penyanyi tak tercapai," jelasnya ketika sidang media.

Kenyataan tersebut bagaimanapun pantas mencetuskan
pelbagai spekulasi sehingga ada yang menganggap Jamal benar-benar mahu bersara
daripada dunia seni.
Menjawab persoalan media selepas selesai rakaman,
Jamal segera menjelaskan bahawa kenyataan tersebut hanyalah gurauan spontan dan
tidak harus disalah tafsir.
Beliau menegaskan, selagi masih mempunyai kudrat dan
peminat masih mahu mendengar nyanyiannya, beliau akan terus berkarya.
"Bagi saya, sebagai penyanyi sebenarnya tiada
istilah bersara. Apa yang saya cakap di atas pentas itu sekadar gurauan
sahaja," katanya sambil tersenyum.
Mengulas mengenai keadaan suaranya, Jamal berkata ia
bukan berpunca daripada masalah kesihatan yang serius, sebaliknya disebabkan
faktor keletihan kerana jadual persembahan yang terlalu padat sepanjang tahun
ini.
Menurutnya, sepanjang tahun 2026 beliau menerima
tawaran menyanyi yang tidak putus-putus sehingga menyebabkan masa rehat menjadi
agak terhad.
"Tahun ini saya memang sibuk. Tawaran menyanyi banyak sangat. Apabila kurang berehat, sudah tentu suara pun terjejas sedikit," jelasnya.

Pengakuan jujur penyanyi berpengalaman itu nyata
mendapat perhatian ramai kerana bukan mudah untuk seorang penyanyi legenda
mengakui kemampuan vokalnya sudah berubah mengikut peredaran usia.
Namun bagi Jamal, perkara itu bukanlah sesuatu yang
perlu disembunyikan. Sebaliknya, beliau lebih mengutamakan kualiti persembahan
agar penonton tetap menikmati nyanyian terbaik yang mampu diberikan pada setiap
kali membuat persembahan secara langsung.
Ironinya, ketika isu persaraan hangat diperkatakan,
Jamal sebenarnya sedang sibuk menjayakan sebuah projek yang dianggap sebagai
antara usaha terbesar dalam perjalanan seninya.
Beliau kini menjadi wajah utama DJA Show: Siri Muzikal 'Aku Jamal: Suara Emas Digital', sebuah program hiburan sebanyak 13 episod yang bukan sekadar meraikan perjalanan seni beliau, malah membawa mesej penting mengenai keselamatan digital atau keselamatan online kepada masyarakat.
Bersama komposer terkenal, Fauzi Marzuki.
Program tersebut menggunakan pendekatan kreatif
dengan menggabungkan persembahan muzik, penceritaan dan perkongsian pengalaman
bagi menyampaikan mesej penggunaan Internet secara selamat dan
bertanggungjawab.
Turut memeriahkan program berkenaan ialah dua anak
lelaki Jamal, Osama Yamani dan Zaki Yamani, selain beberapa artis jemputan lain
yang bersama-sama menyampaikan mesej kesedaran digital melalui pendekatan
santai dan menghiburkan.
Inisiatif tersebut dilaksanakan ketika ancaman dunia
siber semakin membimbangkan dengan peningkatan kes penipuan dalam talian,
jenayah siber dan penyebaran maklumat palsu yang memberi kesan kepada pelbagai
lapisan masyarakat.
Golongan wanita dan warga emas dikenal pasti antara kumpulan yang lebih mudah menjadi mangsa penipuan dalam talian. Justeru, pendekatan menggunakan hiburan sebagai medium pendidikan dilihat lebih dekat dengan masyarakat dan mampu menarik perhatian pelbagai peringkat umur.
Anak lelakinya, Osama turut bersama menjayakan program ini.
Program itu turut menyokong usaha Kempen Internet
Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sekali gus
memperkukuh penyampaian mesej literasi digital melalui kandungan kreatif yang
lebih mudah difahami.
Sepanjang 13 episod, penonton bukan sahaja
dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu popular Jamal Abdillah, malah turut
disajikan dengan pelbagai tip serta panduan berkaitan penggunaan internet
secara berhemah, termasuk langkah mengelakkan diri daripada menjadi mangsa
penipuan siber.
Lebih menarik, penerbitan program berkenaan turut
menggunakan teknologi Virtual Production
di fasiliti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), menjadikannya
antara produksi berskala besar yang memanfaatkan teknologi tersebut dalam
rakaman konsert televisyen.
DJA Show: Siri Muzikal 'Aku Jamal: Suara Emas Digital' dijadualkan bersiaran di TV2 RTM selama 13 minggu berturut-turut bermula Julai 2026, selain diperkukuh dengan kempen digital, promosi media, pengumuman khidmat awam dan kerjasama bersama pempengaruh bagi memastikan mesej keselamatan internet dapat disampaikan kepada khalayak yang lebih luas. - KitaReporters
