Bicara Seni| Video| Artis bunuh karier sendiri? Dengan terbabit dadah! Pengajaran buat insan seni!
Published byMembina karier dalam bidang seni bukan mudah dan banyak likunya untuk sukses. Setelah berjaya sebagai insan seni, insan itu akan menjadi tumpuan masyarakat.

Dan ada insan seni yang lupa diri dengan populariti dengan melakukan perkara-perkara yang kurang atau tidak bermoral. Akhirnya ia boleh membunuh karier yang sudah tercipta.
Sebagai contoh, pelakon wanita Tisya Shamsir atau nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam, 40, yang membawa watak Inspektor Tisya ditahan oleh polis kerana disyaki positif dadah pada 7 Julai 2026 telah membunuh kariernya dalam bidang lakonan.
Dan ia menjadi pengajaran kepada insan seni lain agar tidak terbabit dalam perkara yang tidak sihat.

Tisya Shamsir
Syarikat Skop Productions sudah menyenarai hitam pelakon ini daripada terlibat dalam mana-mana drama dan filem terbitannya.
Sedangkan selama ini Skop Productions yang banyak memberi peluang kepada dirinya berlakon dalam drama atau filem terbitan syarikat tersebut.
Selain berlakon dalam siri ‘Gerak Khas’ sejak beberapa tahun lalu dia turut berlakon dalam sejumlah drama dan filem terbitan Skop Productions.
Setelah terpalit dengan kes dadah, pelakon ini juga dipercayai sukar untuk mendapat peluang dalam syarikat penerbitan lain.
Pelakon wanita yang membawa watak inspektor dalam siri drama kepolisian ‘Gerak Khas 2.0’ ini merayu kepada pengarah Yusof Haslam, 72, untuk terus terlibat dalam dua episod akhir yang belum menjalani pengambaran.
Namun Yusof yang juga pengasas dan Pengerusi Eksekutif Skop Productions tegas menjaga integriti dan tidak bertolak ansur terhadap pelakon dan tenaga produksi yang terbabit dengan perkara tidak bermoral seperti terbabit dengan dadah dan perbuatan tidak bermoral lain.
Pelakon terbabit dipercayai suka bersukaria di tempat hiburan. Dan Yusof sudah dua kali menasihatinya agar menjauhi perkara kurang sihat itu kerana perlu menjaga integriti Skop Productions dan pasukan polis.
“No, enough is enough. I have to drop you.” (Cukup, saya kena gugurkan awak),” kata Yusoff ketika pelakon itu datang menemuinya baru-baru ini.

Yusof Haslam
Tambah Yusof perkara yang sama akan dilakukan kepada mana-mana pelakon dan tenaga penggambaran yang tidak menjaga disiplin dan integriti.
Menurut Yusof lagi, dia menyerah kepada pihak polis untuk menjalan siasatan lanjut dan pelakon itu menerima hukuman sewajarnya.
Bagi Yusof, peristiwa yang berlaku ini mengejutkan dirinya dan para pelakon dan tenaga produksi lain.
Ia berlaku tidak lama selepas ‘Gerak Khas 2.0’ dilancar dan selepas episod pertama ditayang dalam siaran TVS (TV Sarawak) pada Jumaat, 3 Julai 2026.
Siri ‘Gerak Khas 2.0’ sebanyak 26 episod mula menjalani pengambaran sejak Disember 2024 dan tinggal dua episod untuk diselesai yang dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu.
Dua episod ini terpaksa dibuat sedikit pindaan skrip setelah watak seorang inspektor wanita itu ditiadakan.
Sesuai dengan siri ‘Gerak Khas 2.0’ arahan Yusof dan C. Kumaresan bagi menaikkan jumlah tontonan di TVS, selain menjalani beberapa pengambaran di Sarawak, ia turut membabitkan beberapa pelakon kelahiran Sarawak.
Antara pelakon berasal dari Sarawak yang berlakon dalam ‘Gerak Khas 2.0’ ialah Anding Indrawani, Emily Elizabeth, dan Marzella Sigai.
Antara pelakon 'Gerak Khas 2.0'
Sementara itu beberapa pelakon siri ‘Gerak Khas’ juga kembali berlakon. Antaranya DYusof Haslam sebagai DCP Datuk Helmi, Hans Isaac sebagai Hans, Erra Fazira sebagai DSP Jeslina, Salina Saibi sebagai ASP Salina, Z Zamri sebagai Sarjan Zaidi. C. Kumaresan sebagai Kumar, Sheera Iskandar, Deen Maidin, dan Datuk Shaharon Anuar.
Pelakon wanita terbabit ditahan bersama 17 individu lain di dalam bilik VIP sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada awal pagi 7 Julai 2026.
Penangkapan pelakon itu menyebabkan beberapa pelakon siri kepolisan turut terpalit kerana sikap sebahagian masyarakat yang suka membuat telahan melulu.
Dengan perkembangan pesat media sosial, siapa yang terbabit tidak sukar untuk diketahui.
Tisya didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat, 10 Julai 2026. Namun dia tidak mengaku salah dan kes akan disebut semula pada 8 Oktober 2026.

Tisya ketika tiba di mahkamah
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan pengawasan selama dua tahun dan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Dan jangan ketinggalan menyaksikan siri ‘Gerak Khas 2.0 setiap Jumaat jam 8.45 malam di TVS bermula 3 Julai 2026. - KitaReporters
