Selepas sedekad mewarnai industri muzik tempatan, Syamel akhirnya melancarkan album sulung berjudul 'Pertama' -- sebuah naskhah yang menjadi simbol perjalanan jatuh bangun, kehilangan, harapan serta keberanian untuk bangkit semula 




Selepas sedekad mewarnai industri muzik tempatan dengan deretan lagu yang menyentuh hati, Syamel akhirnya melancarkan album sulung berjudul 'Pertama' -- sebuah naskhah yang menjadi simbol perjalanan jatuh bangun, kehilangan, harapan serta keberanian untuk bangkit semula. 

Mengandungi enam buah lagu, album ini bukan sekadar menandakan pencapaian penting dalam kerjayanya, malah menjadi cerminan kisah hidup yang ingin dikongsikan kepada peminat.

Menurut Syamel, album itu hanya dihasilkan apabila beliau benar-benar bersedia dari segi emosi dan mempunyai kisah yang ingin disampaikan kepada pendengar.

'Selepas 10 tahun berada dalam industri, akhirnya saya dapat mempersembahkan album pertama saya. Saya tidak mahu menghasilkan album hanya kerana merasakan sudah tiba masanya. Saya mahu menunggu sehingga saya benar-benar mempunyai cerita, pengalaman dan keberanian untuk menghasilkan sebuah album yang terasa jujur kepada diri saya,” kata pemilik bernama penuh Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 32, ini pada majlis pelancaran album "Pertama" yang berlangsung di Shah Alam pada 22 Julai 2026.

Judul 'Pertama' membawa makna yang cukup signifikan kerana ia bukan sahaja merujuk kepada album sulungnya, malah melambangkan keberanian untuk memulakan semula selepas melalui pelbagai kegagalan, kehilangan dan kekecewaan. 



Pada masa sama, album itu menjadi tanda penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sepanjang sedekad perjalanan seninya.

Syamel menyusun album ini seperti sebuah buku yang mempunyai enam bab, dengan setiap lagu membawa warna dan emosi tersendiri sebelum membentuk satu perjalanan yang lengkap apabila didengari mengikut susunan trek.

Enam lagu yang dimuatkan ialah 'Beribu Tanda Tanya', 'Cukup Sekali', 'Aku Bukan Dia', 'Dalam Kenangan', 'Tunjukkan Ku Bahagia' dan lagu penutup, 'Pertama'.

Bagi merealisasikan visi album tersebut, Syamel bergandingan dengan beberapa nama besar industri termasuk Edry Abdul Halim, Aizat Amdan, Mel Ramlan, Yusuff Khan dan Adam Armin. 

Beliau turut menunjukkan sisi kreatifnya apabila menulis dan mencipta tiga lagu iaitu Cukup Sekali, Dalam Kenangan dan Aku Bukan Dia, sekali gus memastikan identiti album kekal dekat dengan dirinya.

“Saya mahu menghasilkan lagu yang orang akan kembali dengar walaupun bertahun-tahun kemudian. Lagu yang bukan sekadar mengikut trend, tetapi mempunyai nilai dan emosi yang kekal relevan,” ujarnya.



Jika dihayati lirik rangkap pertama iaitu "Kau yang pertama dalam hidupku, Tiada dua yang setandingmu, Dinanti-nanti pilihan hati, Kau yang pertama dan pasti terakhir....' tidak syak lagi ia tentulah ditujukan khas buat isteri tercinta, Ernie Zakri ya tak? 

Tengok tu dalam Instragram di atas, cara nak promosi lagu pun Ernie terlibat.. memang kelakar pasangan ini dengan idea yang unik!

Walaupun sebahagian karya dalam album ini diinspirasikan daripada pengalaman peribadinya, Syamel turut menyelitkan kisah dan emosi insan di sekelilingnya. 

Baginya, perasaan seperti kehilangan, kerinduan, harapan dan kekecewaan adalah pengalaman yang bersifat universal, manakala muzik menjadi medium yang membolehkan setiap pendengar mentafsir makna lagu mengikut perjalanan hidup masing-masing.

“Kalau ada satu lagu dalam album ini yang mampu menemani seseorang ketika dia berada di saat paling sukar dalam hidup, itu sudah cukup bermakna buat saya. Itulah tujuan saya menghasilkan album ini,” katanya.

Album Pertama bakal menemui peminat di semua platform penstriman digital bermula 24 Julai 2026, sekali gus membuka lembaran baharu buat Syamel dalam perjalanan seninya selepas 10 tahun berkarya. - KitaReporters.

5
6
0
5
0

Copy Link: