Bersatu teguh! Penyampai radio berhimpun di bawah Radio United! Kukuhkan perpaduan, persahabatan!

Published by
KitaReporters

Radio United menjadi sebuah platform yang menghimpunkan penyampai radio dari seluruh Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh semangat perpaduan, persahabatan dan gaya hidup sihat dalam kalangan warga penyiaran. 


Faizul Farouk menyampaikan ucapan ringkas pada majlis Perlawanan Persahabatan Bola Sepak menentang pasukan Menteri Agama FC di AG Sports Arena, Seri Kembangan.


Radio United kini menjadi sebuah platform yang menghimpunkan penyampai radio dari seluruh Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh semangat perpaduan, persahabatan dan gaya hidup sihat dalam kalangan warga penyiaran.

Menurut Penganjur Radio United, Faizul Farouk, inisiatif itu diwujudkan dengan satu matlamat yang mudah tetapi bermakna walaupun kami datang daripada organisasi yang berbeza tetapi berkongsi minat sama untuk berhubung dengan masyarakat dan memberi impak positif kepada komuniti.

“Radio United ditubuhkan untuk menyatukan penyampai radio daripada pelbagai organisasi penyiaran di bawah satu platform yang meraikan persahabatan, semangat kesukanan dan nilai kemasyarakatan akan menjadi asas kukuh kesepakatan kami.

“Radio United merupakan sebuah platform bebas yang menghimpunkan penyampai radio melalui aktiviti sukan, kemasyarakatan dan kebajikan, ia ditubuhkan bagi memperkukuhkan hubungan dalam kalangan warga penyiaran serta berhasrat menjadi pemangkin kepada kerjasama, perpaduan dan impak positif kepada masyarakat,” ujarnya.


Faizul dan Muhammad Syafiq Mohiadin (tengah) berbual mesra dengan Dr Zulkifli Hasan (kanan).


Sebagai asas permulaan Radio United berjaya menganjurkan Perlawanan Persahabatan Bola Sepak menentang pasukan Menteri Agama FC di AG Sports Arena, Seri Kembangan pada 18 Julai 2026. 

Perlawanan itu menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pengamal media dan wakil kerajaan melalui sukan, di samping memupuk semangat kerjasama, hormat-menghormati serta pembabitan komuniti.

Perlawanan persahabatan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan yang mengetuai pasukan Menteri Agama FC.

Menurut Faizul, perlawanan persahabatan bola sepak itu bukanlah mengenai persaingan semata-mata, sebaliknya menjadi ruang untuk membina hubungan yang lebih erat dalam industri penyiaran malah satu medium.

Tambahnya, objektif sebenar adalah untuk menyatukan warga penyiaran, mengukuhkan persahabatan dan membuka ruang kerjasama yang memberi manfaat kepada industri serta masyarakat secara keseluruhan.


Penyampai radio, Kieran (tengah) menyusun strategik sebelum masuk padang.


Jelasnya, melangkah ke hadapan, Radio United merancang untuk memperluas lagi inisiatifnya dengan membabitkan penyampai radio daripada organisasi penyiaran kerajaan bersama penyampai radio daripada pelbagai platform penyiaran lain dalam program sukan, kebajikan dan kemasyarakatan.

“Visi kami adalah untuk menjadikan Radio United sebagai platform inklusif yang mengabungkan penyampai radio dari seluruh industri penyiaran Malaysia, termasuk penyiar milik kerajaan, malah kami percaya bahawa melalui semangat kebersamaan, lebih banyak program bermanfaat dapat diwujudkan untuk komuniti masyarakat.

“Sehubungan itu Radio United merakamkan penghargaan kepada Dr Zulkifli, penaja, rakan strategik, sukarelawan, wakil media serta semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan perlawanan persahabatan ini. 

“Pihak penganjur berharap perlawanan persahabatan ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak program yang menggalakkan perpaduan, semangat kesukanan dan penglibatan komuniti di masa hadapan,” ujar beliau.


Dr Zulkifli (dua dari kiri) meraikan kemenangan bersama-sama pemain Menteri Agama FC.


Sementara itu, ketika berucap pada majlis perlawanan persabahatan berkenaan, Dr Zulkifli berterima kasih kepada penyampai radio, selebriti, petugas media kerana menganjurkan perlawanan yang mampu memupuk hubungan erat dengan jabatan yang diketuainya.

“Bersesuaian dengan visi Radio United untuk melahirkan masyarakat yang baik, perlu untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas justeru perlawanan hari ini juga saya namakan sebagai Riadah Madani,” katanya.


Penyampai radio, Fara Fauzana berswafoto bersama pemain pasukan Radio United.


Pengacara majlis itu, yang juga Penyampai Peduli Radio iaitu Radio Kebajikan pertama Malaysia, Muhammad Syafiq Mohiadin menyifatkan perlawanan persahabatan bola sepak itu membuka lembaran baharu ke arah menjalinkan hubungan lebih erat dengan agensi bawah Kerajaan Madani.

Jelasnya, ia memberi kelebihan kepada Radio United untuk mendapatkan pelbagai maklumat terkini untuk diuar-uarkan kepada rakyat mengenai usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani bagi memelihara  semangat perpaduan dan keharmonian hidup dalam komuniti pelbagai kaum.

“Saya berasa bertuah dipilih menjadi penyampai Peduli Radio kerana dapat berkongsi bermacam-macam maklumat khusus mengenai kehidupan masyarakat atau organisasi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membela nasib mereka yang kurang bernasib baik serta menjadi pengesyoran untuk Kerajaan Madani mengambil langkah sewajarnya,” ujar beliau. - KitaReporters


Pasukan Radio United dan Menteri Agama FC merakamkan kenangan bersama-sama Senator Dr Zulkifli Hasan.

16
12
1
11
0

Copy Link: