Program Final FIFA World Cup 2026 Viewing Party dan Semarak Subuh Bersama Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berlangsung dari jam 12 tengah malam sehingga selesai solat subuh menghimpunkan peminat bola sepak, belia, keluarga serta masyarakat setempat 




PEMINAT bola sepak Sepanyol terpaksa menunggu sehingga minit ke-106 masa tambahan sebelum dapat meraikan jaringan kemenangan pasukan kesayangan mereka yang menewaskan juara bertahan, Argentina 1-0, sekali gus menjulang kejuaraan Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium MetLife, Kompleks Sukan Meadowlands, East Rutherford, New Jersey, Amerika Syarikat.

Jaringan cantik Ferran Torres bukan sahaja menghadiahkan trofi dunia buat La Roja, malah mengubah suasana Bangi Square 2 yang seketika muram menjadi gamat dengan sorakan "Gol!", tiupan vuvuzela, bunyi wisel, hon udara serta paluan gendang yang dibawa khas ke lokasi.

Bunyi yang bergema dari setiap sudut pusat makanan itu membuatkan ribuan penyokong seolah-olah berada di stadium sebenar apabila bersama-sama meraikan gol kemenangan Sepanyol.


Bangi Square 2 dipenuhi ribuan peminat bola sepak yang mahu menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 secara langsung melalui skrin gergasi.


Persembahan busker membuka persembahan menghiburkan peminat di Bangi Square 2 sebelum sepak mula fina bola sepak FIFA 2026 jam 3 pagi.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga penyokong setia Sepanyol dan mengenakan jersi merah La Roja, turut mengangkat tangan sambil bersorak bersama ribuan peminat yang membanjiri lokasi berkenaan.

Program Final FIFA World Cup 2026 Viewing Party dan Semarak Subuh Bersama Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berlangsung dari jam 12 tengah malam sehingga selesai solat subuh menghimpunkan peminat bola sepak, belia, keluarga serta masyarakat setempat untuk menyaksikan perlawanan akhir menerusi tayangan skrin gergasi dalam suasana penuh semangat, harmoni dan kebersamaan.

Kehadiran Dr Ahmad Zahid turut menambahkan kemeriahan apabila beliau meluangkan masa beramah mesra, menyantuni pengunjung dan menyaksikan sendiri aksi final bersama orang ramai.


Ramai pengunjung mengambil kesempatan kehadiran Dr Zahid Hamidi untuk berswafoto bersama beliau selebelum sepak mula bola sepak Piala Dunia FIFA 2026.


Program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan busker serta sesi Borak Bola yang menampilkan legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan, Farizal Marlias dan Zaquan Adha, manakala pengacara sukan popular, Hafizal Ahmad bertindak sebagai moderator. 

Mereka berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai aksi kemuncak kejohanan bola sepak paling berprestij dunia itu.

Suasana kemudian terus dihangatkan dengan persembahan pembukaan Marsha London sebelum pentas diambil alih oleh Hazama dan Datuk Hattan.

Bangi Square 2 sekali lagi bergema dengan tepukan dan sorakan apabila seorang peminat dari Tampin secara spontan menyanyi bersama Hattan sehingga ada ketikanya suaranya hampir menenggelamkan nyanyian penyanyi legenda itu.


Jaringan pemain, Ferran Torres menggamatkan suasana di Bangi Square dengan sorakan penyokong Sepanyol termasuk Dr Zahid Hamidi. 


Kemeriahan diteruskan apabila seorang pengunjung bertuah membawa pulang sebuah skuter elektrik bernilai lebih RM6,000 menerusi cabutan bertuah. 

Sebelum itu, Dr Ahmad Zahid turut menyampaikan hadiah wang tunai cabutan bertuah kepada lima pemenang dengan nilai antara RM500 hingga RM1,500.

Sepanjang program, pengunjung menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman termasuk 1,500 cawan kopi Richiamo yang diagihkan secara percuma sambil mengikuti aksi mendebarkan perlawanan akhir dalam suasana yang selesa dan meriah.

Sebaik wisel penamat dibunyikan, program diteruskan dengan Semarak Subuh Bersama Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Peminat di Bangi Square 2 melompat gembira dan mengangkat tangan tanda kegembiraan selepas menunggu sehingga minit ke-106 untuk menyaksikan jaringan kemenangan pasukan Sepanyol menewaskan Argentina 1-0.


Pengisian itu menjadi penutup yang cukup bermakna apabila ribuan pengunjung bersama-sama menunaikan solat subuh berjemaah di Surau Al-Hamidiah, Kajang, sekali gus mencerminkan keunikan program yang menggabungkan semangat kesukanan, perpaduan komuniti dan penghayatan nilai kerohanian.

Program julung kali diadakan itu bukan sahaja menjadi platform rakyat menyaksikan perlawanan bola sepak paling berprestij dunia secara bersama, malah mengeratkan perpaduan serta silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan.

Sambutan luar biasa yang diterima membuktikan sukan mampu menjadi medium menyatukan rakyat, manakala pengisian kerohanian melengkapkan sebuah malam yang penuh makna dan pastinya akan dikenang oleh semua yang hadir.


Peminat bola sepak bersama-sama menunaikan solat Subuh berjemaah di Surau Al-Hamidiah, Kajang, sekali gus mencerminkan keunikan program yang menggabungkan semangat kesukanan, perpaduan komuniti dan penghayatan nilai kerohanian.


Sementara itu, Dr Ahmad Zahid berkata Malaysia berhasrat menjadi tuan rumah Piala Dunia pada masa depan, selain menyimpan impian untuk melihat skuad Harimau Malaya layak beraksi sebagai wakil Asia Tenggara dalam kejohanan paling berprestij itu. 

"Insya-Allah, suatu hari nanti kita bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah Piala Dunia.

"Mudah-mudahan ketika itu pasukan Malaysia akan menjadi salah satu wakil Asia Tenggara dalam kejohanan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, program itu berjaya menghimpunkan peminat bola sepak daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama menikmati perlawanan akhir Piala Dunia.

"Alhamdulillah, selain tayangan perlawanan, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sampingan yang diatur sebelum sepak mula.

"Program ini bukan sekadar tayangan perlawanan, sebaliknya menjadi platform untuk peminat berkumpul, berinteraksi dan berkongsi debaran menyaksikan final Piala Dunia dalam suasana penuh semangat kesukanan," katanya. - KitaReporters


Sebahagian jemaah yang menyaksikan final aksi bola sepak akhir FIFA 2026 bergambar kenangan bersama imam, Ustaz Mohd Fadzil Ibrahim dan Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas solat subuh.

16
14
0
17
0

Copy Link: