Makanan, suplemen selamat kunci misi tiga emas Glasgow! PABM gesa nilai semula peruntukan makanan!
Published by
Datuk Ayub Rahmat (depan, tiga dari kanan) bersama Chef De Mission Sukan Komenwel Glasgow 2026 Datuk Awalan Abdul Aziz (depan tengah) bergambar dengan atlet angkta berat negara yang akan bertanding di Glasgow ketika melawat kem latihan di Rompin, Pahang. -Kredit Foto : Facebook Datuk Ayub Rahmat.

Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menilai semula peruntukan kos makanan atlet angkat berat kebangsaan, termasuk menyediakan suplemen yang diperakui bebas bahan terlarang, bagi memastikan persiapan menghadapi Sukan Komanwel Glasgow 2026 tidak terjejas.
Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, keperluan pemakanan atlet angkat berat jauh berbeza berbanding kebanyakan sukan lain kerana mereka memerlukan pengambilan nutrisi yang lebih tinggi bagi menampung latihan berintensiti tinggi.
"Sehubungan itu, kadar peruntukan sedia ada wajar dinilai semula supaya selari dengan keperluan latihan selain membantu mempercepatkan proses pemulihan selepas sesi latihan serta memastikan atlet dapat mengekalkan berat badan mengikut kategori pertandingan.
"Selain pemakanan yang mencukupi aspek penyediaan suplemen dan makanan tambahan yang selamat, berkesan, berkualiti serta diperakui bebas daripada bahan terlarang juga tidak boleh dipandang ringan," katanya ketika dihubungi pada 22 Julai 2026.

Datuk Ayub Rahmat. - Kredit foto: Harian Metro

Selain Mohamad Aniq Kasdan, Muhamad Aznil Bidin antara taruhan negara untuk membawa pulang pingat emas Sukan Komenwel Glasgow 2026 untuk negara. - Kredit foto: Berita Harian.
Ayub turut meminta satu mekanisme penyediaan suplemen yang disahkan bebas bahan terlarang diwujudkan kerana atlet tidak boleh mengambil risiko menggunakan produk yang status keselamatannya tidak dapat dipastikan.
Selain itu menurutnya, aspek antidoping turut menjadi keutamaan PABM sepanjang tempoh persediaan ke temasya berkenaan.
Keputusan ujian doping yang positif bukan sahaja boleh menggagalkan penyertaan atlet, malah berupaya memusnahkan kerjaya yang dibina bertahun-tahun.
Beliau berkata, pelaburan dalam aspek pemakanan dan penyediaan suplemen yang selamat bukan sahaja mampu meningkatkan prestasi atlet elit, malah menjadi antara faktor penting dalam melahirkan lebih ramai atlet pelapis bertaraf dunia.
Hakikatnya, negara mempunyai ramai atlet muda berbakat yang memerlukan sokongan berterusan, termasuk daripada aspek pembangunan, pemakanan dan latihan.
Dalam pada itu, Ayub menyambut baik sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan bagi acara angkat berat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, yang diadakan dari 23 Julai - 2 Ogos 2026.
Beliau berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan prestasi semasa atlet, pencapaian sepanjang tempoh kelayakan serta persiapan rapi yang sedang dilaksanakan.

Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin bertolak awal ke Istanbu, Turkiye bagi mengikuti latihan awal di sana sebagai persiapan menghadapi cabaran di Sukan Komenwel Glasgow 2026. -Kredit foto: Facebook Datuk Ayub Rahmat.

Kumpulan kedua daripada sembilan atlet angkat berat negara yang akan bertanding di Sukan Komenwel Glasgow 2026 sebelum berlepas ke Istanbul, Turkiye untuk latihan fasa terakhir di sana. -Kredit foto: Facebook Datuk Ayub Rahmat.
Sebagai sebahagian daripada persiapan tersebut, skuad kebangsaan kini menjalani kem latihan intensif di Istanbul, Turkiye, bermula 28 Jun hingga 23 Julai sebelum berlepas terus ke Glasgow bagi fasa terakhir persediaan menjelang temasya itu.
Ayub yakin sasaran tiga pingat emas mampu direalisasikan sekiranya semua program latihan berjalan lancar dan atlet menerima sokongan yang sewajarnya.
Sementara bagi katogeri wanita pula negara mempertaruh harapan kepada Irene Jane Henry (48kg), Nur Syazwani Radzi (63kg) dan Siti Aqilah Farhana (+80kg).

Antara atlet angkat berat negara yang akan membawa cabaran di Sukan Komenwel Glasgow 2026. -Kredit Foto : Facebook Datuk Ayub Rahmat.
Pada masa sama, Ayub turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Dr. Daing Malek Daing A. Rahaman atas sumbangan serta komitmen membantu persiapan atlet angkat berat negara menghadapi Sukan Komanwel Glasgow 2026 dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Katanya, sokongan sektor korporat amat penting dalam memastikan kebajikan atlet serta program latihan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta tampil sebagai rakan strategik dalam pembangunan sukan angkat berat negara.
"PABM yakin dengan sokongan kerajaan, KBS, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia, sektor korporat serta seluruh rakyat Malaysia, kontinjen angkat berat negara mampu mencapai sasaran tiga pingat emas dan menyumbang kepada kejayaan Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026," katanya. - Kitareporters
