Di sebalik ujian, Fazura temui Kisah Terbaik! Bawa mesej harapan! Apakah ada kisah di sebaliknya?

Published by
KitaReporters

Di sebalik perhatian yang sering tertumpu kepada kehidupan peribadinya, penyanyi dan pelakon Fazura memilih untuk berbicara menerusi karya apabila tampil dengan single terbaharu berjudul “Kisah Terbaik”, sebuah balada yang disifatkannya sebagai antara lagu paling dekat dengan dirinya.




Kemunculan lagu itu pantas mencuri perhatian apabila mesej yang dibawakan menyentuh soal penerimaan, kekuatan diri dan keberanian untuk memulakan lembaran baharu, sekali gus mengundang pelbagai tafsiran dalam kalangan peminat.

Bagaimanapun, Fazura menjelaskan “Kisah Terbaik” bukanlah sekadar lagu mengenai cinta, sebaliknya membawa mesej yang lebih menyeluruh tentang menerima setiap pengalaman hidup sebagai proses yang membentuk seseorang menjadi lebih kuat.

“Bagi saya, ‘Kisah Terbaik’ bukan sekadar tentang cinta, tetapi tentang menerima setiap pengalaman yang membentuk diri kita. Walaupun ada kisah yang menyakitkan, akhirnya kita sedar semuanya hadir dengan hikmah. 

"Saya harap lagu ini dapat menjadi teman buat sesiapa yang sedang melalui fasa untuk melepaskan dan memulakan lembaran baharu,” kata pemilik bernama penuh, Nur Fazura Sharifuddin ini.

Single tersebut dihasilkan menerusi kolaborasi bersama komposer, penulis lirik dan penerbit Aiman Sidek serta Reza Ramsey, yang menurut Fazura banyak memberi ruang untuk beliau menyampaikan emosi dan pengalaman secara jujur sepanjang proses pembikinan lagu.




“Prosesnya sangat jujur dan terbuka. Kami banyak berbincang tentang emosi yang ingin disampaikan, dan Aiman serta Reza benar-benar memahami apa yang saya ingin luahkan. 

"Mereka memberi ruang untuk saya berkongsi pandangan dan pengalaman, jadi lagu ini terasa sangat peribadi dan ikhlas,” katanya.

Dari aspek muzik, “Kisah Terbaik” tampil dengan susunan sinematik yang berkembang daripada nuansa lembut kepada kemuncak yang lebih dramatik, sekali gus menguatkan mesej yang ingin disampaikan menerusi lirik.

Menurut Fazura, karya tersebut merupakan antara lagu paling matang pernah dirakamkannya kerana berjaya menggambarkan perjalanan emosi yang dekat dengan kehidupannya.

“Saya rasa lagu ini mempunyai perjalanan emosi yang sangat indah. Ia bermula dengan rasa yang lembut dan rapuh, kemudian berkembang menjadi lebih besar dan penuh harapan. Susunan muziknya benar-benar membantu menghidupkan setiap emosi dalam lirik. 

"Bagi saya, inilah antara karya yang paling matang dan paling dekat dengan diri saya,” katanya.

Beliau turut mengakui setiap fasa jatuh bangun yang pernah dilalui menjadikan dirinya lebih menghargai makna di sebalik lagu tersebut.




“Saya percaya setiap orang melalui fasa jatuh dan bangun, begitu juga saya. Ada banyak pengalaman yang mengajar saya tentang kekuatan, keikhlasan dan menerima apa yang telah ditentukan. 

"Sebab itu saya begitu terhubung dengan lagu ini kerana ia mengingatkan saya bahawa setiap perjalanan, walaupun sukar, tetap mempunyai makna yang indah,” ujarnya.

Fazura berharap “Kisah Terbaik” dapat menjadi peneman kepada mereka yang sedang berdepan saat-saat sukar, selain memberi keyakinan bahawa setiap ujian pasti membawa hikmah. 

“Harapan saya sangat sederhana. Saya berharap ‘Kisah Terbaik’ dapat menyentuh hati pendengar dan memberi sedikit ketenangan kepada mereka yang sedang melalui waktu-waktu sukar. 

"Kalau lagu ini mampu membuat seseorang rasa difahami, atau memberi mereka harapan untuk terus melangkah, itu sudah menjadi hadiah yang sangat bermakna buat saya,” jelasnya.


Fazura kini dilihat sering bergandingan dengan Que Haidar sehingga lahirnya produk sambal kahwin 'FazQue'. Adakah ini petanda 'kisah terbaik' yang dibayangkan Fazura". Jawapannya tunggu dan lihat sahaja lah ya!


Dengan melodi yang menyentuh jiwa dan lirik yang sarat emosi, “Kisah Terbaik” dilihat bukan sekadar menandakan kemunculan semula Fazura dalam arena muzik, malah memperlihatkan sisi lebih matang seorang anak seni yang memilih untuk berkongsi rasa melalui karya. - KitaReporters

3
4
0
5
0

Copy Link: