Video| Dah 70 tahun tapi Sahara Yaacob masih cantik! Ada peminat ajak kahwin! Serius atau gurauan?

Published by
KitaReporters

Nama Sahara Yaacob bukanlah asing dalam industri hiburan tanah air. Penyanyi yang cukup dikenali sejak era 1970-an dan 1980-an itu pernah mewarnai persada muzik tempatan dengan suara yang lunak serta personaliti yang lemah lembut.



 

Walaupun sudah tidak seaktif dahulu, Sahara masih mempunyai kelompok peminat setia yang mengikuti setiap perkembangan beliau dalam media sosial.

Malah, setiap kali dia memuat naik gambar atau berkongsi pandangan mengenai kehidupan, ruangan komen pasti dipenuhi kata-kata semangat daripada peminat. 

Menariknya, bukan sekadar memuji kecantikan wajah yang seolah-olah tidak dimamah usia, ada juga yang secara terbuka mengusik dan mengajak penyanyi berusia 70 tahun itu berkahwin.

Terbaharu, Sahara memuat naik satu kenyataan dalam Facebook yang menarik perhatian ramai peminat. Dia berterima kasih kepada individu yang melamarnya. Tegasnya, hidupnya kini hanya berserah kepada Allah SWT semata-mata. 

"Terima kasih atas pelawaan. Kak berserah pada Allah menentukan segala-galanya. Hidup kak bukan hidup kak lagi. Segala-galanya telah kak kembalikan pada Allah. 

"Hanya Allah yang berhak menentukan hidup, mati, untung baik, untung jahat, rezeki dan jodoh kak. Allah mencintai tanpa syarat. Alhamdulillah," tulisnya.




Sebelum itu, pada 12 Julai 2026 lalu dia memuat naik hantaran dalam Facebook berterima kasih kepada individu yang menghadiahkannya tudung. Gambar yang dikongsi, memperlihat dirinya mengenakan tudung tersebut.

Dalam hantaran itulah tiba-tiba seorang individu tersebut melamarnya. Pada mulanya dia memuji kecantikan penyanyi tersebut dan kemudian melamarnya.

"Akak cantik semula jadi," pujinya kepada Sahara. Sahara membalas dengan penuh sopan sambil merendah diri. 

Make up tu sayang. Love you,” jawab Sahara. 




Kemudian tidak semena-mena peminat tersebut mengajak Sahara berkahwin pula.

 “Akak, jom kawin!” lamarnya.

Sahara menolaknya dengan baik.

“Terima kasih atas niat baik sayang tu. Kak ni dah tua sayang. Kak dah 70 tahun. Kekuatan dan kesihatan dah kurang. Rasanya dah tak mampu menjadi isteri yang baik. Tak mahu mèmbebankan sesiapa juga. 

"Sebaik-baiknya kak fokus pada kesihatan kak. Terima kasih. Walau apa pun kak love you,” jelasnya.



Persoalannya, adakah lamaran itu benar-benar serius atau sekadar gurauan seorang peminat yang terlalu meminati penyanyi legenda tersebut?

Melihat kepada keseluruhan perbualan, ramai netizen menganggap ia lebih kepada usikan manja antara peminat dan artis kesayangan. Malah cara Sahara melayan setiap komen dengan penuh sopan tanpa memperlekehkan sesiapa turut dipuji warga maya.

Di sebalik usikan mengenai jodoh itu, satu perkara yang lebih mencuri perhatian ialah penampilan Sahara yang dikatakan langsung tidak menggambarkan usianya mencecah 70 tahun.



Ramai netizen mengakui mereka sukar mempercayai angka tersebut. 

"70 ke kak? Wow, masih kelihatan muda," tulis salah seorang netizen. "Serius dah 70? Apa rahsia kecantikan akak?" soal seorang lagi netizen.

Antara komen yang paling mendapat perhatian ialah daripada netizen yang menyifatkan kecantikan Sahara sebagai anugerah semula jadi.

"Tapi jujurlah, serius memang natural beauty. Kita yang 40-an ni pun kalah. Kedut sana sini dah," pujinya.



Dalam ruangan komen, rata-rata peminat mendoakan agar Sahara Yaacob terus dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia dalam keberkatan serta terus menjadi inspirasi kepada masyarakat.

Sama ada lamaran itu sekadar gurauan atau benar-benar lahir daripada rasa kagum, hanya empunya komen yang mengetahui. 

Yang pasti, reaksi tenang dan penuh adab daripada Sahara membuatkan ramai semakin menghormati figura seni legenda itu. - KitaReporters



8
6
0
17
0

Copy Link: