GAMBAR kenangan Kamarulzaman bersama Kevin Keegan pada Pestabola Merdeka 1984.


HADIAH sepasang but bola sepak jenama Patrick adalah antara kenangan manis Kamarulzaman Yusof apabila memperkata mengenai legenda bola sepak England dan Liverpool, Kevin Keegan yang meninggal dunia pada Isnin, 20 Julai, 2026.

Walaupun kasut itu sudah tiada lagi dalam simpanannya namun ia adalah antara kenangan terindah Kamarulzaman yang sempat mengenali Keegan secara dekat serta bergandingan bersama bintang bola sepak itu pada Pestabola Merdeka ke-28 pada 1984. 

Keegan yang ketika itu bersara daripada bola sepak kompetitif dijemput oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mewakili skuad pelapis kebangsaan, Harimau Malaysia pada kejohanan berkenaan. 

Selain Kamarulzaman yang lebih mesra dengan panggilan Kemp dalam kalangan rakan-rakan, antara pemain lain turut bergandingan dengan Keegan sepanjang kejohanan itu yang berlangsung pada 21 Ogos- 9 September 1984, adalah Datuk Dollah Salleh, Abdul Karim Pin, Razip Ismail, Ahmad Sobri Ismail dan Azlan Johar.


KEVIN Keegan membuat penampilan sebagai bintang jemputan pada Pestabola Merdeka 1984.


“Walaupun ketika itu Keegan sudah bersara tapi namanya masih popular. Justeru, kami sebagai pemain memang teruja bila mengetahui dia akan bermain bersama  pasukan Harimau. 

“Masing-masing tidak sabar untuk bertemu Keegan kerana sebelum itu hanya mengenali beliau melalui media atau menonton permainannya bersama England dan Liverpool menerusi televisyen. 

“Sebelum beliau tiba, terfikir bagaimanakah karekternya, adakah dia seorang yang serius atau sombong, maklumlah dia seorang superstar sedangkan kami hanya pemain belia.


KAMARULZAMAN menerima tunjuk ajar daripada Kevin Keegan dalam latihan skuad Harimau Malaysia sebagai persiapan menghadapi Pestabola Merdeka 1984.


“Tapi, ternyata Keegan seorang yang sangat merendah diri, mesra dan profesional. Beliau melayan kami seperti adik-adiknya. 

“Saya masih ingat, dalam perjalanan kami dari hotel penginapan ke padang latihan di Stadium Raja Muda, Keegan turut sama menyanyi bersama kami,” cerita Kamarulzaman. 

Menurut Kamrulzaman, kehadiran Keegan bukan sahaja membawa aura dalam pasukan Harimau malah kepada kejohanan Pestabola Merdeka ke-28 itu apabila penampilannya menarik minat penonton untuk ke stadium setiap kali pasukan pelapis itu beraksi.


KEVIN Keegan sebagai kapten Harimau Malaysia bertukar cenderahati dengan ketua pasukan Pakistan pada perlawanan Pestabola Merdeka 1984.


“Keegan membawa semangat luar biasa kepada kami. Selain bermain, beliau juga diberi tanggungjawab sebagai jurulatih dan ketua pasukan kami sambil dibantu oleh jurulatih utama, Cikgu Abdullah Mohamad. 

“Saya berasa sangat berbangga dan beruntung dapat bergandingan dengannya pada jentera tengah pasukan Harimau. Keegan bermain sebagai pemain tengah menyerang sementara saya sebagai pemain tengah bertahan. 

“Satu pujiannya terhadap saya yang saya kenang sampai sekarang adalah dia menganggap saya sebagai sebelah kakinya yang bermaksud saya pemain yang penting untuk beliau. 

"Ayat sedemikian apabila diucap oleh seorang legenda, ia membawa makna yang sangat besar kepada saya,” katanya.


SKUAD pelapis kebangsaan, Harimau Malaysia yang beraksi pada Pestabola Merdeka 1984.


Menurut Kamarulzaman lagi, selain itu, kedatangan Keegan juga berjaya menarik minat penonton ke stadium setiap kali Harimau bermain apatah lagi pada perlawanan pertama, semasa mereka mengalahkan Pakistan 2-0, Keegan menjaringkan kedua-dua gol itu. 

Walaupun skuad Harimau yang diletakkan bersama China B, Korea Selatan B, Primera B, Algeria B dan Pakistan, gagal pada peringkat kumpulan namun ia dianggap sebagai pengalaman paling berharga untuk skuad pelapis negara. 

Bekas pemain kebangsaan, Kuala Lumpur dan Selangor itu berkata meskipun tempoh bersama Keegan hanya sepanjang Pestabola Merdeka, namun impak yang ditinggalkan oleh Bintang Liverpool itu sangat besar kepada beliau dan rakan-rakan senangkatannya. 

“Kehadiran Keegan memberi motivasi kepada kami untuk menjadi pemain lebih baik. Buktinya, selepas itu, sebilangan besar kami berjaya menyerapkan diri dalam pasukan utama kebangsaan,” ujar Kamarulzaman.


 


Kamarulzaman berkata, selain ilmu, Keegan turut menghadiahkan sepasang kasut bola jenama Patrick kepada setiap pemain. 

“Ketika itu beliau ditaja oleh Patrick, satu jenama kasut bola yang popular pada era 1980-an, jadi beliau menghadiahkan kepada kami. 

“Sayang, kasut itu sudah tiada dalam simpanan saya, tak pasti sama ada sudah rosak atau hilang. Kalau, saya simpan, pasti ia menjadi harta paling berharga sekarang terutama selepas kematian Keegan,” ujar Kamarulzaman.

Beliau menganggap kematian Keegan sebagai bukan saja satu kehilangan besar kepada bola sepak England tapi kepada semua pencinta bola sepak di seluruh dunia. 

Bekas Bintang Liverpool itu meninggal dunia pada usia 75 selepas bertarung dengan kanser tahap empat dengan menjalani rawatan sejak Januari, 2026 lalu.


 


Dikenali sebagai ‘Mighty Mouse’ kerana kelincahannya, Keegan memulakan karier bersama kelab kerdil, Scunthorpe sebelum mencipta nama bersama Liverpool pada 1971. 

Sepanjang enam musim bersama The Reds, beliau membantu kelab itu menjuarai Liga Divisyen Satu England sebanyak tiga kali, menjulang Piala FA pada 1974 dan Piala Eropah pada 1977, sebelum melebarkan kariernya bersama kelab Jerman, Hamburg. 

Pada 1979, Keegan membantu Hamburg menjuarai Bundesliga serta layak ke final Piala Eropah pada 1980. 

Beliau juga dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or (Pemain Terbaik Eropah) dua tahun berturut-turut pada 1978 dan 1979.


Kredit: talkSPORT


Keegan kembali ke England bersama Southampton sebelum mengakhiri kariernya di Newcastle United pada 1984 selepas membantu kelab itu kembali ke divisyen utama. 

Pada peringkat antarabangsa, Keegan menjaringkan 21 gol dalam 63 penampilan bersama England. 

Selepas bersara sebagai pemain, Keegan meneruskan karier bola sepak sebagai pengurus pasukan bersama Newcastle, Fulham dan Manchester City. Beliau juga membimbing skuad England pada 1999 hingga 2000. 

Kevin Keegan sudah pergi pada 20 Julai, 2026 tapi namanya akan kekal terpahat dalam lipatan sejarah sebagai salah seorang pemain terbaik dunia. - KitaReporters

        

9
12
0
13
0

Copy Link: